Boria Zaman Dahulu

Jumaat, Januari 16, 2009

PERATURAN BORIA







BORIA DAN PERATURANNYA

1. Rangkap karangan hendaklah mengikut sesuatu tema yang ditetapkan. Penghujung setiap ayat di dalam setiap rangkap mestilah beritma A, A, A, A. Dan setip baris ayat dalam sesuatu rangkap seelok-eloknya tidak melebihi enam harakah. Pembentukan karangan memerlukan pengalaman dan penguaaan bahasa dan kesusasteraan serta penulisan puisi. Karangan perlu ada kaitan dengan sketsa. Contohnya jika tema ‘Hari Raya Puasa’ sebahagian contoh rangkap karangannya begini:

1. SELAMAT HARI RAYA, AIDIL FITRI
KEPADA SAUDARA, SERTA SAUDARI
BERAKHIR RAMADHAN, SYAWAL BERSERI
SALAM DARI KAMI, BORIA BISTARI

2. DI BULAN RAMADHAN, DAH TUNAI PUASA
BERAMAL IBADAT, DENGAN SELESA
MENURUT SURUHAN, TUHAN YANG ESA
KINI HARI RAYA, DAH TIBA MASA

3. ZAKAT DAN FITRAH, TUNTUTAN AGAMA
DISAMPING SEDEKAH, JUGA MENDERMA
REZEKI DI BAHAGIKAN, BERSAMA-SAMA
ADA YANG MEMBERI, ADA MENERIMA

Penutupnya pula boleh dikarang begini (Contoh)

15. MAAFKAN KAMI, PENONTON BUDIMAN
RAKAN TAULAN, SAHABAT DAN TEMAN
BANYAKKAN IBADAT, TETAPKAN IMAN
BORIA BISTARI, BERSALAM SALAMAN

Hujung sukukata akhir setiap baris yang bertanda merah hendaklah sama bunyinya setiap rangkap. Contohnya ‘Man’ tidak boleh dicampurkan dengan ‘kan’, ‘lan’, ‘ran’, ‘nan’, ‘pan’ dan sebagainya.

2. Setiap persembahan hendaklah bermula dengan sketsa. Cerita dalam sketsa mestilah sama temanya dengan rangkap karangan. Boleh diwujudkan dalam bentuk komedi atau serius. Kumpulan sketsa boleh juga muncul semula di belakang atau di tepi sailor ketika persembahan lagu boria sambil membawa props yang bersesuaian. Biasanya payung, alat muzik - seperti gendang panjang, maracas, bendera, bunga manggar, tongkat dan lain-lain.

3. Persembahan boria boleh menggunakan alat muzik yang dimainkan secara terus menerus di pentas ataupun ‘minus one’ (dirakamkan terlebih dahulu).

4.Rangkap karangan boria dilagukan oleh seorang tukang karang. Tukang karang menyanyi setiap rangkap sambil memegang tongkat penunjuk. Tukang karang diwajibkan membawa tongkat sebagai identiti boria. Tukang karang juga boleh memakai bengkung sebagai ketua dan identiti boria. Tukang karang bebas melakukan sebarang pergerakkan. Tukang karang digalakkan menyanyi ‘live’ (terus menerus) semasa persembahan. Nyanyian tukang karang hendaklah lantang, jelas dan tidak mengikut lenggok nyanyian lagu-lagu biasa.

5. ‘Sailor’ atau kelasi boria berdiri di belakang tukang karang. Barisan sailor hendaklah dibuat dua baris. Sailor akan mengulangi rangkap pertama yang dilagukan oleh tukang karang berselang seli dengan tukang karang. Setelah tukang karang melagukan rangkap akhir, sailor akan menyanyikan rangkap terakhir menutup persembahan. Pakaian sailor boleh seragam dan boleh juga beraneka ragam. Untuk mendapatkan audio yang baik semasa persembahan, sailor juga boleh merakamkan terlebih dahulu suara dan muzik dan menyanyikan kembali ketika persembahan.

6. Jika boria yang dipersembahkan ialah ‘Boria Asli’, Sailor bebas bergerak mengikut rentak lagu dan pakaian juga bebas seperti pakaian beragam.

7. Boria tidak ada lagu khas. Apa-apa lagu yang sesuai boleh digunakan.

8. Pakaian boria perlu sesuai dengan tema dan lagu persembahan.

9. Tiga bahagian muzik digunakan dalam struktur persembahan boria, iaitu lagu masuk, lagu persembahan dan lagu keluar. Lagu masuk dan lagu keluar boleh menggunakan melodi yang sama atau berlainan.

10. Gerak tari berpandukan kepada sopan santun budaya Melayu dan koreographinya mesti sesuai dengan melodi.

11. Props boleh digunakan dalam tarian. Antara props yang biasa digunakan ialah payung, alat muzik seperti gendang panjang, maracas, bendera, bunga manggar dan lain-lain.

12. Pakaian harus sesuai dengan tema dan mengikut garisan budaya. Dalam sketsa, lelaki boleh berpakaian perempuan tetapi rupa paras dan suara tidak boleh diubah (tetap lelaki).

13. Aturan persembahan: 1. Sketsa. 2. Lagu Masuk – Sailor masuk, buat dua barisan, tukang karang masuk dan terus ke depan memulakan persembahan. Setelah tukang karang selesai menyampaikan rangkap terakhir, tukang karang mengundur diri dan keluar. Sailor akan mengikut lagu keluar setelah selesai menyanyikan rangkap terakhir.


Bahan dan petikan:
1. Pengalaman sendiri sebagai seorang penggiat dan pengadil boria.. disamping perbincangan dengan penggiat-penggiat boria di Pulau Pinang.
2. Dari Simposium Warisan Boria 2005 Pulau Pinang anjuran KeKKWa dan JKKW Negeri Pulau Pinang.

Oleh: Omar Md. Hashim, Penggiat Boria Pulau Pinang
Tel: 019 5161788, 013 4220091 E-mel: omara353535@hotmail.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...