Boria Zaman Dahulu

Sabtu, Januari 31, 2009

Warisan Boria Kecewa Penganjur dan Warga Pulau Pinang Tak Kenal Boria










Warisan Boria dan Penggiat-Penggiat Boria di Pulau Pinang merasa dukacita dan kecewa kerana masih terdapat penganjur-penganjur dan warga Pulau Pinang sendiri yang tidak mengetahui ‘apakah itu boria’?

Ada yang berpendapat – boria itu macam tarian. Ada lelaki, ada perempuan keluar menari (pakaian nampak seragam) maka jadilah boria.

Warisan Boria tetap mempertahankan keaslian kesenian boria yang menjadi tradisi negeri Pulau Pinang ini. Boria tetap boria. Seminar-seminar dan simposium telah diadakan dan keputusan untuk memartabatkan boria tetap dipertahankan.

Ada kalanya orang Pulau Pinang sendiri yang merosakkan keaslian boria (mungkin kerana mereka tidak tahu apa yang dinamakan boria). Contohnya terdapat persembahan boria yang dibuat tanpa sketsa atau lakonan. Bila pengacara mengumumkan “Kita saksikan sekarang sebuah persembahan boria......” maka keluarlah kumpulan tarian menarikan lagu yang kononnya dinamakan boria.

Untuk memudahkan persembahan, ada yang mengambil lagu nyanyian Hail Amir ‘Lagu Boria Pulau Pinang’ dimana penari-penari akan menari mengikut lagu tersebut yang ternyata rangkap karangannya tidak betul ‘culang-caling’ dan 100% memang bukan boria. Bila ditanya, mereka kata lagu itu jodolnya ‘Lagu Boria Pulau Pinang’, jadi ‘boria’lah kata mereka.

Kepada penganjur yang hendak mengundang kumpulan boria, pastikan boria memenuhi syarat dan kekal dengan keasliannya:-

Mula – Sketsa (lakonan) mengikut tema yang dipilih.
Kedua – Lagu masuk. Sailor (kelasi) akan masuk dengan tarian lagu masuk.
Ketiga – Tukang karang masuk (pegang tongkat atau baton) menyanyikan rangkap karangan yang sama hujung bunyinya (contoh – rang, rang, rang, rang dan sebagainya).
Keempat – Sailor (kelasi) mengulangi rangkap karangan pertama sambil menari rentak lagu boria.
Kelima – Lagu keluar. Sailor (kelasi) akan keluar dengan tarian lagu keluar.

Itu saja, tak susah. Kalau ada yang mengikut peraturan di atas, maka bolehlah kita namakan boria. Jika tidak, lebih baik jangan disebut ‘boria’. Katakan saja “inilah persembahan tarian”.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...