Boria Zaman Dahulu

Ahad, Disember 28, 2014

BORIA dari BERITA KAMPUS

Boria merupakan salah satu persembahan tradisional yang terdapat di utara semenanjung Malaysia, khususnya di Pulau Pinang.
Omar Hashim yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni boria berkata boria pada peringkat awal ialah persembahan yang menonjolkan pelbagai isu termasuklah isu-isu sosial seperti kekeluargaan, moral dan cerita rakyat.
“Terdapat dua jenis persembahan boria, iaitu persembahan yang diundang khas oleh tuan rumah untuk perayaan tertentu seperti perkahwinan dan upacara kenduri dalam bulan Muharam bagi tujuan menghiburkan masyarakat dengan lawak jenaka.
“Persembahan kedua ialah persembahan pentas yang diusahakan sebagai kegiatan komersial dan diadakan sebagai satu acara temasya pentas di banyak tempat,” katanya.
Tambah beliau, pada tahun 1960-an boria telah ditukar menjadi alat untuk menyampaikan mesej kerajaan. Semenjak itu boria telah kehilangan tarikannya sebagai satu hiburan kerana boria tidak lagi menjadi hiburan kepada masyarakat.
“Boria juga merosot apabila kurangnya promosi daripada media seperti di dalam televisyen. Beliau percaya pengaruh media amat penting untuk memperkenalkan boria dengan masyarakat.
“Pada tahun 70-an, kumpulan penggiat warisan boria telah berusaha untuk mempertahankan boria dengan terlibat dalam persembahan boria di televisyen. Pada tahun 70-an juga Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah mengadakan satu pertandingan yang dinamakan Dendang Rakyat,” jelasnya.
Katanya lagi, sejak itu RTM mula meletakkan peraturan terhadap boria dari segi pakaian seragam yang menjadi ikutan kepada penggiat boria moden.
“Boria juga mula meningkat pada tahun 70-an dan ketika itu terdapat 80 kumpulan boria yang bergiat aktif dengan mempersembahankan boria kepada masyarakat. Padang Tambun merupakan tempat berkumpulnya orang Melayu dari kampung-kampung sekitar Tanjung untuk mendapatkan hiburan melalui persembahan boria.
“Namun menjelang tahun 80-an, boria dikenali sebagai satu bentuk hiburan tradisional semakin merosot berikutan ramai kumpulan boria telah berpecah dan tidak ingin meneruskan seni boria lagi. Akhirnya pada tahun itu didapati hanya ada lima kumpulan boria yang bergiat aktif,” katanya.
Omar menambah, bagi mengekalkan warisan boria ini, terdapat usaha yang dilakukan oleh beliau untuk mempertahankan warisan boria dari terus lenyap.
“Saya telah melakukan promosi dengan membuat blog khas tentang boria. Blog ini dinamakan sebagai Warisan Boria.
“Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia juga telah mengambil langkah dengan mengadakan pertandingan boria dan pesta kebudayaan untuk menghidupkan semula warisan boria,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pihak sekolah juga telah mengambil langkah dengan mengadakan pertandingan persembahan boria bagi mendedahkan boria kepada pelajar sekolah.
“Saya berharap dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan penggiat seni boria ini, warisan boria mampu dikekalkan khususnya oleh generasi muda daripada terus hilang,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...