Boria Zaman Dahulu

Selasa, Mac 31, 2009

Pelakon Sketsa Latiff Korea Bersama Bakar Panjang


Latiff Korea, ada orang gelar Hamid Gurkha Pulau Pinang. Nama sebenarnya Abdul Latiff Abu Bakar kini berusia 72 tahun suatu masa dulu terkenal sebagai pelakon sketsa boria. Latiff yang dilahirkan dalam tahun 1937 berasal dari Kampung Dodol Pulau Pinang. Beliau mula menceburkan diri dalam boria dengan Kumpulan Boria Kampung Dodol dalam tahun enampuluhan. Kemudian Latiff aktif pula dengan Kumpulan Boria Dakotas, Jelutong, Pulau Pinang.

Dengan Kumpulan Dakotas, Latiff berpasangan berlakon sketsa boria dengan Abu Bakar Kassim ataupun Bakar Panjang, Pak Wan Teh, Nordin Marikan dan Hashim Sahar. Sebelum itu Bakar pula bermain dengan Kumpulan Boria jalan Patani, Pulau Pinang. Kumpulan Boria Dakotas pernah memenangi Pertandingan Boria Pesta Dendang Rakyat anjuran RTM di awal tahun 70an dahulu.

Baru-baru ini saya telah menemui mereka berdua di sebuah kedai kopi di Kampong Dodol. Latiff yang cacat pendengaran kini tidak lagi main boria. Hanya Bakar yang masih lagi aktif hingga sekarang setelah berehat kira-kira 20 tahun.

Foto: Bakar (kiri) dan Latiff (kanan).

Foto: Sketsa Boria - Kiri - Latiff, Nordin, Hashim dan Bakar dalam Pesta Dendang Rakyat RTM.

Ahad, Mac 29, 2009

Breathing new life into boria Dalam Akhbar Star





Akhbar Star keluaran 28 Mac 2009 juga telah melapurkan Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria yang berlangsung baru-baru ini. 

Saturday March 28, 2009

Breathing new life into boria
By MANJIT KAUR

A BORIA enthusiast, who is worried that the performance art might become “extinct just like the dinosaurs,” has created a blog to keep it alive.

Omar Hashim, 54, said he had posted all the data and pictures on boria, which he and his friends had collected over the last two years, on http://warisanboria.blogspot.com.

“I can proudly say that the blog has all the details of the art — its history and where to find the troupes for performances.

“Although there are only four boria teams left in Penang, I am confident that with the blog, I will be able to locate old timers to help revive the art,” he told reporters at the recent launch of the blog by Penang Culture and Arts Department director Siri Neng Buah at the P. Ramlee Auditorium in Penang.

Berita seterusnya dapat diikuti melalui - Klik Di Sini

Terima kasih kepada Wartawan Manjit Kaur dan Star Publications (M) Bhd.

Jumaat, Mac 27, 2009

Boria Kepala Batas di Majlis Jamuan Jasamu Dikenang



Kumpulan Boria Kepala Batas dibawah pimpinan Shamsudin Othman telah membuat persembahan di Majlis jamuan Jasamu Dikenang sebagai mengenang jasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama memegang tampuk presiden Umno sejak tahun 2003.

Majlis itu yang menggantikan majlis jamuan presiden yang lazimnya diadakan pada setaip Perhimpunan Agung Umno, dimulakan dengan persembahan nyanyian kumpulan Swarasa yang diiringi Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah.

Timbalan Perdana Menteri dan presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib serta kira-kira 2,000 perwakilan dan jemputan hadir pada majlis itu.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.Semasa hadirin menjamu selera, majlis diserikan dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar lama Abdullah sejak mula berkhidmat dengan kerajaan dan Umno dengan berlatarbelakangkan lagu "Masihkah Kau Ingat" karya kumpulan Kopratasa.

Penyanyi terkenal Ramli Sarip turut menyampaikan lagu puisi bertajuk "Ku Cari Damai Abadi' yang mengembalikan nostalgia Perdana Menteri yang membacakannya semasa beliau mulamula menjadi presiden parti dan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno.

Rangkap Karangan Boria
Oleh: Omar M. Hashim (OMARA)

PAK LAH DIKENANG SELAMA

1. Perdana Menteri, Malaysia ke lima
Datuk Sri Abdullah, diberinama
Jasanya tetap, dikenang selama
Boria Kepala Batas, tetap bersama

2. Sembilan belas, tiga puluh sembilan
Lahir di Pulau Pinang, penghujung bulan
Anak Ahmad Badawi, dan Datuk Kailan
Keluarga ulamak, terkenal handalan

3. Sertai UMNO, tahun enampuluh empat
Bidang politik, mengambil tempat
Bintang Pak Lah, bersinar cepat
Pelbagai jawatan, semuanya dapat

4. Tahun enampuluh lima, berumah tangga
Direstui oleh, kaum dan keluarga
Umur duapuluh enam, mudalah juga
Makan dan minum, semua terjaga

5. Tahun duaribu tiga, tibalah hari
Dinobat seluruh, pelusuk negeri
Dilantik menjadi, perdana menteri
Memberi sumbangan, Islam Hadari

6. Dunia politik, bukannya mudah
Bagai tanah, tinggi dan rendah
Harus ditempuh, tetap diredah
Namun Pak Lah, tak pernah gundah

7. Bukan senang, tadbir negara
Ibarat kapten, sebuah bahtera
Ada sedih, ada gembira
Sebarang masalah, dipintas segera

8. Begitulah hidup, susah dan senang
Pemergian isterinya, tetap dikenang
Duaribu tujuh, akhirnya tercanang
Datin Sri Jeanne, Pak Lah meminang

9. Nama Pak Lah, tetap dijulang
Jasa dan bakti, tidak terbilang
Majulah Malaysia, terus cemerlang
Di seluruh dunia, megah gemilang

10. Persembahan boria, berakhir kini
Budaya warisan, indahnya seni
Rangkap karangan, hiasan murni
Boria Kepala Batas, sampai di sini

Isnin, Mac 23, 2009

Sekitar Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria







Terima kasih Razman Rahman, anak kepada Allahyarham Rahman Hamid, seorang penerbit Pesta Dendang Rakyat RTM Pulau Pinang dan juga seorang penggiat boria di Pulau Pinang. Razman yang sempat merakamkan gambar-gambar sempena pelancaran Blog Warisan Boria yang telah berlangsung di Auditorium P. Ramlee Pulau Pinang pada 18 Mac baru-baru ini telah menghadiahkan banyak gambar-gambar yang diambilnya di majlis tersebut. Saya temui Razman pagi 23 Mac 2009, di rumahnya Kampung Dodol, Pulau Pinang. Razman seorang jurugambar dan jurukamera video yang berpengalaman di Pulau Pinang.

Gambar 1 - Sketsa Boria oleh Pelawak Chik, Omara, Bakar Panjang dan Chop Pak Kojek.

Gambar 2 - Persembahan Boria Asli oleh Kumpulan Boria Autentik Pulau Pinang Pimpinan Omara.

Gambar 3 - Omar M. Hashim (Omara) sedang berucap.

Gambar 4 - Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia sedang mengklik komputer sebagai gimik pelancaran disaksikan oleh Encik Amilizan, Puan Fariza (Pen. Pengarah JKKN Ng. Pulau Pinang), Omara dan Pn. Zaini Man.

Gambar 5 - Encik Siri Neng Buah sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Foto-Foto Oleh: Razman Rahman

Ahad, Mac 22, 2009

Realiti Persembahan Boria Asli Di Jelutong


































Realiti sebuah persembahan boria yang diadakan di Jelutong, Pulau Pinang baru-baru ini. Gambar-gambar di belakang pentas dan semasa di pentas persembahan. Ini ialah Kumpulan Boria Asli Pulau Pinang dibawah pimpinan Omara. Antara yang terlibat, Penyanyi RockyDin, Jibran Khalil, Chop (Pak Kojek), Omara, Mustaffa, Wahab BM, Bakar Panjang dan ramai lagi.

Jumaat, Mac 20, 2009

Berita Pelancaran Blog Warisan Boria Dalam SINAR HARIAN 20 Mac 2009




Terima kasih kepada Akhbar SINAR HARIAN (suara cakna komuniti anda) edisi UTARA terbitan Jumaat 20 Mac 2009 kerana telah menyiarkan dua buah berita/tulisan - 1. BORIA PUPUS IBARAT DINOSAUR 2. MARTABAT SEMULA SENI BUDAYA PULAU PINANG - BLOG WARISAN DILANCAR. Kedua-dua lapuran ini olah Skuad Cakna - Siti Nadiah.

Semoha SINAR akan terus membantu kami memartabatkan kesenian warisan Pulau Mutiara ini supaya kembali segar bukan sahaja di Utara, malah ke Seluruh Negara dan Seluruh Dunia.

- Omar Hashim (Penyusun Blog Warisan Boria)

Khamis, Mac 19, 2009

Dengan Rasminya Blog Warisan Boria DiSempurnakan



Alhamdullilah! Bersyukur saya kepada Allah kerana Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria telah dilancarkan dengan sempurnanya Oleh Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pada jam 4.00 petang bertempat di Auditorium P. Ramlee Kompleks Pustaka Warisan Seni, Pulau Pinang.

Terima kasih kepada Angkatan Budaya Sari, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Wartawan-wartawan media, Rakan-rakan/penggiat seni, krew/pembantu, Kumpulan Boria Asli, Pulau Pinang dan semua yang terlibat menjayakannya.

Tanpa sokongan Anda semua, majlis tersebut tak mungkin dapat dijayakan. Jika ada sebarang kelemahan dalam menyusun dan menguruskannya, saya mohon berbanyak-banyak maaf.

Oleh kerana saya sendiri terlibat sepenuhnya dalam acara ini, maafkan saya kerana tidak dapat disiarkan lagi gambar-gambar semasa upacara tersebut untuk tatapan pelayar blog Warisan Boria sekelian. InsyaAllah saya akan dapatkan dari rakan-rakan jurugambar selepas ini.

Isnin, Mac 16, 2009

Kajiselidik - Boria Tidak Dikenali Kerana Kurang Promosi



Seorang pelajar IPT lefa ridza dalam kajiannya melalui borang kajiselidik mengenai seni warisan boria yang diberikan kepada 80 orang di Pulau Pinang, memberitahu saya jawapan yang diperolehinya adalah seperti berikut -

1. Ramai mengetahui boria dari saudara dan rakan.

2. Ramai yang tidak tahu sejarah boria.

3. Menyaksikan boria 2 hingga 3 kali.

4. Hanya sedikit yang pernah melibatkan diri dalam boria.

5. Nyanyian dan tarian lebih disukai dalam persembahan boria.

6. Ramai yang tertarik dengan rangkap karangan dan mesej.

7. Ramai yang bersetuju, prop payung banyak digunakan dalam boria.

8. Ramai yang mengatakan tukang karang memainkan peranan penting dalam boria.

9. Ramai yang bersetuju boria tradisional perlu dipertahankan.

10. Boria tidak dikenali kerana kurang promosi.

11. Pertandingan boria perlu diadakan setiap tahun.

12. Pertandingan boria perlu diadakan disetiap institusi dan sekolah.

13. Ramai mencadangkan dibina sebuah galeri boria.

"Saya juga mempunyai cadangan pada Pak Omar supaya membina sebuah galeri Boria untuk orang ramai…agar warisan boria ni dapat dipelihara… melalui survey yang saya lakukan…peratus orang ramai menginginkan sebuah galeri boria amat tinggi… Kerjasama dan jasa baik Pak Omar amatlah saya hargai…terima kasih diatas bantuan Pak Omar…"

- Iefa ridza

Ahad, Mac 15, 2009

Sailor Boria Budayasari Terus Menempuh Cabaran


Sailor atau kelasi Kumpulan Boria Angkatan Budayasari Pulau Pinang.
Kumpulan Boria dibawah pimpinan Zaini Man dan Rohaya
Ayub ini memang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Kini hanya tinggal beberapa kumpulan boria sahaja lagi di Pulau Mutiara ini yang masih aktif. Kumpulan Budayasari terus bertarung untuk hidup walaupun terdapat beberapa kumpulan boria lain yang telah menyepi. Sailor-sailor muda ini masih lagi yakin untuk meneruskan bakat dan kebolehan di arena seni warisan boria ini.

Baru-baru ini boria telah dipilih sebagai Warisan Kesenian dan Kebudayaan 2009 disamping 16 lagi kesenian-kesenian warisan yang lain. Sekarang ini undangan persembahan boria tidaklah lagi sesegar dahulu. Banyak majlis-majlis yang lebih suka mengundang kumpulan muzik atau karaoke sahaja.

Teruskan! kepada sailor/kelasi semua, jangan putus asa. Blog Warisan Boria akan terus bersama anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...