Boria Zaman Dahulu

Jumaat, Mei 29, 2009

Hubungi Omara Untuk Dapatkan DVD Boria DBP




Ramai peminat-peminat boria terutamanya guru-guru yang menghubungi saya bertanyakan mengenai DVD Seni Persembahan Boria terbitan Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka yang baru diterbit dan diedarkan. Sukacita saya maklumkan, mulai hari ini saya telah diberi kebenaran menjual DVD ini dengan harga RM35 (mengandungi 2 DVD) dan kepada yang berminat boleh mendapatkannya daripada saya.

Set DVD ini - 1. Dokumentari Boria - Sejarah dan latarbelakang boria termasuk peraturan dan syarat-syarat persembahan boria. 2. Persembahan boria lama dan boria baru yang lengkap (mengandungi 7 buah persembahan).

DVD ini adalah pilihan terbaik untuk membuat rujukan mengenai seni warisan boria. Sila hubungi saya di talian - (OMARA) 013 4220091 atau email - omara353535@hotmail.com

Selasa, Mei 26, 2009

Tokoh, Penggiat dan Ahli Boria Bertemu di Program Bicara Eksekutif Budaya



Program Bicara Eksekutif Budaya "PERKEMBANGAN BORIA PULAU PINANG; KETOKOHAN ABU BAKAR JAAFAR DAN ABDULLAH DARUS" yang diadakan di Naza Hotel Pulau Pinang pada 24hb. Mei 2009 lepas berjaya mengumpulkan tokoh, penggiat dan ahli-ahli boria. Majlis anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang ini telah dirasmikan oleh Cik Mariam Sulaiman, Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Pengarah Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang Encik Nasir Malim.

Ahli-ahli panel yang terdiri dari Omar Abdullah, Kamaruddin Haniffa, Omar M. Hashim (OMARA) dan Syed Akir telah membincangkan mengenai perkembangan boria masakini dan ketokohan Abu Bakar Jaafar (Pak Kan) dan Abdullah Darus (Pak Lah). Sebuah persembahan boria khas dari Kumpulan Boria Warisan Jemari Pulau Pinang yang menggabungkan dewasa dan kanak-kanak telah menarik perhatian para jemputan.

Tayangan sedutan temuramah Pak Kan dan Pak Lah, kedua-dua tokoh boria yang dibincangkan pada pagi tersebut juga dapat mengenangkan kembali perjuangan ke dua-dua tokoh boria ini dalam memajukan seni warisan pulau mutiara. Gambar Atas Kanan - Dejay YY, Yusof M. Hashim, Nasir Malim (Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan P. Pinang), Syed Akir, Imuda, Cik Mariam Sulaiman dan Abbas Bakar.

Gambar Kiri - Ahli-ahli Panel terdiri dari Omar Abdullah (Omar Pak Lah), Kamaruddin Haniffa (RTM), Omar M. Hashim (OMARA) dan Syed Akir. Gambar Bawah - Cik Mariam Sulaiman sedang menyampaikan cenderamata kepada Abdullah Darus (Pak Lah) di akhir majlis tersebut.

Isnin, Mei 25, 2009

Ramai Kesal Penganjur Pertandingan Boria Tidak Rujuk JKKN Ng. P.Pinang



Tokoh dan Penggiat-Penggiat Boria Pulau Pinang melahirkan rasa dukacita kerana pihak penganjur Pertandingan Boria Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah 2009 yang sedang berlangsung sekarang ini tidak mendapatkan nasihat dari Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum meletakkan syarat-syarat dalam pertandingan tersebut.
Adalah lebih baik jika semua pihak yang ingin mengadakan sesuatu persembahan dan pertandingan yang berkaitan dengan boria dapat merujuk kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang dan kemudiannya Jabatan akan merujuk pula dengan Tokoh dan Penggiat-Penggiat Boria di sini supaya segala syarat dan peraturan dan cara-cara pengadilan tidak melanggar keputusan yang telah dibuat dalam Symposium Boria 2005 tidak lama dulu.
Pertemuan yang diadakan di Naza Hotel , Tanjung Tokong Pulau Pinang pada 24 Mei 2009 Ahad telah berjaya menghimpunkan sebilangan orang-orang baru dan lama boria di Pulau Pinang. Antaranya ialah - Abdullah Darus 80 tahun atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Lah', Syed Akir (Agil), Omar M. Hashim (Omara), Omar Abdullah (Omar Pak Lah), Kamaruddin Haniffa (RTM), Rosely Abdullah (Chik), Abu Bakar Kassim, Ali Yusoff, Yusof Ahad, Mustaffa Ishak, Yusof (Pak Kojek), Shamsuddin Othman, Roslan, Mustaffa (Mus), Wan Kamarulzaman, Tok Mo dan ramai lagi. Yassier Yusof (Deejay YY) dan Deejay Iskandar dari RTM juga turut serta.

Pelakon/Pelawak yang tidak asing lagi Imuda dan Pencipta Lagu Abbas Bakar yang datang dari Kuala Lumpur juga turut bersama. Program Bicara Eksekutif Budaya "PERKEMBANGAN BORIA PULAU PINANG; KETOKOHAN ABU BAKAR JAAFAR DAN ABDULLAH DARUS"yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman juga turut dihadiri oleh Pengarah Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang Encik Nasir Malim.

Jumaat, Mei 22, 2009

Bicara Eksekutif Budaya 'BORIA' Di Naza Hotel 24 Mei 2009



Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang akan mengadakan Program Bicara Eksekutif Budaya "PERKEMBANGAN BORIA PULAU PINANG; KETOKOHAN ABU BAKAR JAAFAR DAN ABDULLAH DARUS" pada 24 Mei 2009 (Ahad) mulai jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari bertempat di Naza Hotel Penang, Tanjung Tokong Pulau Pinang.

Ahli-Ahli Panel ialah - Abdullah Darus, Omar Hashim (Omara), Omar Abdullah, Syed Akir Syed Ahmad dan Jibran Khalil.

Omar Hashim dan Omar Abdullah juga masing-masing akan mempengerusikan setiap satu bahagian program ini. Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman akan turut bersama menjayakan program yang menghimpunkan penggiat-penggiat, ahli boria dan peminat seni di Pulau Mutiara ini.

Warisan Boria ucapkan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang yang menganjurkan majlis ini kerana seni warisan boria tidak lagi dibiarkan sepi dan usaha seperti ini patut diteruskan lagi untuk menyatukan mereka-mereka yang terlibat dalam kesenian yang semakin layu ini. Jasa orang-orang lama boria terus dikenang dan yang baru disuntik semangat cintakan seni warisan.

Ahad, Mei 17, 2009

Empat Kumpulan Boria Gegarkan Pusat Seni Setempat








Sebanyak Empat kumpulan boria telah menunjukkan persembahan masing-masing di Pusat Seni Setempat 2009 yang berlangsung di Taman Budaya Negeri anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang pada 16 Mei 2009 mulai jam 9.00 malam.

Persembahan pertama oleh Kumpulan Boria Asli Pulau Pinang di bawah pimpinan Omar M. Hashim. Tukang karang Lan (LNJ Raja Lawak) kisah bertajuk ‘Boria Asli’. Kumpulan ke dua terdiri dari Kumpulan Boria Kepala Batas, Seberang Perai pimpinan Shamsuddin Othman. Tukang karang Roslan Hamid dengan tajuk ‘Gejala Sosial’. ‘Martabatkan Bahasa’ pula ialah tajuk persembahan Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang dengan tukang karangnya Wan Kamarulzaman Mohd. Saidi. Kumpulan ini dibawah pimpinan Rohaya Ayub. Akhir sekali ialah persembahan Kumpulan Warisan Jemari dibawah pengurusan Mustaffa Abu Bakar dan jurulatih Wan Kamarulzaman. Kumpulan boria yang terdiri dari 20 orang kanak-kanak ini tukang karangnya ialah Amir Zahir Anis Sobri.

Sepanjang persembahan penonton turut dihiburkan dengan telatah sketsa boria yang merupakan bahagian wajib bagi sesebuah persembahan boria itu. Antara pelakon-pelakon sketsa ialah Abu Bakar Kassim, Yusof M. Hashim, Lan (LNJ Rajalawak), Omara, Chik, Shamsuddin Othman, Lee KA, Lat, Maulud, Puteri dan lain-lain lagi.

Cik Mariam Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang turut menonton bersama-sama dengan Penggiat Boria yang tidak asing lagi Abdullah Darus atau pun lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah. Sepanjang persembahan acara berjalan dengan sempurna walaupun terdapat sedikit hujan pada sebelum persembahan.

Persembahan boria seperti ini jarang-jarang sekali diadakan dimana empat kumpulan menunjukkan persembahan masing-masing di dalam satu acara. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan untuk menggalakkan lebih banyak kumpulan-kumpulan boria yang dapat menyertainya. Boria boleh hidup kembali di Pulau Pinang sekiranya peluang-peluang seperti ini diteruskan.

Bagi saya, janganlah dianggap persembahan seperti ini sebagai perbandingan buruk baiknya sesuatu persembahan. Ini bukannya pertandingan. Asalkan keaslian boria terpelihara semasa persembahan, sepatutnya ianya dapat diterima oleh penggiat-penggiat dan peminat boria semua. 

Selasa, Mei 05, 2009

Dari Penulis, Penyusun dan Penerbit Blog Warisan Boria


Assalamualaikum para pembaca dan pengikut Blog Warisan Boria ini semua,Terima kasih kerana anda terus mengikuti perkembangan seni warisan boria dalam blog ini.
  “Blog ini saya tulis, susun dan terbitkan dengan percuma adalah dengan tujuan hendak memartabatkan seni warisan boria yang hampir pupus. Saya telah membuang masa, tenaga dan wang ringgit kerananya. Tapi saya tidak pernah kecewa atau putus asa kerana saya yakin inilah perjuangan saya yang harus diteruskan.
  Namun demikian, dalam perjuangan selalunya ada cabaran, rintangan dan halangan. Ada yang sambut baik hasil usaha saya ini dan ada juga yang memandang sebaliknya.
  Kepada kumpulan-kumpulan boria yang masih lagi aktif di Pulau Pinang saya ucapkan syabas. Anda sebenarnya penyambung perjuangan terus menghidupkan boria. Jika tidak ada siapa lagi yang mahu meneruskannya, sudah tentu ‘Boria’ telah lama pupus dan hanya tinggal nama begitu saja. Jika ada kesilapan dan kelemahan dalam persembahan boria, atau kesilapan saya di sini, kita harap mereka-mereka yang pakar dan lebih berpengetahuan tolonglah perbetulkan secara berdepan, bukan mengkritik dari belakang. Jika kita mahu ‘boria’ maju dan berkembang, jangan harapkan orang lain atau sesiapa, sebaliknya kita sendirilah yang perlu menghidupkannya.
  Jangan pula orang Pulau Pinang terkejut jika suatu hari nanti orang luar pula yang akan mengambil alih seni warisan ini. Sekarang pun persembahan boria sudah mendapat tempat di luar Pulau Pinang. Bagi saya, hal remeh-temeh janganlah kita perbesarkan. Penggiat-penggiat boria harus bersatu. Buatlah yang terbaik untuk memajukan ‘boria’. Tanyalah diri kita sendiri dulu apa sumbangan kita kepada semua seni warisan yang terdapat di negara kita? Usah kita melemahkan perjuangan orang-orang lain sedangkan kita tidak berbuat apa-apa.
  Kepada Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang, Jabatan Warisan Negara Kuala Lumpur, Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur, RTM Angkasapuri, RTM Klasik Nasional, RTM Pulau Pinang, Astro Awani, TV9, Akhbar-akhbar tempatan, majalah-majalah dan semua pihak (jika tidak disebutkan di sini) yang telah memberi peluang kepada seni warisan boria ini saya ucapkan ribuan terima kasih. Kepada pembaca Blog Warisan Boria yang setia, terima kasih diucapkan!”

- Saya, Omar M. Hashim (OMARA) Pulau Pinang

Isnin, Mei 04, 2009

Kumpulan Boria SK Pekan Satu Labuan Akan Ke Kedah



Kumpulan boria SK Pekan Satu Wilayah Persekutuan Labuan akan turut serta mewakili Labuan dalam Karnival Pencegahan Dadah pada 8 Jun di Kedah. Menurut Cikgu Zaliha Salleh yang menguruskan pasukan boria sekolahnya, sekolah mereka telah berjaya 6 kali berturut-turut menjuarai Karnival Pencegahan Dadah peringkat negeri Labuan dan pernah memenangi naib johan di Pahang tidak lama dulu. 

"Kami masih kekurangan ilmu untuk mencipta semua itu. Kami sering menjadikan pasukan boria Pulau Pinang sebagai contoh kami. Tetapi kami mahu sekolah kami juga ada identiti sendiri." kata Cikgu Zaliha.

Gambar-gambar kiriman Cikgu Zaliha Salleh. 

Ahad, Mei 03, 2009

Kunjung Ucapan Terima Kasih




Alhamdullilah, saya telah membuat kunjungan ucapan terima kasih beberapa orang yang terlibat dalam rakaman DVD boria DBP baru-baru ini sambil menyampaikan naskah ikhlas DVD DBP kepada mereka.
Dalam gambar atas kanan - Saya bersama pelakon sketsa boria Tahir, Mustaffa dan Yusof Ahad semasa berkunjung ke rumah Mustaffa Salibu di Pulau Pinang.
Gambar bawah kiri - Kami bergambar dengan keluarga rumah Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Kanan bawah - Saya menyerahkan naskah ikhlas DVD DBP kepada tuan rumah Hj. Zainur Rashid yang telah membenarkan rumahnya dijadikan lokasi pengambaran boria lama dan juga turut berlakon dalam babak boria berlarak bersama-sama dengan pelawak Imuda.
Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu kami semasa pengambaran untuk menjayakan tujuh buah persembahan boria dan sebuah dokumentari boria.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...