Boria Zaman Dahulu

Khamis, September 24, 2009

Boria Sek Rendah Methodist Nibong Tebal 1979


Petikan email Ahmad Fathi (KUMBOI NYOK),


"Gambar ini diambil pada tahun 1979...di Sek Ren Keb Methodist Nibong Tebal sewaktu usia 12 tahun...darjah 6.... ...waktu zaman persekolahan saya dulu tu..saya juga berminat dalam bidang boria ni.....tambah tambah lagi guru yang mengajar boria ni bukan calang calang orangnya....


Namanya Cikgu TORAN SENAPI... arwah adalah pemimpin boria SRI PENANTI...pernah menyertai pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM...dulu. Boria sekolah saya memang begitu popular di zaman persekolahan saya dulu terutama di sekitar Seberang Perai Selatan...


Terkenang saya kat arwah walaupun garang waktu mengajar...tapi bila mai bab boria saja orangnya seni,lembut dan lucu......


#Kedudukan dalam gambar.1..
Gambar saya dibarisan bawah...no1 dari kiri....arwah Cikgu Toran Senapi no 4 dari kiri sebelah guru besar......


#Kedudukan dalam gambar 2..
No 2 dari kiri.....sketsa membawa watak anak kepada seorang ibu....yang lain sebagai watak tok penghulu...jiran berbangsa cina dan india..."

Terima kasih Sdr. Ahmad Fathi (KUMBOI NYOK) dari Nibong Tebal, Seberang Perai yang mengirimkan gambar-gambar dan keterangan di atas. Satu lagi khazanah berharga yang tak mungkin dapat ditukar ganti. Sebenarnya arwah Cikgu Toran Senapi ni adalah rakan seni yang saya kenali, tapi berbeza umur. Saya panggil dia Cikgu Toran. Dia seorang pelawak yang tidak asing lagi di RTM dan utara ketika itu bersama-sama dengan Cikgu Mohd. Noh B.A. (telah meninggal) dan juga pelawak Maidin Ibrahim (Mamu Maidin yang masih berlawak dan berlakon sekarang). Allahyarham juga seorang penggiat boria yang aktif di Seberang Perai ketika itu disamping terkenal sebagai seorang pengadil bola sepak.

Arwah memang terlibat dengan Kumpulan Boria Guru-Guru Penanti. Maaf saya akan dapat kepastian dan fakta yang tepat dari rakannya yang masih ada lagi sekarang ini. Saya turut menziarahi jenazahnya bersama-sama dengan pelawak Piee di Guar Perahu ketika beliau meninggal dunia.

Blog Ahmad Fathi - KUMBOI NYOK sila klik di sini.

Khamis, September 17, 2009

Boria Hari Raya di Radio Malaysia Klasik Nasional



Peminat-peminat boria di mana sahaja, jangan lupa ikuti sebuah persembahan boria 'SELAMAT HARI RAYA' terbitan Radio Malaysia Klasik Nasional pada hari raya pertama ini jam 4.15 petang. Siaran ulangan hari Jumaat 25 September 2009 jam 7.45 malam. Kumpulan boria dibawah pimpinan saya sendiri - Omara, Tukang Karang - RockyDin, Sketsa - Chik, Omara dan Chop. Muzik - Md. Din As-Salam, Rangkap Karangan - Omar M. Hashim (Omara). Penerbit - Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar.

1.

SELAMAT HARI RAYA, AIDIL FITRI

KEPADA SAUDARA, SERTA SAUDARI

BERAKHIR RAMADHAN, SYAWAL BERSERI

BORIA KLASIK, SALAM DIBERI


8.

MAAFKAN KAMI, PENDENGAR BUDIMAN

RAKAN TAULAN, SAHABAT DAN TEMAN

KLASIK NASIONAL, RADIO IDAMAN

BORIA KLASIK, BERSALAM SALAMAN


Antara rangkap karangan pembukaan dan penutup disiarkan di atas. Selamat mendengar!

Sabtu, September 05, 2009

Boria Telekom Pulau Pinang 1977


1977 berita tersiar," Untuk menyerikan malam tersebut (Malam Anikaragam sempena Hari Telekom Sedunia yang berlangsong di Pusat Latihan Telekom, Jalan Gurney, Kuala Lumpur) Kumpulan Boria dari Telekom Pulau Pinang diundang memberi persembahan mereka yang menarik."


Terima kasih kepada sahabat lama saya Mohd. Ismail Ariffin yang telah masukkan gambar ini dalam FACEBOOKnya untuk tatapan semua.

Rabu, September 02, 2009

Pelajar UPSI Gembira Kenali Boria



Saya terharu menyambut kedatangan 10 orang pelajar UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak di awal bulan Ramadhan baru-baru ini. Mereka ialah Mohamad Fadhli, Nurul Nisahanis, Robihah, Azwin, Nurulasikin, Nur Atiqah, Noor Diyanah, Nur Ain, Siti Nor Adzlia, Muhd Anwar Saifuddin dan juga Muslim dari UITM Permatang Pauh yang bertujuan untuk mengkaji dan mendalami seni warisan ghazal parti.  Akhirnya mereka tertarik juga dengan seni warisan boria apabila saya memberitahu mereka yang saya juga adalah seorang penggiat boria.

Mereka gembira apabila saya berikan peluang mencuba beberapa alat muzik dan props boria. Dari perbualan dan riak air muka mereka saya yakin kesemua mereka memang benar-benar sayangkan kesenian bangsa ini.

Walaupun dari pagi hingga ke tengahari saya melayani mereka di Seberang Jaya, Seberang Perai namun saya juga turut gembira kerana dapat menerangkan dengan lebih mendalam apa itu boria.

Generasi inilah nanti yang akan menjadi pelapis dan terus melestarikan seni warisan negara kita supaya terus dipelihara ke sepanjang zaman.

Ahad, Ogos 30, 2009

31 Ogos 2009 Boria Merdeka Jam 9.30 Pagi Di Radio Klasik Nasional


Esok hari kebangsaan 31 Ogos 2009 jam 9.30 pagi ada persembahan boria di Radio Malaysia Klasik Nasional. Rancangan Dendang Rakyat yang diterbitkan oleh Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar ini akan mengutarakan kisah Kemerdekaan dengan sketsa dan lagu boria.

Tukang karang boria oleh RockyDin, Rangkap Karangan oleh Omar M. Hashim (Omara), Lagu oleh Mat Din, Sketsa oleh Chik, Chop dan Omara.

Rabu, Ogos 19, 2009

Piee Tinggalkan Boria, Kenangan Watak Sketsanya Masih Terasa


Kehilangan Piee dalam boria memang amat dirasakan. Bukan hilang ke mana, tapi dia tidak main boria lagi sekarang ini. Mungkin pendapatan di bidang lawak jenaka dan lakonan sekarang lebih tinggi berkali ganda maka membuatkan Piee tidak kembali kepada boria lagi. Saya (semasa remaja) adalah peminatnya yang setia. Apabila Radio Malaysia Pulau Pinang menyiarkan rancangan 'boria' pada penghujung tahun 60an dan awal 70an, saya tidak pernah melepaskan peluang mengikutinya. Persembahan Piee di pentas-pentas boria juga saya ikuti, ketika itu Boria Sungai Pinang memanglah tidak asing lagi di utara.

Ya, memang benar, kalau nak difikirkan mengenai pendapatan dari permainan boria memanglah sedikit. Hampir 20 orang terlibat dalam satu-satu persembahan boria, bayarannya memanglah tidak setimpal. Jika jadi artis macam sekarang, senang-senang mereka dapat bayaran yang lumayan. Cuba kita kirakan, kalau main boria katakanlah Piee dibayar RM100 untuk satu sketsa, tapi berlawak di pentas dia dapat antara RM3,000 hingga RM5,000. Kecuali mereka yang sayangkan boria saja akan tetap bersama dengan boria walaupun "tolak pi tolak mai... apa pun tarakkkk...." Sekali dapat RM100, makan, minum, pengangkutan dan pergi/balik latihan habis begitu saja.... Kalau tak percaya kiralah sendiri....

Siapa perduli dengan nasib orang boria. Kalau nak jadikan boria sebagai pendapatan... maaflah... tak mungkin. Kita kena kaya dulu, baru main boria... Kita hanya disuruh martabatkan boria, tapi nak makan martabak pun susah....

Piee atau Shafiee Jaafar, 76, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Piee akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an.

Boria adalah karangan, kata Piee. Kekuatan persembahan boria, menurutnya, bukan terletak pada nyanyian tapi lawak ataupun sketsa yang dipersembahkan oleh pelakon sebelum persembahan tukang karang dan sailor. “Lakonan yang ditonjolkan pelakon merupakan intipati kepada persembahan selepas itu.

Selalunya Pak Piee dan Pak Daud, pemimpin Boria Sungai Pinang, akan buat jenaka tentang isu-isu semasa. Bukan jenaka kosong tapi penuh dengan sindiran,’’ katanya ketika ditemui di lokasi filem Nana Tanjung di Shah Alam baru-baru ini. Piee, yang lebih senang membahasakan dirinya Pak Piee, mula menyertai pasukan boria Sungai Pinang pada tahun 1961 setelah berhijrah ke Tanjung, Pulau Pinang. Sebelum menyertai kumpulan boria, Piee lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Bagaimanapun, jodoh Piee dengan kumpulan boria Sungai Pinang tidak berpanjangan kerana masuk sahaja tahun kelapan Pertandingan Dendang Rakyat, dia mengambil keputusan untuk berundur diri. Piee berazam tidak akan bermain boria lagi.

“Masa Pak Piee bersama Boria Sungai Pinang, kumpulan lain ada yang tidak mahu masuk bertanding sebab tahu asyik pasukan kami saja menang. Waktu itu terdapat kira-kira 32 buah kumpulan boria di Pulau Pinang.

“Memang Pak Piee suka boria tapi disebabkan ada orang tertentu yang nak tunjuk pandai dalam kumpulan itu, terus Pak Piee give up. Masa malam pertandingan lagi, Pak Piee cakap pada Pak Daud, menang atau kalau aku tetap nak keluar dan tidak akan main boria lagi,’’ luahnya.

Pak Piee yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Namun pelawaan itu ditolak dengan baik kerana bagi Pie lawak yang dipersembahkan selama ini bukan boleh dipelajari di mana-mana sekolah. Jelasnya, untuk berlawak seseorang perlu ada bakat dan kebolehan semula jadi. Kata Pie, jenaka yang dipersembahkan tidak boleh dirancang kerana semua perkara perlu dilakukan secara spontan dan yang penting setiap jenaka yang dibuat perlu ada landasan. “Mungkin disebabkan sudah lama berpasangan dengan Pak Daud dan Aman Tok Koya, jadi setiap kata-katanya Pak Piee boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Piee mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963. Kami sudah tahu apa yang nak dikatakan.

“Memanglah orang suka lawak Pak Piee yang loyar buruk ini tapi dalam kehidupan seharian mana boleh loyar buruk nanti kena ketuk teruk,’’ katanya sambil berseloroh. Datuk kepada 12 cucu dan seorang cicit itu tidak menggalakkan anak-anaknya mengikut jejaknya menjadi pelawak ataupun pelakon.

Setelah menghilangkan diri begitu lama dalam sketsa boria peminat-peminatnya dapat melihat kemunculannya berjenaka dalam sebuah sketsa boria dengan pelawak Imuda dalam salah satu majlis menerusi siaran langsung TV1 RTM tidak lama dulu.

Ahad, Ogos 16, 2009

Ada Yang Hina Boria Dalam Ucapan Dan Tulisan

Terima kasih kepada orang-orang politik yang sering sebut mengenai 'boria' dalam ucapan-ucapan dan tulisan mereka. Cuma yang tak sedap didengar, apabila mereka hendak bercakap mengenai negeri Pulau Pinang ataupun rakyat Pulau Pinang, ada yang mempersendakan seni warisan boria ini.
Saya tidak berhasrat menamakan siapa dan di mana? Tapi ada antara orang-orang politik ini adalah rakan saya sendiri. Oleh kerana mereka sendiri tidak tahu mengenai boria, ada yang tulis tukang karang boria sebagai 'tukang karut'. Padahal 'tukang karut' sepatutnya ditujukan kepada pemain Dikir Barat dan bukannya boria. Ada yang sebut kononnya pemain boria pakai topeng... Tahun bila yang mereka tengok? Kalau tak tahu tak payah sebutlah....
Maka mereka pun mempermain dan memperlekehkan kesenian boria ini. Habis orang-orang boria dihentam mereka. Kononnya Melayu Pulau Pinang asyik berboria hingga habis tanah tergadai. Melayu Pulau Pinang leka dan lalai dengan boria. Asyik berseronok dengan boria... dan macam-macam lagi dilabelkan kepada 'boria' ini. Sedangkan, boria di Pulau Pinang ni pun dah hampir pupus... (dimana mereka lihat orang boria berkhayal sampai begitu sekali?). Salah besarkah kalau penggiat boria hendak mempertahankan kesenian warisan Pulau Pinang ini. Apa kena mengena main boria setahun sekali hingga tanah kampung mereka tergadai... Kenapa mereka tak sebut tentang hip hop, black metal dan budaya kuning yang lain? Mungkin anak-anak mereka sendiri pun meminati budaya-budaya luar ini....
Kami penggiat boria di Pulau Pinang tidak pernah bermusuh dengan orang politik yang menghina boria ini. Ada antara orang-orang boria juga yang menyokong mereka dan pernah bermain di majlis mereka. Janganlah hina segala seni budaya warisan bangsa. Kalau nak kutuk orang tua-tua yang berdangdut dan berkaraoke hingga lewat malam itu terpulanglah... Kami orang boria tak masuk campur... Kalau nak berucap mengenai politik... cakaplah apa saja mengenai politik, jangan cakap mengenai boria yang mereka sendiri pun tak faham dan tak pernah tengok hanya nak sedapkan syarahan sahaja.... Rangkap karangan boria yang mereka sebut pun tak betul....
Untuk pengetahuan, Boria adalah antara Objek Warisan Tak Ketara (122 butiran warisan) yang telah diistiharkan awal tahun ini oleh Jabatan Warisan Negara.
Gambar: Adik Puteri (walaupun masih kecil) tapi meminati boria. Tongkat tukang karang menjadi kebanggaannya.

Selasa, Ogos 11, 2009

Boria Di Padang Kota, Pulau Pinang 15 Ogos 2009


This Saturday, be mesmerized by the Malay culture of Penang through the local Boria and Malay Traditional Dance at the Penang Esplanade. Witness this show of traditional culture for a delightful 90 minutes and learn the true roots of the Penang Malay culture with its colourful costumes and friendly persona.

The month of August focuses

on the various religion of Penang culture each week. Through these entertaining shows, the world is able to see the uniqueness of each race in Penang living together in peaceful harmony.
Don't miss out on this eye-opening event of the melting pot of

culture and religion in Penang! Bring your friends and family for an entertaining Saturday night of catchy Malay tunes under the bright starry stars!


Selasa, Ogos 04, 2009

DVD Boria Dapat Sambutan



Saya gembira kerana DVD Seni Persembahan BORIA - sebuah dokumentari boria yang informatif diiringi lagu-lagu boria terbitan Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sejak saya mengedar dan menjual DVD ini, ramai guru-guru dan peminat Boria dari seluruh tanahair menghubungi saya membuat pesanan. Harga satu set DVD (2 Disc) ini ialah RM35.00 dan ditambah RM5.00 belanja pos laju. Kepada mereka-mereka yang tinggal di Kawasan Butterworth, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Bandar Perda, Seberang Jaya, Kepala Batas dan George Town, Pulau Pinang saya akan hantarkan sendiri DVD ini.

Dalam DVD ini dapat disaksikan empat buah persembahan boria lama (sebelum merdeka) yang turut dilakonkan oleh pelawak Imuda dan tiga buah persembahan boria zaman ini oleh Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang. DVD dokumentari pula mengisahkan sejarah awal boria, peraturan dan syarat-syarat persembahan boria yang dibuat pengambarannya di beberapa buah tempat menarik di Pulau Pinang.

Sila hubungi saya: Omar Hashim (OMARA) di talian - 013 4220091 atau email - omara353535@hotmail.com

Khamis, Julai 30, 2009

Fakta Boria Yang Harus Dibetulkan


Maafkan saya kerana terpaksa berterus terang menjelaskan di sini mengenai kekeliruan gambar dan catatan mengenai boria yang kerap saya dapati dari bahan-bahan rujukan mengenai boria Pulau Pinang. Ramai juga mereka-mereka yang baru ingin mendalami seni warisan boria bertanyakan saya mengenai gambar yang saya paparkan ini. Sila lihat gambar ini.... ada yang tanya, di akhir persembahan boria kena buat permainan akrobatik ka?

Jawapannya, boria tetap boria... Boria bukan tarian. Bukan akrobatik. Kalau menyerupai tarian, itu tarianlah namanya... bukan boria. Jika menyerupai akrobatik, itu akrobatiklah namanya... bukan juga boria. Jika kita nak pisahkan boria dengan seni yang lain senang saja....

1. Boria ada sketsa/cerita/lakonan boria... kalau lain daripada itu bukanlah boria.
2. Boria ada tukang karang.... pegang tongkat penunjuk/baton sambil menyampaikan rangkap karangan boria....kalau lain daripada itu bukanlah boria.
3. Boria ada rangkap karangan, susunan sukukata atau rima hujungnya sama setiap rangkap.... kalau lain daripada itu bukanlah boria.
4. Tukang karang boria menyampaikan karangan dengan suara lantang, jelas mengikut irama lagu.... kalau menyanyi itu pun bukan borialah... itu kita panggil penyanyi.
5. Boria ada sailor/kelasi di belakang tukang karang sambil bergerak mengikut step boria... kalau menari tu dipanggil penarilah atau tarian... bukannya boria.
6. Boria ada lagu masuk dan lagu keluar.... kalau yang lain tu kita panggil lagu sudahlah.
7. Sailor/kelasi mengulangi rangkap karangan yang disampaikan oleh tukang karang (biasanya dipermulaan dan akhir. Boleh juga yang lain.... tapi kalau sailor/kelasi tak menyanyi itu bukan borialah....
8. Boria tu borialah.... senang! tak payah nak pening-peningkan kepala.....
- Omar M. Hashim (OMARA) Penggiat Boria Pulau Pinang

Ahad, Julai 26, 2009

Sambutan Ulang Tahun Bandar Warisan Dunia Tanpa Boria





Sekali lagi 'BORIA' terima tamparan hebat di negeri asalnya sendiri Pulau Pinang apabila kesenian warisan yang telah dinobatkan sebagai warisan seni kebangsaan diketepikan dalam acara PERAYAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN PERTAMA BANDAR GEORGE TOWN SEBAGAI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO PADA 25 JULAI 2009.

Warisan Boria menerima beberapa panggilan telefon dari penggiat dan peminat boria bertanyakan hal ini dan saya sendiri hanya boleh jawab; "tak tahu".... Sepanjang hari hingga ke malam pada 25 Julai ketika saya pergi melihat acara-acara yang dipersembahkan memang benar tidak ada persembahan boria di situ. Kebudayaan kaum Cina, India, Benggali dan kesenian melayu lain seperti tarian, muzik asli, ghazal parti, silat dan sebagainya telah diadakan. Tapi yang peliknya, di manakah boria?

Sedih dengan nasib boria di negeri asalnya sendiri. Adakah pihak jawatankuasa penganjur terlupa kepada boria? Jika terlupa, Warisan Boria ingin cuba peringatkan. Lain kali ingat-ingatlah juga dengan boria.

"Tang mana lagi kami nak pi tujuk kalau bukan di George Town Pulau Pinang yang dah jadi bandaq warisan dunia ni....." "Kesianlah kat kami.... pagi petang malam dok berlatih punya nak jaga kesenian ni.... para penggiat pula dah keluaq duit poket sendiri nak biayai kumpulan-kumpulan boria masing-masing takut dia pupuih... tapi nak pupuih juga nampaknya...." "kat sapalah kami nak pi mengadu... kat Franchis Light kot? dia dah jadi batu...."...

Eh wah eh wah....! Pakat eh wah dalam bilik mandi sendiri pagi-pagi....

Gambar 1: Persembahan tarian melayu dan muzik asli di hadapan Muzium Islam
Gambar 2: Persembahan Ghazal Parti.
Gambar 3: Silver Man di Lebuh Armenian
Gambar 4: Beca membawa pelancong di hadapan Muzium Islam P. Pinang

Khamis, Julai 23, 2009

Tukang Karang Boria









Dalam persembahan boria, gerak tarinya dimulai dengan ‘lagu masuk’. Barisan sailor atau kelasi akan masuk ke pentas atau tapak persembahan mengikut alunan lagu yang dimainkan oleh pemuzik ataupun dari muzik yang telah disediakan. Kemudian masuk pula tukang karang sambil memegang tongkat di tangan dan mengambil tempat di hadapan sambil menyanyi mengikut rangkap karangan atau senikata lagu yang disusun begitu indah mengikut suku kata yang seirama di setiap hujung rangkap.


Berdiri di depan, si tukang karang

Kebolehannya pula, bukan sebarang

Suaranya jelas, dan juga terang

Tongkat di tangan, dihayun garang.


Tukang karang, main peranan

Memegang tongkat, di tangan kanan

Seni kata indah, bersama susunan

Sailor di belakang, mengikut permainan


Nyanyian tukang karang boria haruslah lantang dan jelas satu persatu (tidak mengikut nyanyian biasa).


Antara tukang karang boria yang terkenal dahulu ialah Ibrahim (Boria Sungai Pinang), Pak Kan atau Abu Bakar Jaafar, Hassan Aluih Pakcik Kaya dan ramai lagi. Nama-nama seperti Syukur Hamid, Aini Omar, Syed Akir, Ali Yusoff, Nassier Wahab juga tidak asing lagi kepada peminat-peminat boria ketika itu. Kini pula Jibran Khalil, Nurul Hafizi (Gee), Roslan Hamid, Hasman, Mohd Salman Md Zin, Rosely Abdullah (Chik), Afzan Saffuan bin Ahmad (atau Lan DekNa) dan ramai lagi. Dato' Ahmad Daud, Hail Amir, Najib Haniff, L. Ramlie, Md. Noor Othman atau lebih dikenali dengan pelawak Pak Man Telo juga pernah menjadi tukang karang boria suatu ketika dulu. Walaupun tidak disebutkan satu persatu di sini, Warisan Boria akan cuba dapatkan fakta senarai nama-nama tukang karang dan gambar mereka dahulu hingga kini untuk dicatatkan di sini.


Tukang karang yang baik ialah mereka yang dapat mencipta rangkap karangan sepontan semasa membuat persembahan, dapat menghafal atau dapat menyampaikan rangkap karangan dengan secara bercerita kepada penonton atau pendengar (tidak seperti membaca). Semoga bilangan mereka yang berkebolehan menjadi tukang karang ini semakin meningkat di tanahair kita.


Gambar: Sebahagian dari tukang-tukang karang boria.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...