Boria Asli Omara di Festival Boria 2014

Sabtu, Disember 25, 2010

Saksikan Pengambaran Boria Omara Bersama Tv3 pada 26 Disember 2010



Pada - 26 DISEMBER 2010 - Bertempat di TAPAK EKSPO SEBERANG JAYA - jam 4 petang saksikan rakaman BORIA OMARA oleh TV3 bersama Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2010 - Norkhiriah.


Norkhiriah juga akan turut bermain boria bersama sailor boria Omara. Tukang karang Maulud Idola Kecil 2.

Isnin, Disember 20, 2010

Piee Beraksi Semula di Pentas Boria






Setelah bertahun lamanya pelawak Piee yang suatu ketika dulu terkenal dengan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang tidak bermain boria, pada 18 Disember 2010 Piee muncul semula di atas pentas Suarasa Tv9 secara terus menerus bersama Omar Hashim (Omara) dan Sharifah Juairiah.

Disebabkan masa yang diberikan penerbit agak terhad, kami sempat juga melakonkan sebuah sketsa pendek di pagi itu.

Selepas sketsa, Kumpulan Boria Omara meneruskan persembahan dengan tukang karangnya Maulud Idola Kecil 2 dengan karangan bertajuk 'Salam Pulau Pinang' rangkap karangan oleh Omara dan lagu oleh Zulkipli Omar.

Pelawak Yusof M. Hashim (Pak Kojek) turut serta dalam persembahan ini menari sambil membawa payung boria.

Kumpulan Boria Omara mengucapkan terima kasih kepada Tv9 kerana sudi mengundang kumpulan kami buat persembahan secara langsung di sini.

Kumpulan BORIA OMARA sedang buat persembahan di Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18-19 Disember 2010.

Pemimpin: Omar M. Hashim (Omara)
Jurulatih Tarian: Rosely Abdullah (Chik)


UNIMAP Juara Boria FESTKUM 2010




Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) telah dinobatkan menjadi Juara pertandingan Boria FESTKUM 2010 yang telah berlangsung di Perlis pada 16 dan 17 Disember 2010. Tempat kedua dimenangi oleh Universiti Teknologi Mara (UITM) Kedah dan ketiga pula telah disandang oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Negeri Sembilan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.


Warisan Boria ucapkan tahniah kepada semua yang berjaya.

Gambar:
Atas - Tempat Pertama Kumpulan Boria UNIMAP sedang mempersembahkan sketsa boria.

Tengah - Tempat Ke Dua Kumpulan Boria UITM Kedah tukang karang sedang beraksi.

Bawah - Tempat ke Tiga Kumpulan Boria USIM dengan persembahannya.

Rabu, Disember 15, 2010

Pertandingan Boria di Festkum 2010


BORIA DI FESTIVAL KEBUDAYAAN UNIVERSITI-UNIVERSITI MALAYSIA 2010

Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FEStKUM) akan diadakan pada 15 hingga 19 Disember 2010 melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM Arau).

Program ini merupakan pengajur bersama Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan RTM.

Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti

  • Rampaian tarian tradisional Melayu
  • Nyanyian irama Malaysia
  • Nyanyian antarabangsa
  • Tarian tradisional Cina
  • Tarian klasik India
  • Band akustik
  • Dikir barat
  • Boria
Pertandingan boria akan berlangsung di Dewan Taman Budaya Negeri Perlis pada 16 hingga 17 Disember 2010.

Ahad, Disember 12, 2010

BORIA OMARA Dalam Pengambaran TV2 RTM Rancangan IN-TREND




SALAM PULAU PINANG

Di sini dok pi, di sana dok mai

Seronok sakan, tenang dan damai

Pulau Mutiara, indah dan permai

Boria Omara, pakat buat ramai


10 Disember 2010 - Bertempat di Tanjung Bunga Beach Hotel Pulau Pinang, Kumpulan Boria OMARA telah dipilih mengadakan persembahan dalam pengambaran IN-TREND terbitan TV2 RTM. Penerbit Syazwani Suleiman dan juga Penolong Penerbit, Aishah Hisham bersama Unit Majalah & Dokumentari, RTM telah menjayakan pengambaran ini.

Tukang Karang - Maulud

Sailor - Nazierah Zolkifly, Nur Aina Shahida, Azreen Farhana, Nur Yeantee, Siti Nuratiqah, Siti Nur Munirah, Kariatie, Nur Auni, Asnurrani dan Murni Hidayah.

Prop - Asymawi dan rakan-rakan

Sketsa - Ayie dan adik

Lagu - Zulkipli Omar

Rangkap karangan - Omar Hashim Omara

Jurulatih tarian/sketsa - Rosely Abdullah (Chik)


Ketua Kumpulan - Omar Hashim Omara

Saksikan nanti persembahan Boria ini di TV-2 RTM dalam rancangan IN-TREND yang akan disiarkan awal bulan Januari ini.

Kumpulan ini sedia menerima undangan persembahan di mana mana saja dan mereka boleh dihubungi melalui talian 013-4220091 - Omara

Khamis, Disember 09, 2010

Pastikan Boria Hari Ini Mengikut Boria Tradisi



Pastikan persembahan boria moden mengikut Boria Tradisi. 

1. Boria ada sketsa/cerita/lakonan boria... kalau lain daripada itu bukanlah boria.

2. Boria ada tukang karang.... pegang tongkat penunjuk/baton sambil menyampaikan rangkap karangan boria....kalau lain daripada itu bukanlah boria.

3. Boria ada rangkap karangan, susunan sukukata atau rima hujungnya sama setiap rangkap.... kalau lain daripada itu bukanlah boria.

4. Tukang karang boria menyampaikan karangan dengan suara lantang, jelas mengikut irama lagu.... kalau menyanyi itu tak boleh dipanggil tukang karang boria... itu kita panggil penyanyi.

5. Boria ada sailor/kelasi di belakang tukang karang sambil bergerak mengikut step boria... kalau menari tu dipanggil penarilah atau tarian... bukannya boria.

6. Boria ada lagu masuk dan lagu keluar dan lagu persembahan.... kalau yang lain tu kita panggil lagu sajalah.

7. Sailor/kelasi mengulangi rangkap karangan yang disampaikan oleh tukang karang (biasanya dipermulaan dan akhir. Boleh juga yang lain.... tapi kalau sailor/kelasi tak menyanyi itu bukan borialah....

8. Boria tu borialah.... tidak menyamai seni yang lain.

Untuk memartabatkan kesenian warisan boria, pastikan peraturan boria sentiasa dipatuhi.

Selasa, Disember 07, 2010

Boria Omara - Remaja di Seberang Jaya







Kumpulan Boria Omara - Remaja ditubuhkan di Seberang jaya, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Antara yang terlibat di hari penubuhan ialah Kariatie, Nur Auni, Nazirah Zulkifli, Yeante, Maulud, Muhammad Asymawi, Siti Nuratiqah, Asnurrani, Aina, Munirah, Azreen, Farhana, Rafik dan Murni Hidayah. Ada beberapa orang lagi yang dijangka akan terlibat.

Zulkipli Omar (pemuzik), Rosely Abdullah atau Chik (jurulatih tarian dan sketsa) juga turut membantu kumpulan ini. Rangkap karangan boria oleh Omar Hashim Omara.

Kumpulan ini ditubuhkan untuk menambahkan lagi senarai kumpulan boria di Pulau Pinang yang semakin pupus. Ahli-ahli boria ini terdiri dari beberapa orang yang pernah terlibat dalam beberapa kumpulan boria terkenal sebelum ini. Maulud dan Yeantee pula terkenal di bidang nyanyian dan tarian. Kariatie dan Nazirah juga pernah menjadi sailor boria dan masih aktif.

BORIA OMARA - Remaja : sedia menerima undangan persembahan di mana-mana sahaja. Sila hubungi Omar Hashim Omara di talian: 013-4220091.

Rabu, November 24, 2010

Selasa, November 23, 2010

Remaja Semakin Meminati Boria








Sejak akhir-akhir ini semakin ramai kanak-kanak dan remaja yang mula mengenali seni warisan sendiri terutamanya 'boria'. Pertama mungkin kerana pihak sekolah rendah mengadakan Pertandingan Boria Anti Dadah setiap tahun. Kedua IPT terutamanya MAKUM dan FESTKUM mengadakan pertandingan Boria setiap tahun di seluruh negara. Ketiga ada juga pihak tertentu yang mula berikan perhatian kepada remaja untuk mendampingi seni dan budaya.

Ini adalah satu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya kita dapat hindarkan para remaja dari kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral seperti merempit, lepak dan beberapa gejala sosial yang semakin buruk akhir-akhir ini. Pendedahan kanak-kanak dan remaja kepada seni budaya dan warisan adalah satu perkembangan yang baik dan seharusnya dibantu.

Saya juga banyak beri peluang kepada kanak-kanak dan remaja supaya terlibat dalam boria di Pulau Pinang. Bersama-sama dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka Bahagian Multimedia, saya telah merakamkan 5 buah lagu boria kanak-kanak. Saya juga menguruskan rakaman tarian Dendang Si Manja yang terdiri dari kalangan kanak-kanak di Pulau Pinang juga untuk DBP. 

Tidak lama dulu, persembahan boria pelajar seramai 2020 orang juga telah berjaya memecah rekod Malaysia sebagai boria yang teramai dipersembahkan di PISA Pulau Pinang. Paling terbaru saya bekerjasama dengan TV3 dalam pengambaran Boria Remaja TV3 untuk rancangan Remaja TV3. Begitu juga di Radio Malaysia Mutiara FM baru-baru ini sempena menyambut hari kemerdekaan saya telah membantu kanak-kanak dalam rakaman boria.

InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar kemungkinan saya akan buatkan boria terbesar seramai 40 orang dalam satu persembahan di Pulau Pinang pada awal tahun 2011 ini yang terdiri dari remaja-remaja empat kumpulan boria yang akan saya satukan. Semoga usaha ini akan berjaya dan mendapat perhatian dari pihak pihak yang berkenaan untuk sama-sama membantu memartabatkan kesenian warisan boria ini di persada seni warisan tanahair.

Isnin, November 22, 2010

TV3 Rakam Boria Remaja Untuk 'Mai Penang My Boria' REMAJA TV3







Baru baru ini Krew TV3 yang diketuai oleh Mohd Syazwan Roslan (E’OnE) Penolong Penerbit & Pengacara, REMAJA TV3 telah memberi peluang kepada boria Pulau Pinang dalam 'Mai Penang'... 'My Boria" untuk rancangan REMAJA TV3.

Kumpulan Boria Remaja GEMA PERMATA pimpinan Mustaffa dari Bandar Perda, Bukit Mertajam Seberang Perai bersetuju untuk buat persembahan dan terlibat dalam pengambaran rancangan ini. Pn. Azura Abdul Karim dan rakan-rakan lain juga turut terlibat sepanjang pengambaran diadakan sekitar lokasi Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Saya turut sediakan sebuah rangkap karangan bertajuk 'REMAJA DI ZAMAN MAKLUMAT'. Lagu boria pula oleh Zulkipli Omar. Sepanjang pengambaran saya turut membantu mencari lokasi-lokasi yang baik untuk rancangan ini. Persembahan penuh telah dibuat di Pantai Bersih, Bagan Ajam, Butterworth.

Tukang karang Hasman Hassan yang pernah memenangi tukang karang terbaik dalam pertandingan boria turut menjadi tukang karang serta dibantu oleh Ayiee sebagai jurulatih. Mustaffa, isterinya dan Persatuan penduduk-penduduk dan masyarakat setempat di Bandar Perda telah berikan kerjasama yang terbaik dalam menjayakannya.

Kemungkinan rancangan REMAJA ini akan disiarkan di TV3 pada hari sabtu 4hb. Disember 2010 jam 1 tengahari. Terima kasih kepada TV3 yang turut membantu dalam mempromosikan boria ke persada tanahair ini.

Jumaat, November 05, 2010

Boria KKJ Pulau Pinang Tampilkan Tukang Karang Wanita




Ekspo BBM, riuh di PISA

Sambut pengunjung, pelbagai bangsa

Buatan Malaysia, tetap perkasa

Boria KKJ, taburkan jasa.

Inilah salah satu rangkap karangan boria yang telah dipersembahkan oleh Boria KKJ dari Jabatan Kebudayaan Kesenian Negeri Pulau Pinang sempena memeriahkan Ekspo Beli Barangan Malaysia Zon Utara yang berlangsung di PISA Pulau Pinang hujung bulan Oktober 2010 lalu. Yang menariknya, kali ini Boria KKJ telah menampilkan seorang tukang karang wanita Dyan Tiey.

Sketsa oleh Razali, Tok Moh, Pak Luih dan Lanun. Lagu dan Rangkap Karangan oleh Omar Hashim Omara.

Dyan Tiey berjaya melagukan karangan boria yang mengandungi sepuluh rangkap kesemuanya dalam persembahan tersebut. Semoga beliau akan terus memajukan seni warisan boria di Pulau Pinang.

                                                                                                                                                                                                             

Ahad, Oktober 24, 2010

Shukor Abd Hamid Tukang Karang Boria DAKOTAS Meninggal


KEMBALI KERAHMATULLAH PADA 23 OKTOBER 2010 - SHUKOR ABD. HAMID

Dukacita dimaklumkan melalui sahabat saya Zulkipli Omar, Bekas tukang karang boria Kumpulan DAKOTAS Jelutong yang tidak asing lagi Shukor Abdul Hamid (adik kepada Allahyarham penyanyi Kahar Hamid) telah meninggal dunia pada 23 10 2010. Kumpulan DAKOTAS pernah memenangi pertandingan Dendang Rakyat Boria RTM tahun 70/80an dahulu dan Shukor adalah tukang karangnya. Semoga Allah cucuri Rahmat ke atas rohnya... Amin

Gambar sumbangan Abu Bakar Kassim: Kumpulan Boria DAKOTAS semasa berada di Angkasapuri Kuala Lumpur untuk pertandingan Dendang Rakyat Bahagian Boria anjuran RTM dalam tahun 70/80an dahulu. Shukor duduk memegang tongkat berbaju merah.

Rabu, Oktober 13, 2010

Majlis Perkahwinan Anak Pn. Siti Zaleha M. Hashim Undang Boria





Dewan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Tarikh: 10 10 10. Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah diundang buat persembahan di Majlis Perkahwinan Fariq dan Fareeza (Puteri kesayangan Puan Siti Zaleha M. Hashim - penulis/sasterawan yang tidak asing lagi Dewan Bahasa Dan Pustaka).

Kami seramai 14 orang, telah bertolak dengan tiga buah kereta dari Pulau Pinang pada hari sabtu 9 10 10 dan diberi tempat penginapan di Grand Pacific Hotel Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, kami telah persembahkan dua buah persembahan. Persembahan pertama ketika pengantin sedang makan beradab dan kedua semasa penutup majlis tersebut. Penyanyi Uji Rashid, Chico dan Roslan Madun juga turut diundang.

Persembahan pertama yang khas ditujukan kepada pasangan pengantin bertajuk Selamat Pengantin Baru. Rangkap karangan khas telah dicipta dan disusun untuk kedua-dua mempelai ini.

Sketsa boria oleh Bakar Panjang, Omar Hashim Omara, Sharifah Juairiah dan Chop (Pak Kojek). Tukang karang oleh Hafizi Jie dan sailor pula oleh Budayasari Pulau Pinang. Lan DekNa dari Rajalawak L N J turut bersama rombongan walaupun tidak mengambil bahagian.

Sambutan yang hebat dari Pengantin dan keluarga serta para tetamu turut sama memeriahkan persembahan kami pada petang itu. Kami bertolak balik ke Pulau Pinang pada hari yang sama dengan harapan semoga persembahan boria akan terus diterima di seluruh negara.

Selasa, Oktober 05, 2010

Kumpulan Sketsa Boria MAMU TANJUNG



Kumpulan Sketsa Boria MAMU TANJUNG, salah satu kumpulan yang aktif dalam beberapa persembahan boria. Terdiri dari Omara, Bakar Panjang, Yusof atau Chop dan juga Sharifah Juairiah.

MAMU TANJUNG ditubuhkan pada tahun 2005 ketika menyertai pertandingan boria Pesta Pulau Pinang dan juga Boria Padang Brown ketika itu. Pernah memenangi pelakon sketsa terbaik dalam pertandingan boria yang diadakan.

Kumpulan sketsa ini kerap diundang membuat persembahan dengan kumpulan-kumpulan boria terutamanya Boria Budayasari Pulau Pinang.

Persembahan sketsa adalah wajib bagi sesuatu persembahan boria yang diadakan. Tanpa sketsa, boria disifatkan tidak lengkap dan tak patut dipanggil dengan nama 'Boria'.

Kumpulan ini kerap juga terlibat dalam beberapa buah rakaman tv dan dokumentari boria.

Isnin, September 06, 2010

Boria Hari Raya Di Radio Malaysia Klasik Nasional 13 September 2010



HARI ISNIN 13 SEPTEMBER 2010 -
Boria Hari Raya di Radio Malaysia Klasik Nasional jam 9.15 malam. Persembahan oleh Kumpulan Boria OMARA dari Pulau Pinang.

Sketsa oleh: Omar Hashim (Omara), Yusof M. Hashim (Chop) dan juga Abu bakar Kassim (Bakar).

Penerbit rancangan Dendang Rakyat: Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar.

Jumaat, September 03, 2010

Boria Ibu Kota di Muzik Aktif




Baru baru ini rakaman TV1 tahun 80an dahulu dalam rancangan Nada Budaya telah disiarkan kembali di Saluran Muzik Aktif (Channel 180 Astro). Kumpulan Boria Ibukota dari Kuala Lumpur telah mempersembahkan boria yang lengkap dengan sketsa, rangkap karangan serta lagu dan gerak tari yang menarik.

Terima kasih kepada Muzik Aktif yang berikan tempat kepada seni warisan kebangsaan ini. Cuma sayangnya rancangan seperti ini kurang didapati sekarang ini. Boria telah lama hilang di kaca Tv. Semoga selepas ini ada penerbit-penerbit di Tv yang sedar mengenai perkara ini dan kembali memberikan tempat semula kepada warisan seni boria.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...