Boria Zaman Dahulu

Rabu, Mac 21, 2012

Rakaman Boria RTM Mutiara FM 24 Mac 2012 di Pulau Pinang

Setelah berjaya dan selesai rakaman pertama awal bulan Mac ini, kini Radio Malaysia Mutiara FM sekali lagi akan membuat rakaman giliran ke dua 'BORIA'. Sebanyak empat kumpulan lagi akan buat persembahan kali ini iaitu Boria Angkatan Budayasari, Boria Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang, Boria Klasik Mutiara dan Boria KRT Bukit Gedong.
Saksikan PERCUMA di Auditorium P. Ramlee, JKKNPP, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang pada 24 Mac 2012 jam 8.30 malam.


Sabtu, Mac 17, 2012

Tokoh Boria Piee di Usia 80an


 Mac 2012 - Gambar terkini Pelawak, Pelakon, Tokoh Boria dan Seniman Pulau Mutiara yang tidak asing lagi Shafiee Jaafar atau pun lebih dikenali dengan panggilan Piee ( Pak Pie ).

Berusia lebih 80 tahun. Kini berehat di rumah anaknya di Telok Bahang, Pulau Pinang.  Lebih setahun Piee tidak berlakon atau berlawak lagi.  Beginilah keadaannya setiap hari di rumah.

"Saya tidak sakit. Tapi dah sampai masa nak berehat saja di rumah. Rakan rakan saya yang lain semuanya dah tiada, terutamanya yang usia sebaya. Bila-bila masa saya juga akan turut sama," katanya.

"Tapi saya bersedia untuk mencurahkan ilmu boria yang ada dari pengalaman lebih 50 tahun yang lalu. Bukan nak bawa mati," katanya. Dia juga bersedia menulis rangkap karangan boria jika diperlukan.

Rabu, Mac 07, 2012

Boria Rakaman Radio Malaysia Mutiara FM Meriahkan Suasana


 Radio Malaysia Mutiara FM atau dulunya dikenali dengan RTM Pulau Pinang telah mengadakan rakaman Boria pada 3 Mac 2012 bertempat di Auditorium P. Ramlee, Jalan P. Ramlee Pulau Pinang.

Antara kumpulan boria yang terlibat dalam rakaman pertama ini ialah

1. Boria Anak Wawasan, Permatang Tok Jaya.

2. Boria Putera Wawasan, Permatang Tok Jaya.

3. Boria Gema Permata, Bandar Perda, Bukit Mertajam.

4. Boria Asli Nasional, P. Pinang

Penggiat-penggiat dan ahli boria serta peminat seni warisan ini telah memenuhi Auditorium P. Ramlee untuk menyaksikan rakaman menarik lagi meriah ini yang terdiri dari kalangan kanak-kanak, remaja, dewasa dan veteran.

Semua persembahan ini akan ke udara di Radio Malaysia Mutiara FM setiap dua minggu sekali.





Ahad, Februari 12, 2012

Gema Permata, Budayasari Junior dan KRT Bukit Gedung Menangi Pertandingan Boria PDRM

PERTANDINGAN BORIA REMAJA ANJURAN BERSAMA POLIS DI RAJA MALAYSIA (PDRM) dengan GABUNGAN PERSATUAN KEBUDAYAAN dan KESENIAN MELAYU NEGERI PULAU PINANG.




 BORIA MEMANG ISTIMEWA. KETIKA GENRE-GENRE KESENIAN TRADISIONAL LAIN TERPAKSA BERHADAPAN DENGAN POLEMIK AKIBAT KEMUNCULAN HIBURAN MODEN, BORIA MEMPUNYAI KEKUATAN TERSENDIRI. BORIA SENTIASA MENDAPAT TEMPAT DALAM MASYARAKAT. BUKAN HANYA DI PULAU PINANG TETAPI MALAHAN DISEBARKAN SECARA MELUAS TERUTAMA DI NEGERI-NEGERI LAIN DI UTARA SEMENANJUNG. 

Bagaimanapun, persembahan ini memerlukan sokongan daripada pelbagai agensi supaya ia terus kekal sebagai warisan untuk generasi seterusnya. Keaslian persembahan boria wajar dipelihara. 


Pertandingan dan persembahan seperti ini harus diperbanyakkan lagi. Kesenian popular rakyat ini wajar dipersembahkan dalam apa jua acara untuk melestarikan budaya ini. Ianya memerlukan sokongan daripada pelbagai agensi supaya ia terus kekal sebagai warisan untuk generasi seterusnya. Boria harus dimartabatkan di Pulau Mutiara yang indah lagi permai ini. 


Tanggal 11 Februari 2012, sekali lagi Boria bergema di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, riuh suasana acara Polis Di Raja Malaysia (PDRM) ditambahkan lagi dengan riuhnya seni persembahan boria.


Pertandingan Boria ini turut disertai oleh lima buah kumpulan boria dari Pulau Pinang dan Seberang Perai. Berikut ialah nama kumpulan yang bertanding pada petang tersebut.


1. Kumpulan Boria SK Bagan Jermal, Butterworth
2. Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Bukit Mertajam
3. Kumpulan Boria KRT Bukit Gedung, Pulau Pinang
4. Kumpulan Boria JPJ, Pulau Pinang
5. Kumpulan Boria Budayasari Junior, Pulau Pinang

 Keputusannya, Juara disandang oleh Boria Gema Permata. Tempat Ke 2 disandang oleh Boria Budayasari Junior dan Ke 3 pula dimenangi oleh Boria KRT Bukit Gedung, Pulau Pinang.

 Ini adalah penganjuran yang terbaik dari pihak luar yang sama-sama merasakan warisan boria ini perlu dimartabatkan di Pulau Pinang. Terima kasih kepada Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan juga Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang yang telah menjayakan pertandingan ini. Semoga selepas ini nanti ada pula pihak-pihak lain yang turut jalankan aktiviti seperti ini.


Tahniah dari Blog Warisan Boria kepada semua!


Selasa, Januari 31, 2012

Pertandingan Boria Remaja P. Pinang 11 Februari 2012

PERTANDINGAN BORIA REMAJA Anjuran Bersama GABUNGAN PERSATUAN KEBUDAYAAN dan KESENIAN MELAYU NEGERI PULAU PINANG dan POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM).


Satu pertandingan boria khas untuk remaja Negeri Pulau Pinang akan diadakan pada 11 Februari 2012, hari sabtu di Padang Kota Lama, Pulau Pinang sempena Program PDRM. Pertandingan bermula dari jam 3.00 petang hingga 7 malam. Pertandingan berpandukan kepada tema program yang diputuskan iaitu RAKAN REMAJA COP BERSAMA MEMBENTERAS JENAYAH.

Penyertaan adalah terbuka kepada kumpulan boria di dalam Negeri Pulau Pinang.

 Tarikh tutup penerimaan borang penyertaan ialah pada 8 Februari 2012.

Hanya 7 kumpulan sahaja yang akan diterima bertanding berdasarkan serahan borang yang lebih awal.

Borang penyertaan boleh didapati di Pejabat Pemenang, Bangunan PEMENANG, Jalan Pemenang, Pulau Pinang atau boleh juga hubungi  En. Omar Hashim Omara di talian 013-4220091. Borang yang telah diisi hendaklah disampaikan sendiri ke Pejabat Pemenang di Jalan Pemenang, Pulau Pinang sebelum jam 4 petang pada tarikh tutup atau boleh juga dihantar melalui email kepada Email: omara353535@hotmail.com .

Selasa, Januari 24, 2012

Perkahwinan Anak Anak Omara Diserikan Boria

Ke dua dua pasangan pengantin di arak masuk dengan Kumpulan Kompang dan Boria
Ke dua dua pasangan pengantin turut menari Boria
Saudara mara pengantin juga turut menari boria di majlis tersebut
 Persembahan 2 buah boria oleh Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Seberang Perai di Majlis Perkahwinan Anak-Anak Omar Hashim Omara pada 10 Disember 2011 lepas di Seberang Jaya. Di akhir persembahan, pengantin pun turut menari bersama kumpulan boria (kebetulan kedua-dua pengantin perempuan Asnurrani dan Nur Auni anak Omara juga merupakan sailor boria).

Tkasih kepada Sdra Mustaffa Ishak Kumpulan Boria Gema Permata, Sdra Jibran Khalil, Kumpulan sketsa Tahir, 3 Yusof dan semua yang menjayakannya.


Meriahnya suasana, di hari ini
Dua pengantin, disambut kini
Anak Omara, Asnurrani dan Auni
Gema Permata, berboria di sini

Kelvin dan Hafizal, si anak teruna
Bersama pasangan, di singgah sana
Di hari bahagia, penuh bermakna
Tetamu jemputan, meriahkan suasana

Adik dan kakak, pengantin baru
Bersama pasangan, serbanya biru
Cuba tengok, janganlah keliru
Ramai tetamu, di setiap penjuru

Setelah cinta, erat bersemi
Di akad nikah, secara rasmi
Kini menjadi, isteri dan suami
Terimalah ucapan, dan doa kami

Tuan dan Puan, semua peringkat
Kawan rakan, jauh dan dekat
Saudara mara, suku dan sakat
Jemputlah makan, semoga berkat

Aneka makanan, sudah terhidang
Untuk tetamu, dijemput diundang
Jangan hanya, sekadar pandang
Sambil dengar, boria didendang

Omar dan Azizah, suami isteri
Sambut tetamu, yang tiba kemari
Dengan ceria, senyum berseri
Di hari bahagia, raikan kenduri

Raja sehari, selamat bertahta
Wajah berseri, dipandang mata
Doa dipohon, hajat dipinta
Bahagia berkasih, mekarnya cinta

Selamat berbahagia, pengantin budiman
Direstui keluarga, rakan dan teman
Berkasih sayang, mesra dan aman
Kekal abadi, sepanjang zaman

Warisan kita, seninya indah
Persembahan boria , berakhir sudah
Salah dan silap, ampun ditadah
Gema Permata, tamat bermadah


Selasa, Januari 03, 2012

Boria Lama dan Boria Baru di Sambutan 55 Tahun George Town Meriah


Dua buah persembahan boria telah diberikan tempat di Majlis Sambutan 55 Tahun George Town Bandaraya yang berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada malam 31 Disember 2011. Pembukaan dimulakan dengan sebuah persembahan Boria Lama oleh Kumpulan Boria Asli Nasional dan penutup pula oleh Kumpulan Boria Pulau Pinang dengan boria terkini bersama 50 orang sailor.

Boria Asli . Tukang Karang - Jibran Khalil. Lagu - Zulkipli Omar. Rangkap karangan - Omara. Boria P. Pinang pula Tukang Karang - Maulud Idola. Lagu - DjYY. Muzik - Zulkipli Omar. Rangkap Karangan - Omara.

Di akhir persembahan, semua artis-artis seni dari pelbagai kaum lebih kurang 100 orang lebih turut menari dan menyanyi bersama dengan kumpulan boria memeriahkan acara hingga tamat. Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng turut naik kepentas mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.


Khamis, Disember 29, 2011

Persembahan Boria Asli dan Boria Moden di George Town City Day 2011

George Town Penang City Day yang akan berlangsung di Padang Kota Lama Pulau Pinang pada 31 Disember 2011 ini akan menyaksikan persembahan sebuah boria asli oleh Kumpulan Boria Asli Nasional di acara pembukaan dan sebuah boria moden oleh Kumpulan Boria Pulau Pinang di acara penutup dengan sailor yang agak ramai dari biasa.
Penonton yang berminat boleh datang ke Padang Kota Lama untuk menyaksikan persembahan yang akan dimulakan dari jam 8.00 malam. Selamat menonton!

Isnin, Disember 26, 2011

Klip Persembahan Boria Asli Nasional di Pesta P. Pinang 2011

Klip persembahan Kumpulan Boria Asli Nasional dengan kisah 'Jawi Peranakan' Boria pimpinan Omar Hashim (Omara). Tukang Karang - Jibran Khalil. Gubahan Lagu - Zulkipli Omar. Rangkap Karangan - Omar Hashim (Omara). Sketsa - DjYY, Chop Pak Kojek, Bakar Panjang, Omara dan Naim. Sailor - Komposer Din-Assalam, Zulkipli Omar, RockyDin, Maulud Idola, Mustaffa Ishak, Aliff Boria, Yusof Brazil, Yusof Cincang dan anggota Gema Permata.

Sabtu, Disember 24, 2011

Boria Gegarkan Pesta Pulau Pinang Disember 2011

Boria Anak Tanjung dengan tukang karangnya Syed Akir (Tokoh Boria)
Boria Budayasari dengan tajuk - Jom Pi Pesta
Sketsa Boria kumpulan Budayasari
Jibran Khalil tukang karang Boria Asli Nasional sedang buat persembahan

Sketsa Boria Asli Nasional .
 Pesta Pulau Pinang 2011 kali ini menyaksikan tiga kumpulan boria kanak-kanak dan tiga kumpulan boria dewasa.

Boria Anak Tanjung pimpinan Tn. Syed Akir dan tukang karangnya Syed Akir sendiri.

Boria Asli Nasional pimpinan Omar Hashim (Omara) dengan tukang karangnya Jibran Khalil membawa tajuk Jawi Peranakan.

Boria Angkatan Budayasari pimpinan Rohaya Ayub, tukang karangnya pula ialah Hafizi Jie membawa kisah Jom Pi Pesta.

Jika dulunya setiap tahun acara boria dipertandingkan di Pesta Pulau Pinang, tapi kali ini pihak penganjur buat dalam bentuk persembahan sahaja.

Kami berterima kasih kepada pihak Pesta yang tidak lupa kepada seni warisan Pulau Mutiara ini. Semoga Boria akan terus segar di persada seni Pulau Pinang.
Anggota Kumpulan Boria Asli Nasional selepas persembahan

Isnin, Disember 19, 2011

Klip Boria di Majlis Perkahwinan 10 Disember 2011

 
Persembahan boria khas untuk Majlis Perkahwinan Asnurrani dan Nur Auni anak-anak Omar Hashim (Omara) yang juga anggota boria oleh Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Seberang Perai bertempat di Kompleks Sony, Seberang Jaya, Seberang Perai pada 10 Disember 2011.
Boria Gema Permata dibawah pimpinan Mustaffa Ishak. Tukang Karang Khas Sdra Jibran Khalil.

Khamis, Disember 15, 2011

3 Malam 6 Boria di Pesta Pulau Pinang 2011

Jadual terbaru persembahan BORIA di Pesta Pulau Pinang 2011. 
15 Disember 2011 - Persembahan 3 buah boria dari 3 kumpulan boria kanak-kanak
19 Disember 2011 - Persembahan Boria Anak Tanjung
20 Disember 2011 - Persembahan Boria Budayasari dan Boria Asli Nasional

Khamis, Disember 08, 2011

Boria di Pesta Pulau Pinang 2011

Beramai ramai saksikan beberapa persembahan boria di acara Pesta Pulau Pinang 2011 yang berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong Pulau Pinang. 

15 Disember bertempat di Pentas Rumah Tradisional - Boria Kanak Kanak

20 Disember bertempat di Pentas Utama - Boria Asli P. Pinang, Boria Budayasari dan Boria Anak Tanjung.


Ahad, November 20, 2011

Gambar Terkini Mamu Bakar Kembali Bermain Boria



Kiri: Abu Bakar Kassim, Omar Hashim Omara, Yusof Hashim dan Jibran Khalil.
TERKINI - 18 & 19 Nov 2011

Setelah terlantar sakit beberapa bulan di Hospital dan  di rumah. Hampir tiga minggu tidak sedarkan diri, kini Alhamdullilah... Mamu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Bakar Panjang muncul semula di pentas boria membawakan sketsa-sketsa lucu dan bermesej.

Abu Bakar Kassim nama penuhnya, mula bermain boria sejak zaman kanak-kanak lagi dan terus beraksi hingga kini. Syabas! Perjuangan boria tetap diteruskannya.

Khamis, November 17, 2011

Tak Kenal Maka Tak Cinta - Boria


 Ilmu boria sentiasa disampaikan di mana mana saja. Orang bertanya, kita (Penggiat Boria) menjawab. Golongan pelajar yang ramai ingin mendalami warisan dan seni budaya kita.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Seni budaya dan warisan harus didedahkan kepada umum. Samaada melalui media dan juga menerusi temuramah.

Ada yang berpendapat remaja tak suka seni budaya dan warisan, tapi saya rasa tidak juga. Sekiranya diberikan pendedahan, mereka masih suka dan sayangkan seni warisan ini.
 

 Blog Warisan Boria ini juga banyak dilayari oleh pelbagai golongan. Hinggakan pelajar-pelajar di luar negara pun meminatinya. Paling ramai saya dapati mereka yang tinggal di Amerika, Taipei dan Australia kerap mengunjungi blog ini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...