Boria Asli Omara di Festival Boria 2014

Rabu, November 24, 2010

Selasa, November 23, 2010

Remaja Semakin Meminati Boria








Sejak akhir-akhir ini semakin ramai kanak-kanak dan remaja yang mula mengenali seni warisan sendiri terutamanya 'boria'. Pertama mungkin kerana pihak sekolah rendah mengadakan Pertandingan Boria Anti Dadah setiap tahun. Kedua IPT terutamanya MAKUM dan FESTKUM mengadakan pertandingan Boria setiap tahun di seluruh negara. Ketiga ada juga pihak tertentu yang mula berikan perhatian kepada remaja untuk mendampingi seni dan budaya.

Ini adalah satu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya kita dapat hindarkan para remaja dari kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral seperti merempit, lepak dan beberapa gejala sosial yang semakin buruk akhir-akhir ini. Pendedahan kanak-kanak dan remaja kepada seni budaya dan warisan adalah satu perkembangan yang baik dan seharusnya dibantu.

Saya juga banyak beri peluang kepada kanak-kanak dan remaja supaya terlibat dalam boria di Pulau Pinang. Bersama-sama dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka Bahagian Multimedia, saya telah merakamkan 5 buah lagu boria kanak-kanak. Saya juga menguruskan rakaman tarian Dendang Si Manja yang terdiri dari kalangan kanak-kanak di Pulau Pinang juga untuk DBP. 

Tidak lama dulu, persembahan boria pelajar seramai 2020 orang juga telah berjaya memecah rekod Malaysia sebagai boria yang teramai dipersembahkan di PISA Pulau Pinang. Paling terbaru saya bekerjasama dengan TV3 dalam pengambaran Boria Remaja TV3 untuk rancangan Remaja TV3. Begitu juga di Radio Malaysia Mutiara FM baru-baru ini sempena menyambut hari kemerdekaan saya telah membantu kanak-kanak dalam rakaman boria.

InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar kemungkinan saya akan buatkan boria terbesar seramai 40 orang dalam satu persembahan di Pulau Pinang pada awal tahun 2011 ini yang terdiri dari remaja-remaja empat kumpulan boria yang akan saya satukan. Semoga usaha ini akan berjaya dan mendapat perhatian dari pihak pihak yang berkenaan untuk sama-sama membantu memartabatkan kesenian warisan boria ini di persada seni warisan tanahair.

Isnin, November 22, 2010

TV3 Rakam Boria Remaja Untuk 'Mai Penang My Boria' REMAJA TV3







Baru baru ini Krew TV3 yang diketuai oleh Mohd Syazwan Roslan (E’OnE) Penolong Penerbit & Pengacara, REMAJA TV3 telah memberi peluang kepada boria Pulau Pinang dalam 'Mai Penang'... 'My Boria" untuk rancangan REMAJA TV3.

Kumpulan Boria Remaja GEMA PERMATA pimpinan Mustaffa dari Bandar Perda, Bukit Mertajam Seberang Perai bersetuju untuk buat persembahan dan terlibat dalam pengambaran rancangan ini. Pn. Azura Abdul Karim dan rakan-rakan lain juga turut terlibat sepanjang pengambaran diadakan sekitar lokasi Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Saya turut sediakan sebuah rangkap karangan bertajuk 'REMAJA DI ZAMAN MAKLUMAT'. Lagu boria pula oleh Zulkipli Omar. Sepanjang pengambaran saya turut membantu mencari lokasi-lokasi yang baik untuk rancangan ini. Persembahan penuh telah dibuat di Pantai Bersih, Bagan Ajam, Butterworth.

Tukang karang Hasman Hassan yang pernah memenangi tukang karang terbaik dalam pertandingan boria turut menjadi tukang karang serta dibantu oleh Ayiee sebagai jurulatih. Mustaffa, isterinya dan Persatuan penduduk-penduduk dan masyarakat setempat di Bandar Perda telah berikan kerjasama yang terbaik dalam menjayakannya.

Kemungkinan rancangan REMAJA ini akan disiarkan di TV3 pada hari sabtu 4hb. Disember 2010 jam 1 tengahari. Terima kasih kepada TV3 yang turut membantu dalam mempromosikan boria ke persada tanahair ini.

Jumaat, November 05, 2010

Boria KKJ Pulau Pinang Tampilkan Tukang Karang Wanita




Ekspo BBM, riuh di PISA

Sambut pengunjung, pelbagai bangsa

Buatan Malaysia, tetap perkasa

Boria KKJ, taburkan jasa.

Inilah salah satu rangkap karangan boria yang telah dipersembahkan oleh Boria KKJ dari Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Pulau Pinang sempena memeriahkan Ekspo Beli Barangan Malaysia Zon Utara yang berlangsung di PISA Pulau Pinang hujung bulan Oktober 2010 lalu. Yang menariknya, kali ini Boria KKJ telah menampilkan seorang tukang karang wanita Dyan Tiey.

Sketsa oleh Razali, Tok Moh, Pak Luih dan Lanun. Lagu dan Rangkap Karangan oleh Omar Hashim Omara.

Dyan Tiey berjaya melagukan karangan boria yang mengandungi sepuluh rangkap kesemuanya dalam persembahan tersebut. Semoga beliau akan terus memajukan seni warisan boria di Pulau Pinang.

                                                                                                                                                                                                             
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...