Boria Zaman Dahulu

Ahad, Oktober 24, 2010

Shukor Abd Hamid Tukang Karang Boria DAKOTAS Meninggal


KEMBALI KERAHMATULLAH PADA 23 OKTOBER 2010 - SHUKOR ABD. HAMID

Dukacita dimaklumkan melalui sahabat saya Zulkipli Omar, Bekas tukang karang boria Kumpulan DAKOTAS Jelutong yang tidak asing lagi Shukor Abdul Hamid (adik kepada Allahyarham penyanyi Kahar Hamid) telah meninggal dunia pada 23 10 2010. Kumpulan DAKOTAS pernah memenangi pertandingan Dendang Rakyat Boria RTM tahun 70/80an dahulu dan Shukor adalah tukang karangnya. Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas rohnya... Amin

Gambar sumbangan Abu Bakar Kassim: Kumpulan Boria DAKOTAS semasa berada di Angkasapuri Kuala Lumpur untuk pertandingan Dendang Rakyat Bahagian Boria anjuran RTM dalam tahun 70/80an dahulu. Shukor duduk memegang tongkat berbaju merah.

Rabu, Oktober 13, 2010

Majlis Perkahwinan Anak Pn. Siti Zaleha M. Hashim Undang Boria





Dewan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Tarikh: 10 10 10. Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah diundang buat persembahan di Majlis Perkahwinan Fariq dan Fareeza (Puteri kesayangan Puan Siti Zaleha M. Hashim - penulis/sasterawan yang tidak asing lagi Dewan Bahasa Dan Pustaka).

Kami seramai 14 orang, telah bertolak dengan tiga buah kereta dari Pulau Pinang pada hari sabtu 9 10 10 dan diberi tempat penginapan di Grand Pacific Hotel Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, kami telah persembahkan dua buah persembahan. Persembahan pertama ketika pengantin sedang makan beradab dan kedua semasa penutup majlis tersebut. Penyanyi Uji Rashid, Chico dan Roslan Madun juga turut diundang.

Persembahan pertama yang khas ditujukan kepada pasangan pengantin bertajuk Selamat Pengantin Baru. Rangkap karangan khas telah dicipta dan disusun untuk kedua-dua mempelai ini.

Sketsa boria oleh Bakar Panjang, Omar Hashim Omara, Sharifah Juairiah dan Chop (Pak Kojek). Tukang karang oleh Hafizi Jie dan sailor pula oleh Budayasari Pulau Pinang. Lan DekNa dari Rajalawak L N J turut bersama rombongan walaupun tidak mengambil bahagian.

Sambutan yang hebat dari Pengantin dan keluarga serta para tetamu turut sama memeriahkan persembahan kami pada petang itu. Kami bertolak balik ke Pulau Pinang pada hari yang sama dengan harapan semoga persembahan boria akan terus diterima di seluruh negara.

Selasa, Oktober 05, 2010

Kumpulan Sketsa Boria MAMU TANJUNG



Kumpulan Sketsa Boria MAMU TANJUNG, salah satu kumpulan yang aktif dalam beberapa persembahan boria. Terdiri dari Omara, Bakar Panjang, Yusof atau Chop dan juga Sharifah Juairiah.

MAMU TANJUNG ditubuhkan pada tahun 2005 ketika menyertai pertandingan boria Pesta Pulau Pinang dan juga Boria Padang Brown ketika itu. Pernah memenangi pelakon sketsa terbaik dalam pertandingan boria yang diadakan.

Kumpulan sketsa ini kerap diundang membuat persembahan dengan kumpulan-kumpulan boria terutamanya Boria Budayasari Pulau Pinang.

Persembahan sketsa adalah wajib bagi sesuatu persembahan boria yang diadakan. Tanpa sketsa, boria disifatkan tidak lengkap dan tak patut dipanggil dengan nama 'Boria'.

Kumpulan ini kerap juga terlibat dalam beberapa buah rakaman tv dan dokumentari boria.

Isnin, September 06, 2010

Boria Hari Raya Di Radio Malaysia Klasik Nasional 13 September 2010



HARI ISNIN 13 SEPTEMBER 2010 -
Boria Hari Raya di Radio Malaysia Klasik Nasional jam 9.15 malam. Persembahan oleh Kumpulan Boria OMARA dari Pulau Pinang.

Sketsa oleh: Omar Hashim (Omara), Yusof M. Hashim (Chop) dan juga Abu bakar Kassim (Bakar).

Penerbit rancangan Dendang Rakyat: Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar.

Jumaat, September 03, 2010

Boria Ibu Kota di Muzik Aktif




Baru baru ini rakaman TV1 tahun 80an dahulu dalam rancangan Nada Budaya telah disiarkan kembali di Saluran Muzik Aktif (Channel 180 Astro). Kumpulan Boria Ibukota dari Kuala Lumpur telah mempersembahkan boria yang lengkap dengan sketsa, rangkap karangan serta lagu dan gerak tari yang menarik.

Terima kasih kepada Muzik Aktif yang berikan tempat kepada seni warisan kebangsaan ini. Cuma sayangnya rancangan seperti ini kurang didapati sekarang ini. Boria telah lama hilang di kaca Tv. Semoga selepas ini ada penerbit-penerbit di Tv yang sedar mengenai perkara ini dan kembali memberikan tempat semula kepada warisan seni boria.

Isnin, Ogos 30, 2010

Boria Warisan Pulau Pinang di Radio Malaysia Klasik Nasional Malam Ini


Malam ini dengarkan Dendang Rakyat khas Merdeka dari Kumpulan Boria Warisan Pulau Pinang pimpinan Omara dan Kumpulan Dikir Barat Kencana Putra pimpinan Suhaimi Ibrahim- Dikir Barat Merdeka di Radio Klasik Nasional 9.30 malam ini.

Isnin, Ogos 16, 2010

Masih Ramai Yang Tulis Rangkap Karangan Boria Tidak Betul


Masih ramai lagi dikalangan kumpulan boria yang menulis rangkap karangan yang tidak mengikut peraturan boria yang sebenar. Saya terangkan lagi secara terperinci bentuk rangkap karangan boria yang sepatutnya dibuat.

NYANYIAN LAGU BORIA BOLEH DIKENALI BERDASARKAN HUJUNG SUKU KATA; YANG SAMA PADA SETIAP RANGKAP. LAGU BORIA YANG DINYANYIKAN OLEH TUKANG KARANG MESTI BERKAITAN DENGAN TEMA SKETSA YANG DIPERSEMBAHKAN. SUSUNAN SENI KATA LAGU BORIA MEMPUNYAI RIMA SEPERTI SYAIR IAITU A, A, A DAN A.

BIASANYA, RANGKAP PERTAMA LAGU BORIA MESTILAH MEMPERKENALKAN KUMPULAN BORIA MASING-MASING. RANGKAP INILAH YANG AKAN MENJADI KORUS UNTUK LAGU BORIA. CONTOHNYA RANGKAP KARANGAN LAGU BORIA, KUMPULAN BORIA OMARA DARI NEGERI PULAU PINANG BERIKUT;

BORIA TERKENAL, DI PULAU MUTIARA

KINI DIKENALI, DI SELURUH NEGARA

IRAMANYA CERIA, RIANG GEMBIRA

BORIA OMARA, MEMBUKA ACARA

LIHAT HUJUNG SUKUKATA BUNYI RA, RA, RA, RA. RANGKAP KARANGAN DI ATAS BETUL.

KEBIASAANNYA, RANGKAP KARANGAN AWAL, KORUS DAN AKHIR AKAN DINYANYIKAN OLEH SAILOR. MISALNYA CONTOH RANGKAP KARANGAN YANG AKHIR OLEH KUMPULAN BORIA OMARA PULAU PINANG.

AKHIR KATA, KAMI BERPESAN

BORIA BUKAN, SEKADAR HIASAN

SENI BUDAYA, SEBUAH BINGKISAN

BORIA OMARA, MENYAMBUNG WARISAN

SAILOR MENYANYIKAN RANGKAP AKHIR INI SEBAGAI PENUTUP NYANYIAN DAN PERSEMBAHAN.

CONTOH RANGKAP KARANGAN YANG TIDAK BETUL:

Andai terjebak dengan Dadah Durjana

Semua harapan akan hancur binasa

Tetapi kawan jangan putus asa

Usaha yang gigih kita bangkit semula

PERHATIKAN: Sukukata hujungnya ialah, NA, SA, SA, LA RANGKAP KARANGAN INI SALAH.

Inilah kelebihan dan indahnya boria. Rangkap karangan boria amat penting untuk membezakan sesuatu persembahan boria atau seni yang lain.

Sabtu, Ogos 14, 2010

Boria SMK Seberang Jaya Tempat ke 2 Festival Boria

BORIA SMK SEBERANG JAYA, SEBERANG PERAI.



Tahniah diucapkan kepada Boria SMK Seberang Jaya walaupun baru ditubuhkan tapi sudah berjaya mencapai tahap yang cemerlang dalam Festival Boria Semutiara yang diadakan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang baru baru ini.

Pasukan Boria SMK Seberang Jaya di tubuhkan pada 9 Julai 2010. Diasaskan oleh Pn Sharifah Atikhah binti Syed Alias. Tujuan asal ditubuhkan ialah untuk menyertai Festival Boria Semutiara.

Menurut Pn Sharifah Atikhah, “Setelah mengenali Boria, saya berazam untuk menjadikan Pasukan Boria ini sebagai perintis kepada Pasukan Boria sekolah ini dan akan terus mengekalkan pasukan ini sampai bila-bila pun.

Semangat saya makin bertambah apabila pasukan ini telah mencapai kejayaan dalam Festival Boria Semutiara baru-baru ini. Amat membanggakan, penyertaan kali pertama ini telah membuahkan hasil. Pasukan ini telah mendapat tempat ke dua dan memenangi wang tunai berjumlah RM2000.00,” jelasnya.

Namun untuk mencapai kejayaan ini bukannya mudah. Sejak ditubuhkan, latihan diadakan setiap hari tanpa henti. Latihan pernah diadakan sampai malam.

Pengurus Pasukan:-

Sharifah Atikhah binti Syed Alias

Pelakon Sketsa:-

1. Mohd Saddam bin Zulkiflee

2. Muhammad Nizan bin Mohamad

3. Dharmahveeran a/l Muniandy

4. Mohd Ikmal bin Ramli

Sailor :-

1. Norazirah bt Halim

2. Nur Nabila bt Jamil

3. Mahalakxmi a/p Krishnamoorthy

4. Nur Najihah bt Norazali

5. Anis Athirah bt Abd Razak

6. Nur Liyana Inani bt Azhar

7. Nur Liyana bt Mazlan

8. Nor Diyana bt Mat Rahim

9. Nor Amirah bt Noor

10. Nur Musfirah bt Shaik Abdul Razak

11. Alyssa Nicole Jie Ying Samuel

12. Norazliana bt Azlan

13. Nur Farhanim bt Zahari

14. Nurul Syafinas bt Zainol

Selasa, Ogos 10, 2010

Tahniah Boria Putera Wawasan Johan Boria Semutiara




Boria Putera Wawasan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya, Seberang Perai telah dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Boria Semutiara, Peringkat Negeri Pulau Pinang. Tahniah kepada Putera SMKPTJ, Tenaga Pengajar dan Tenaga-Tenaga Luar yang terlibat. Tahniah juga kepada Cikgu Murshidee Ramli.

Pertandingan ini telah berlangsung di Padang Kota Lama Pulau Pinang pada 8 Ogos 2010 anjuran Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang dengan Majlis Kebudayaan Negeri P. Pinang.

Walaupun penggiat-penggiat boria di Pulau Pinang tidak mengetahui dan tidak terlibat dalam pertandingan ini, namun Warisan Boria tetap berharap semoga seni warisan boria akan terus dimartabatkan dan semoga keaslian boria tetap dipelihara.

Serba sedikit mengenai Kumpulan Boria Putera Wawasan:

Boria Putera Wawasan SMK Permatang Tok Jaya
Sekolah Kluster Kecemerlangan Sekolah Model Khas Pulau Pinang.

Turut memenangi Anugerah Tukang Karang Terbaik iaitu :

Adik Muhammadd Syafiq bin Zainol, pasukan ini dianggotai oleh 15 orang ahli.

Tempat ke dua SMK Seberang Jaya, Ke tiga SMK Abdullah Munshi , Ke empat SMK Tanjong Bunga

Kelab Seni & Kebudayaan SMKPTJ

Guru Pembimbing & Penasihat :

Pengetua : En Juhari bin Ahmad

En Murshidee B. Hj Md Ramli - Penataan Lagu & Muzik

En Zainol B. Hashim - Penyelaras Koreografer
En Ahmad Firdaus B. Din - Lakonan Sketsa
Pn Che Jamilah Bt Abdul - Penyelaras Busana
Pn Razila Bt Azali - Penyelaras Solek & Aksesori
Pn Faizah Bt Shariff - Penyelaras Logistik & Busana
Pn Che Fatimahsham Bt Taib - Penyelaras Dokumentasi/Pementauan


Sabtu, Ogos 07, 2010

Pengkisahan Sejarah BORIA di Pulau Pinang








Majlis Pengkisahan Sejarah BORIA di Pulau Pinang telah diadakan pada 3 Ogos 2010 baru-baru ini bertempat di Auditorium P. Ramlee, Kompleks Pustaka Warisan Seni, Jalan P. Ramlee, P. Pinang. Anjuran Arkib Negara Malaysia Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang.

Y. Bhg. Dato' Haji Sidek bin Haji Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia telah merasmikan majlis yang gilang gemilang ini di hadapan lebih 250 orang penonton yang memenuhi ruang Auditorium. Turut bersama ialah Cik Mariam Binti Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pulau Pinang.

Persembahan Boria oleh kumpulan Boria KKJ Pulau Pinang memulakan acara dengan boria bertajuk 'Martabatkan Warisan Boria'.

Bahagian ke dua pula ialah sesi pengkisahan sejarah, sesi soal jawab dan kuiz boria. Pengkisahan sejarah boria P. Pinang yang dirakamkan oleh Arkib Negara Malaysia telah dipengerusikan oleh Omar Hashim (Omara) penggiat boria Pulau Pinang. Tokoh tokoh pengkisah pula ialah Tuan Syed Akir bin Syed Ahmad (Boria Anak Tanjung), Encik Abu Bakar bin Md. Kassim (Boria Dakotas), Tuan Haji Md. Zain bin Mohd (Boria Kg. Rawana) dan Enzik Zainul Abidin bin Hussain (Yussof) (Boria Sungai Pinang).

Objektif Program ialah:
1. Mendapatkan maklumat berkaitan Boria secara terus daripada tokoh-tokoh yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perkembangannya.
2. Untuk mengumpul, menambah dan melengkapkan maklumat berkaitan teater tradisional masyarakat Melayu Pulau Pinang untuk simpanan Arkib Negara Malaysia dan seterusnya dibuka kepada para penyelidik untuk rujukan.
3. Untuk merekodkan maklumat lisan daripada tokoh-tokoh bagi melengkapkan maklumat bertulis berkaitan boria.
4. Untuk menyebarkan maklumat berkaitan persembahan Boria kepada seluruh rakyat negeri Pulau Pinang.

Selasa, Julai 20, 2010

Jenazah Penggiat/Tukang Karang Boria Aini Omar disemadikan

MELAWAT JENAZAH AINI OMAR, MENINGGAL DAN KEBUMI PADA 19 JULAI 2010 DI PULAU PINANG.


Jenazah bekas tukang karang Boria tahun 70an, Aini Omar telah disembahyangkan di Masjid Hashim Yahaya, Jalan Perak, Pulau Pinang selepas solat maghrib tadi dan kemudian dibawa ke tanah perkuburan Datuk Keramat seberang jalan untuk dikebumikan.


Saya bersalaman dan ucapkan takziah kepada anaknya sendiri Mahathir Mehat, seorang penyanyi tempatan yang pernah memenangi beberapa pertandingan di Utara.

Yang Berbahagia, Dato' Seri Haji Mohd. Yusof Latiff, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), turut hadir bersama beberapa orang Ahlijawatankuasa PEMENANG.

Saya, Omar Hashim, penggiat boria dan Sharifah Juairiah juga turut bersama disamping beberapa orang rakan-rakan dan saudara mara Allahyarhamah.

Isnin, Julai 19, 2010

'Kisah Buang Bayi' Boria di Radio Malaysia Klasik Nasional


MALAM INI 19 JULAI 2010 JAM 9.30 MALAM DI RADIO MALAYSIA KLASIK NASIONAL

BORIA 'KISAH BUANG BAYI' di Radio Malaysia Klasik Nasional jam 9.30 malam ini.


Ikuti Dendang Rakyat - Boria, malam ini bersama Kumpulan Boria Pulau Pinang, pimpinan Omar Hashim Omara, tukang karang - Muhaimin dan sketsa oleh: Abu Bakar Kassim, Yusof M. Hashim dan Omar Hashim. Penerbit: Firdaus Moktar dan Rosli Derani.

Terkini - Aini Omar Meninggal Dunia - 19 Julai 2010


Dimaklumkan, Aini Omar telah meninggal dunia hari ini (19 Julai 2010) setelah dirawat di Hospital Pulau Pinang kerana sakit jantung. Arwah ialah seorang penggiat boria dan tukang karang boria wanita yang tidak asing lagi di Pulau Pinang sekitar tahun 70an.

Saya dapat berita ini dari Zaini Man, Boria Budayasari dan Razman Rahman. Jenazahnya akan dikebumikan petang ini selepas Maghrib di Tanah Perkuburan Datuk Keramat, Jalan Perak, Pulau Pinang.

Warisan Boria ucapkan takziah kepada keluarganya semoga Allah memberi rahmat ke atas ruhnya. Amin.

Sila lihat kisahnya di blog ini di http://warisanboria.blogspot.com/search?q=aini+omar

Sejarah Boria



Latar Belakang Sejarah :

Boria adalah sejenis teater tradisi yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian. Dibawa oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19.

Pada mulanya sebagaimana amalan Syiah, mereka melahirkan kedukaan di atas peristiwa tersebut dengan menyeksa diri sendiri. Namun, perubahan masa dan sekatan terhadap penyebaran pemahaman Syiah menyebabkan boria mengambil bentuk baru.

Menjadi wadah hiburan menggabungkan lakonan/sketsa, tarian (para sailor) dan nyanyian rangkap bersyair diketuai seorang penyanyi yang dikenali sebagai Tukang Karang. Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang. Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendang dan violin. Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin menarik persembahan tersebut. Di antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordion, harmonika dan lain-lain.

Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan hendaklah sesuai, jika cerita Arab maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Begitu juga dengan muzik dan tarian yang dimainkan juga mirip bentuk Arab termasuklah bahasa yang digunakan pun telor Arab. Sketsanya banyak unsur nasihat berdasarkan isu semasa/isu keluarga dalam mengharungi kehidupan seharian.

Jumaat, Julai 16, 2010

Boria di Program Merakyatkan Seni Budaya 17 Julai


SABTU 17 JULAI 2010 - BORIA DI PARIT KASA NIBONG TEBAL, S. PERAI SELATAN -

PROGRAM MERAKYATKAN SENI BUDAYA (PMS) – KAWASAN LUAR BANDAR 17 JULAI 2010 (SABTU )TAPAK PASAR MALAM BATU 3, PARIT KASA, JALAN SEMPADAN, NIBONG TEBAL, SEBERANG PERAI SELATAN.

DARI 8 PAGI HINGGA 2 PETANG... SAKSIKAN SENI WARISAN BORIA JUGA DI SANA DISAMPING GHAZAL PARTI DAN LAIN LAIN.

Ahad, Julai 11, 2010

Boria Diberi Tempat Raikan Festival George Town 2010





Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Jabatan Warisan Dunia P. Pinang, Jabatan-jabatan yang berkenaan dan penganjur Festival George Town 2010 sempena ulangtahun ke 2, George Town diistihar Bandar Warisan Dunia kerana telah mengundang Boria buat persembahan di tiga tempat iaitu pada 4 dan 7 Julai 2010.

Bersama Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Boria telah diundang buat persembahan di Rumah No. 138, Jalan Hatin, Rumah Teh Bunga Pulau Pinang sempena Hari Makanan Melayu P. Pinang dan Kraftangan yang diadakan pada 4 Julai 2010.

Pada 7 Julai pula bertempat di Pentas Lebuh Acheh, di hadapan Pejabat Warisan Dunia dan Muzium Islam P. Pinang, persembahan boria telah diberi peluang memulakan acara pentas yang diadakan mulai pukul 5 petang. Pada jam 8.30 malam pula, di Bangunan Town Hall, kumpulan boria telah diberi peluang buat persembahan meraikan TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, Ketua Menteri dan tetamu jemputan di pintu masuk ke dewan. Selepas itu Boria juga telah memulakan acara-acara pentas yang diadakan di dewan Town Hall tersebut semasa majlis perasmian Festival George Town.

Gambar: Kumpulan Boria Budayasari sedang buat persembahan di Festival George Town.

Foto atas: oleh Pak Wan
Lain Lain foto: oleh Omar Hashim Omara

Sabtu, Jun 19, 2010

Kanak Kanak dan Remaja Giat Rakam Lagu Boria



Alhamdullilah, saya sedang menguruskan rakaman lagu lagu Boria Kanak-kanak untuk Dewan Bahasa Dan Pustaka. Ini adalah satu usaha yang baik untuk menjadikan kanak-kanak sebagai pelapis kepada ahli-ahli boria yang semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini kerana faktor usia. Ketika usia kanak-kanak dan remaja, mereka perlu ditanamkan semangat cintakan seni warisan tradisi supaya ianya nanti tidak hilang ditelan zaman yang serba mencabar ini.

Saya gembira, usaha saya mendapat sokongan Dewan Bahasa Dan Pustaka yang begitu mengambil berat kepada seni warisan ini. Dua tahun lepas saya telah hasilkan tujuh buah persembahan boria dan dokumentari boria bersama-sama dengan DBP. Sekurang-kurangnya warisan boria terus dapat dinikmati dan didalami oleh generasi-generasi akan datang.

Gambar atas Kiri: Zulkifli Omar sedang mengiringi Maulud berlatih lagu boria.
Lain lain gambar: Rakaman suara di studio oleh sailor sailor boria.

Khamis, Mei 20, 2010

BORIA Di Radio Malaysia Klasik Nasional 24 Mei 2010 Jam 9.30 malam


ISNIN 24 MEI 2010 - RADIO MALAYSIA KLASIK NASIONAL JAM 9.30 MALAM, Omar Hashim Omara akan bercakap mengenai seni warisan boria di radio disamping persembahan boria Kumpulan pimpinannya berjodol 'HIJAUKAN BUMI'.

Sketsa oleh Chik, Chop dan Omara. Pakat pakat dengaq!

Terima kasih Radio Malaysia Klasik Nasional kerana telah menyediakan ruangan Dendang Rakyat untuk kesenian tradisi negeri negeri seperti Boria, Ghazal, Dikir Barat dan Dondang Sayang.

Selasa, Mei 04, 2010

Sebuah Sketsa Boria Yang Menyayat Hati Saya


"Mamu Bakaq! Nak bawak ke mana sailor sailor boria ni pi? Nak pi main tang mana lagi? Sapa la nak panggil kita main boria? Ada lagi ka boria di Pulau Pinang? Kesian budak-budak sailor boria tu, depa dok senyum saja.... Tapi Mamu Bakaq muka sedih... dok pikiaq pikiaq nak bawak depa ni pi kat mana.....
Kayuhlah beca tu Mamu Bakaq ooi... beca tak guna minyak, free saja... tapi kaki Mamu Bakaqlah yang letih nak kayuh.... Kalau beca guna minyak, ada duit ka nak isi minyak? Duit boria? Ada ka?..
Mamu Bakaq jangan susah hati... suruhlah budak budak tu main tarian saja... Kan tarian ada banyak peluang.... La ni semua orang suka tengok tarian, bukan boria! Ataupun suruh budak budak tu main teater... Suruhlah depa hafal skrip dan berlakon... Teater pun ok jugak.... Kalau susah susah sangat, suruhlah depa pi menari hip hop ka, black metal ka.... lagi bagus... he he...

Apa? Mamu Bakaq nak boria jugak? Ooo.. susahlah macam ni! Awat tanya saya? Siapalah saya... Pak Kan, Pak Lah dan Pak Daud dah takdak dah... Saya ni pun nak tahan lama mana... eh eh... tidak.. tapi InsyaAllah mudah-mudahan panjang umoq.... "

Jumaat, Mac 12, 2010

Pemergian Abdullah Darus atau Pak Lah Kehilangan Besar Kepada Boria




Abdullah Darus ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah telah kembali keRahmatullah pada 6hb. Mac 2010 di Hospital Besar Pulau Pinang. Perginya Pak Lah, seorang budayawan dan tokoh boria yang disegani adalah kehilangan besar kepada penggiat-penggiat seni budaya dan boria kita.

Pak Lah dan Pak Kan, dua orang lama boria yang begitu berpengalaman kini telah tiada lagi. Sebelum ini pada merekalah dirujuk apa-apa kemusykilan dan sejarah boria. Saya mendapat berita kematiannya daripada Pengarah Warisan Tak Ketara, Jabatan Warisan Negara Encik Siri Neng Buah melalui telefon pada jam 12.00 tengahmalam hari tersebut iaitu kira-kira sejam selepas Pak Lah meninggal.

Sebelum ini jika ada sesiapa yang ingin mendapat penjelasan mengenai seni warisan boria, saya sering cadangkan berjumpa atau telefon beliau. Beberapa rakaman tv dan dokumentari juga sering dibuat melibatkannya. Kali terakhir, saya uruskan rakaman dokumentari boria oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Saya telah membawa beberapa orang kakitangan Jabatan Warisan Negara menziarahi jenazahnya. Encik Zahir dari JKKN P. Pinang juga turut hazir. Saya Omar Hashim Omara, Yusof Hashim, Chik, Syed Akir, Mohd bin Osman, Quri, Omar Abdullah, Dr. Suhaimi, Tahir Sultan, Bashir Gulam, Kamaruddin Md. Mustafa, Hashim Ariffin, Yusuf Hussain dan ramai lagi rakan-rakan dalam boria turut berada di rumahnya di Pintasan Maklom, P. Pinang.

Saya harap, anak dan keluarganya akan terus menyimpan tulisan dan karya-karyanya untuk diabadikan sebagai khazanah yang berharga di Pulau Pinang. Marilah sama-sama kita mendoakan semoga ruhnya mendapat rahmat dari Ilahi. Al-Fatihah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...