Boria Zaman Dahulu

Rabu, Disember 16, 2009

Hanya 5 Kumpulan Bertanding di Pesta Pulau Pinang 2009




Setelah dua tahun tidak diadakan Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang, kini Dewan Terbuka Tapak Pesta menyaksikan kembali pertandingan yang menghimpunkan ahli dan penggiat boria. Namun sudah tidak semeriah dulu. Jika dulu pernah diadakan beberapa malam, kini hanya berlangsung dari jam 9.00 malam dan berakhir kira-kira jam 11.00 malam. Hanya lima kumpulan yang bertanding. Mungkin kurang publisiti atau pertandingan ini telah dibuat agak tergesa-gesa. Perubahan tarikh yang telah dicanangkan lebih awal iaitu 7, 8 dan 9 Disember juga mungkin penyebabnya. Tiba-tiba pertandingan itu ditukarkan ke tarikh 10 Disember. Ramai penonton yang bersungut kerana tidak dapat membuat perancangan awal untuk menyaksikannya.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Y.B Tuan Haji Abdul Malik Kassim. Para pengadil pula terdiri dari Penggiat Boria Omar Hashim (Omara), Orang lama boria Noordin Marikan, Ketua Orkestra P. Ramlee, Pak Wan dan Kamaruddin Haniffa penerbit boria di RTM.

Di akhir pertandingan, Kumpulan Boria Kombinasi telah memenangi tempat pertama. Kedua - Kumpulan Boria Kepala Batas dan ketiga Kumpulan Boria Perpustakaan Ng. Pulau Pinang. Beberapa kategori terbaik dan potensi juga telah dinobatkan.

Selasa, Disember 15, 2009

Pertandingan Boria FEStKUM di DECTAR UKM Bangi



Pertandingan Boria FEStKUM anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) telah berlangsung dengan jayanya di DECTAR UKM Bangi pada 11 dan 12 Disember baru-baru ini. Selama dua malam, kumpulan yang bertanding ialah dari UM, UMK, UKM, UPSI, UNIMAP, USIM, UTM, UUM, USM, UPM dan UITM.

Buat sementara Warisan Boria tidak sempat hendak menyiarkan keseluruhan berita dan artikel mengenainya. Mungkin dalam beberapa hari akan datang Warisan Boria akan memasukkan lagi gambar-gambar dan artikel mengenainya. Sebagai salah seorang juri pertandingan ini saya (Omara) juga akan memberikan sedikit ulasan pengadilan untuk membantu penghasilan boria yang bermutu di masa hadapan.

Untuk mendapatkan komen dan catatan dari salah seorang juri pertandingan ini Murshidee Ramli sila lihat link blognya di http://boriapulaupinang.blogspot.com


Khamis, Disember 10, 2009

Pelancaran Buku Syair Boria. Biografi Abdullah Darus


"Terima Kad Undangan dari Omar Abdullah ke Seminar Warisan Tokoh Boria Abdullah Darus dan Pelancaran Buku Syair Boria. Biografi Abdullah Darus. Anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian.

Majlis Bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia jam 8.30 pagi pada 12 Disember 2009.

Terima kasih juga kepada Abdullah Darus (Pak Lah) yang turut menalifon sendiri kepada saya memberitahu mengenai majlis tersebut. Saya tak dapat bersama kerana berada di DECTAR, UKM Bangi menjadi juri Pertandingan Boria Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2009 (FEStKUM) yang berlangsung pada 11 dan 12 Disember 2009 ini."

- Omar M. Hashim (OMARA) Warisan Boria

Rabu, Disember 09, 2009

Pertandingan Boria Sempena Pesta P. Pinang 10 Disember


Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada 10 Disember 2009 jam 8.00 malam. Sebanyak 6 kumpulan boria akan berentap. Hadiah-hadiah lumayan telah disediakan oleh pihak Pesta P. Pinang.

Kepada peminat-peminat boria dan pencinta seni semua dijemput menyaksikannya beramai-ramai. Kita letakkan boria dipersada seni tanahair.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...