Boria Zaman Dahulu

Selasa, Oktober 14, 2008

Pertandingan Boria Tahun 1983 - Boria KUDRAT turut serta


Kumpulan Boria KUDRAT (Kumpulan Senibudaya Dan Drama Rakyat Seberang Perai) dibawah pimpinan Omar Hashim turut serta dalam satu pertandingan boria yang diadakan di Dewan Bandaran Butterworth dalam tahun 1983. Kiri - Sketsa boria oleh Lutfi, Yusof Hussin, Suhaimi, Mat Isa Salleh dan Yusof Mat. Kanan - Persembahan boria dengan tukang karangnya Jasni. Foto oleh: Omar M. Hashim (OMARA).

Rabu, Oktober 08, 2008

Boria Pengakap Kumpulan 12 MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang ke Kelantan

Kumpulan Boria Pengakap Kumpulan 12 MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang yang terdiri seramai 20 orang bersedia untuk membawa persembahan boria ke Jambori MRSM Se-Malaysia yang akan diadakan di MRSM Jeli, Kelantan pada 16 hingga 19 Oktober 2008 ini. Kumpulan ini dipimpin oleh Encik Zulkifli Abd. Rahim (duduk tengah). Tukang karang ialah Muhd Ruhaimi Habibullah. Warisan Boria - Omara telah memberikan khidmat nasihat kepada kumpulan boria tersebut. Harap persembahan mereka nanti dapat menghiburkan lebih lima ribu orang pengakap di Jambori tersebut. Selamat berjaya martabatkan kesenian warisan negara kita!

Ahad, Oktober 05, 2008

BORIA BISTARI TAHUN 1979


Semasa singgah makan di sebuah warung di Semawang Negeri Sembilan baru-baru ini, kebetulan tuan punya gerai tersebut ialah bekas sailor atau kelasi kumpulan Boria Bistari Telok Air Tawar Butterworth. (Maaf, saya kehilangan kertas catatan - tak dapat nak namakan pemilik gerai yang dimaksudkan ini. Saya harap sekiranya beliau terbaca laman ini sila hubungi saya melalui talian telefon yang tertera di sebelah kiri blog Warisan Boria ini.). Gambar-gambar ini diambil dalam tahun 1979. Kini beliau menetap di Negeri Sembilan. Hanya gambar-gambar yang diambil tiga puluh tahun lalu ini yang tinggal sebagai kenangan. Kini boria Bistari dihidupkan kembali oleh pelawak yang tidak asing lagi di utara Chick dan dipimpin oleh saya sendiri - Omara. Buat sementara kumpulan ini hanya mengadakan persembahan-persembahan di radio Mutiara FM Pulau Pinang. Paling terbaru dalam rancangan boria yang disiarkan sempena sambutan Aidil Fitri baru-baru ini.

Isnin, September 29, 2008

BORIA SEKARANG






Ramai peminat-peminat Warisan Boria terutamanya mereka yang berada di luar Pulau Pinang menghubungi saya ingin tahu apakah bentuk boria masakini. Ya, boria yang datang ke pulau ini sejak tahun 1786 memang banyak mengalami perubahan. Dari boria Karbala yang dibawa dari Parsi, boria Muharram, boria kuli kalin, boria berlarak, boria Padang Brown, boria merdeka, boria Dendang Rakyat RTM hinggalah ke boria moden seperti yang kita saksikan sekarang ini.

BORIA SEKARANG

Boria mestilah mempunyai tajuk/tema sketsa yang ingin disampaikan.
Boria yang dipersembahkan dalam sketsa boleh dibuat gaya standard/dalam loghat utara adalah digalakkan.
Tukang Karang mestilah memegang tongkat atau ‘baton’. Kostum tukang karang lebih istimewa dan berlainan dari sailor. Biasanya sailor masuk dahulu kemudian baru diikuti tukang karang.
Boria mestilah ada sailor (kelasi). Kostum sailor boleh seragam atau berlainan mengikut keperluan tema masing-masing.
Nyanyian Tukang Karang dan sailor mestilah mengikut rangkap karangan atau tema persembahan boria tersebut.
Tukang karang menyanyi dengan suara lantang dan jelas dan bukan mengikut lenggok penyanyi-penyanyi biasa.

Rangkap karangan mestilah 4 baris serangkap dan hujung suku kata mestilah berima a, a, a, dan a.
Boria mestilah ada persembahan ‘lagu masuk dan ‘lagu keluar’.
Props bersesuaian seperti payung, bunga manggar, gendang panjang dan bendera boleh digunakan.
Boria boleh diikuti dengan pemuzik atau muzik minus one sebagai muzik iringan.
Lagu boria boleh bebas, dicipta dan digubah daripada lagu-lagu yang sedia ada asalkan dapat disesuai padan dengan persembahan boria.

Selasa, September 16, 2008

Boria Bubur Lambok di Mutiara FM

Pemegang-pemegang watak siri komedi popular Nasi Kandar Papdom (Rancangan Radio Mutiara FM), Omara, Chick dan Deejay YY telah merakamkan lagu boria bubur lambok di Mutiara FM. Tukang karang: YY, Karangan boria: Omara, Sketsa: Chick dan Jaafar.


Lapan belas September kembali bergema

Bubur lambuk tajuk utama

Mutiara fm anjuran bersama

Terkenal dengan resepi lama


Kepada semua kami menyeru

Di Tanjong Tokong Masjid Tuan Guru

Deejay Mutiara fm lama dan baru

Lepas zohor pakatlah meneru

Jumaat, September 12, 2008

TOKOH BORIA, PAK KAN MENINGGAL DUNIA


Tokoh dan penggiat boria yang tidak asing lagi di tanahair Hj. Abu Bakar bin Jaafar 84 tahun, ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Kan telah kembali ke Rahmatullah petang 12hb. September 2008 di Hospital Pulau Pinang. Jenazahnya dikebumikan pada hari Sabtu 13hb. September 2008 di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Sama-sama kita hadiahkan Fatihah.
Gambar terbaru Allahyarham diambil di kediaman Allahyarham di Sungai Petani, Kedah pada 3hb. Mei 2008 semasa saya (OMARA) berkunjung membuat rakaman dokumentari sejarah boria dengan Puan Siti Zaleha M. Hashim dan Puan Rohana Abdul Rahman dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Lain-lain ialah gambar yang diambil semasa jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah anaknya di Sg. Nibong, Pulau Pinang dan semasa di Tanah Perkuburan Jalan Perak, Pulau Pinang.

Kelihatan Pengarah Bahagian Jabatan Warisan Negara Malaysia Nai Siri Neng Buah turut memberikan penghormatan terakhir dan sedang bercakap sesuatu dengan anak Allahyarham. Di sebelahnya En. Yusof M. Hashim (Pak Kojek).

Ramai rakan-rakan seni, penggiat boria dan kaum keluarganya yang turut menziarahi jenazahnya sejak malam hingga di tanah perkuburan.

Jumaat, September 05, 2008

Lawatan ke rumah Pak Lah dan Pak Kan (Tokoh Boria Pulau Pinang)

Omara, Pn. Siti Zaleha M. Hashim dan Pn. Rohana Abdul Rahman dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur semasa berkunjung ke rumah Pak Lah (Abdullah Darus) dan ke rumah Pak Kan (Abu Bakar Jaafar) dalam lawatan bertemu tokoh-tokoh boria baru-baru ini.

Selasa, Ogos 19, 2008

TAHNIAH BORIA SMKPTJ (MODEL KHAS PERMATANG TOK JAYA) MENANG DUA KATEGORI

SMKPTJ (Sekolah Model Khas Permatang Tok Jaya) Seberang Perai, Pulau Pinang telah membawa pulang kejayaan yang cemerlang di Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah Peringkat Kebangsaan yang telah berlansung di Kota Bharu, Kelantan pada 16 hingga 19 Ogos 2008. Kumpulan borianya telah berjaya menjadi johan dan tukang karang terbaik. Boria SMKPTJ ini di bawah pimpinan cikgu Murshidee B. Hj Md Ramli, Zainal B. Hashim, Ahmad Firdaus B. Din, Che Jamilah Bt Abdul dan Razila Bt Azali.
Warisan Boria ucapkan tahniah!

Ahad, Ogos 03, 2008

BORIA SEMUT DALAM BELALANG KENIT

BORIA SEMUT

Kami bekerja, macam tentera
Tanpa bertangguh, semua segera
Hidup bahagia, riang gembira
Satu tujuan, satu suara

Kami bekerja, macam tentera
Tanpa bertangguh, semua segera
Hidup bahagia, riang gembira
Satu tujuan, satu suara

Jalan jalan, cari makanan
Semua anggota, punya peranan
Makanan sarat, kiri dan kanan
Hasil banyak, dalam simpanan

Kami bekerja, macam tentera
Tanpa bertangguh, semua segera
Hidup bahagia, riang gembira
Satu tujuan, satu suara

Dua rangkap karangan boria yang ditulis oleh Omara untuk Teater Belalang Kenit yang sedang dipersembahkan di Auditorium P. Ramlee Pulau Pinang. Terima kasih kepada pengarahnya Veera Masura kerana memasukkan lagu boria yang dinyanyikan oleh semut-semut dalam perembahan teater tersebut.
Perembahan Belalang Kenit berakhir esok 4 Ogos.

Kumpulan Boria Pulau Pinang ke Negeri Sembilan

Kumpulan kebudayaan Negeri Pulau Pinang turut ke Karnival Budaya Negeri Sembilan International Folklore Festival pada 26 dan 27 Julai 2008. Persembahan pertama di Terminal 2, Seremban dan persembahan kedua pada hari ahad 27 Julai diadakan di Tampin Square, Tampin, Negeri Sembilan mulai jam 3 hingga 6 petang.
Sebelum ini kumpulan boria Pulau Pinang turut menyertai perarakan kumpulan-kumpulan tarian di Majlis Perasmian Karnival Budaya yang diadakan di hadapan Majlis Perbandaran Seremban pada hari jumaat 25hb. Julai baru-baru ini.
Persembahan ini dibawa khas oleh Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan penari-penari kebudayaan yang disertai oleh Omara, Mamu Bakar dan Sharifah sebagai pengacara dan Wan Kamarulzaman sebagai tukang karang.

Selasa, Julai 29, 2008

HAIL AMIR NYANYIKAN LAGU BORIA PULAU PINANG DI PADANG KOTA


Berbuih mulut penggiat boria mengatakan senikata lagu nyanyian Hail Amir – Boria Pulau Pinang tidak betul…. Tidak betul… Tapi semua pihak buat pekak saja. Tak betul kerana tidak mengikut peraturan boria yang sebenarnya. Paling terbaru …. Hail Amir sendiri telah menyanyikan lagu tersebut (yang dipetik dari album Malaysia Merdu) dalam sambutan pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) malam 27 Julai lalu yang diadakan di Padang Kota.

Nak kata apa lagi…. Kalau berterusan pihak-pihak yang kononnya nak menjaga warisan tapi mencemarkan warisan di Gerogetown sendiri.

Nak kata apa lagi… nak kata apa lagi… nak kata apa lagi…. Biarkan Si Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya…

Saya Omara dari Warisan Boria dengan ini membantah sekeras-kerasnya kepada semua pihak yang merosakkan keaslian boria Pulau Pinang.

Sabtu, Julai 26, 2008

PAK KAN DIPILIH TOKOH WARISAN ORANG HIDUP

Warisan Boria ucapkan tahniah kepada Pak Kan ataupun nama sebenarnya Hj. Abu Bakar Jaafar kerana telah dipilih sebagai Tokoh Warisan Orang Hidup (BORIA) oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan menyenaraikan lima tokoh budayawan sebagai Warisan Orang Hidup bagi menghargai jasa mereka terhadap perkembangan kesenian tradisi negara ini. Selain dari Pak Kan, individu berkenaan ialah penggiat seni penglipurlara dari Johor, Ali Badron Sabor, 75, Losimin Majanil, 83, dari Sabah (bobohizan).
Klik untuk berita penuh: TOKOH WARISAN ORANG HIDUP DI UMUM

Sabtu, Jun 28, 2008

MENGAPA BORIA YANG LANGGAR SYARAT MENANG?

PERTANDINGAN BORIA SEKOLAH SEKOLAH - MASYARAKAT MADANI TANPA DADAH :
Warisan Boria banyak menerima email dan sms dari beberapa orang guru dari Johor dan Pahang yang menyampaikan perasaan kesal mereka kerana boria kumpulan mereka kalah daripada kumpulan boria yang ternyata terang-terang melakukan kesalahan.
  • Saya diberitahu, ada kumpulan yang menang ternyata rangkap rima hujungnya tak sama jadi 'macam rojak' juga boleh menang.
  • Ada kumpulan yang tak ada lagu masuk dan lagu keluar juga boleh jadi johan.
  • Terdapat juga kumpulan yang ternyata tidak mengikut peraturan boria juga boleh menang sedangkan mereka yang betul-betul boleh kalah.

CIK GU BAHA MENINGGAL DUNIA


Mohd. Bahroodin Ahmad @ Cikgu Baha telah kembali ke Rahmatullah jam 2.30 pagi 28 Jun 2008 (lalu. Jenazahnya dimandikan di Masjid Jalan Perak, Pulau Pinang dan dikebumikan di tanah perkuburan sebelah Masjid Jalan Perak pada jam 10.00 pagi. Allahyarham ialah seorang penggiat boria, bangsawan dan dikenali sebagai 'bibik hitam' dalam baba dan nyonya di Pulau Pinang.
Al- Fatihah....

Selasa, Jun 17, 2008

BORIA DI NASI LEMAK KOPI O TV9




Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah muncul dalam 'NASI LEMAK KOPI O' di Tv9 terus menerus Jumaat 20 Jun 2008. Omara dan Pak Kojek juga turut serta. Terima kasih kepada Aziz Desa, Mek, penerbit dan semua yang terlibat di TV9 kerana mengundang kami!

Isnin, Jun 09, 2008

BORIA TUNAS PUTERA (BTP) SEMAKIN DIKENALI DI BATU PAHAT JOHOR

Kumpulan Boria Tunas Putera (BTP) telah dipilih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor bagi mewakili negeri ini di dalam Pertandingan Boria SPBT Peringkat Kebangsaan 2008. Inilah buat kali pertamanya BTP akan muncul di pentas pertandingan tersebut yang dijadualkan berlangsung dalam bulan Julai nanti di Kuala Lumpur.
Selain itu, BTP telah mula mendapat perhatian salah sebuah pusat beli-belah terkemuka BP Mall di Batu Pahat untuk menjadi pasukan persembahan pilihan pihak pengurusan mereka.
Tahniah kepada cikgu Nazrul Iszudin Jamat yang telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan pasukan borianya
.

Jumaat, April 25, 2008

OGY DATO AHMAD DAUD MENARI BORIA DI PULAU PINANG

Ogy dengan tarian borianya
Barisan artis-artis terkenal tanahair Ogy Dato Ahmad Daud, Jamal Abdillah dan Siti Sarah Raissuddin turut menari boria bersama-sama dengan
Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang di Majlis Makan Malam sempena Pesta Sukan UMW ke- XII 2008 di Penang International Sport Arena (PISA) pada 3hb. Mei 2008. Ogy yang juga anak kepada salah seorang tukang karang boria Dato Ahmad Daud menari sambil memegang payung boria di akhir persembahan.

Empat hari acara bergema
Pesta sukan UMW diberi nama
Kali ke duabelas turut bersama
Boria Budayasari sembah utama

Isnin, Mac 31, 2008

APA SHARIFAH DOK BUAT TU?

Sharifah Juairiah, salah seorang pelakon sketsa boria Kumpulan Mamu Tanjong akan muncul dalam teater komedi "BILA LAGI KOMPANG BERBUNYI" arahan Razali Ridzuan yang akan dipentaskan di Auditorium P. Ramlee, Taman Budaya Negeri Pulau Pinang pada 1, 2 & 3 Mei 2008. Bagaimana lakonan Sharifah nanti? Sama-sama kita tunggu dan saksikan.

Isnin, Mac 17, 2008

SEKITAR FESTIVAL BORIA MAKUM 2008

Kumpulan Boria USM, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memenangi tempat pertama Festival Boria MAKUM 2008 yang berlangsung di Dewan Budaya USM Pulau Pinang pada 16hb. Mac 2008. Boria USM membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala iringan. Tempat kedua dimenangi oleh Kumpulan Boria Artisukma, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor dengan menerima wang tunai sebanyak RM2,000. Kumpulan Boria Anak Pauh dari Universiti Teknologi Mara (UITM) Seberang Perai pula membawa pulang wang tunai RM1,000 menduduki tempat ketiga.
Lain-lain kumpulan yang turut bertanding ialah Kumpulan Boria Sri Sembilan, Universiti Malaya (UM), Kumpulan Boria Utama, Universiti Utara Malaysia (UUM), Boria UTHM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Boria UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Boria Seri Warisan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Boria UTM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM danBoria USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Gambar di atas: Kumpulan Boria USM P. Pinang gembira dengan kemenangan pada malam itu.

Isnin, Februari 25, 2008

BORIA PILIHANRAYA KE 12

PILIHANRAYA KE 12

Pilihan raya, tajuk utama
Lapan bulan Mac, hampir menjelma
Amalan demokrasi, adil saksama
Warisan Boria, turut bersama

Bila parlimen, telah dibubar
Semua pihak, mulalah berdebar
Radio tv, internet dan akhbar
Pelbagai maklumat, berita dan gambar

Pilihan raya, sungguh bererti
Disertai oleh, pelbagai parti
Untuk memperolehi, kerusi majoriti
Matlamat kemenangan, sudahlah pasti

Tigabelas hari, diberi masa
Parti berkempen, dengan selesa
Pelbagai janji, diucap sentiasa
Untuk rakyat, semua bangsa

Jangan abaikan, tak ambil perduli
Pilihan raya, tidak terkecuali
Lima tahun, hanya sekali
Peluang hilang, tak boleh dibeli

Parti politik, bergerak berani
Riuh berkempen, ke sana dan sini
Menyatakan hasrat, tujuan murni
Manifesto diterang, matlamat terkini

Riuh rendah, ucapan ceramah
Pelbagai ayat, serta kalimah
Ada yang kempen, rumah ke rumah
Semua ceria, mesra dan ramah

Rakyat diseru, ikut undang-undang
Di pihak pembangkang, atau pencadang
Elakkan bertengkar, marah meradang
Walaupun tewas, atau kecundang

Pusat mengundi, di merata tempat
Pergilah mengundi, segera dan cepat
Jangan lengah, takut tak sempat
Calun dipilih, biarlah tepat
Penamaan calun, sudah diwarta
Keluarlah seluruh, rakyat jelata
Sepuluh perpuluhan, enam juta
Demi membentuk, negara tercinta

Wahai saudara, serta saudari
Terletak kepada, kita sendiri
Membuat keputusan, di hujung jari
Pilih wakil, persekutuan dan negeri

Persembahan kami, berakhir tamat
Kepada semua, tabik dan hormat
Demikianlah nasihat, serta maklumat
Warisan Boria, ucapkan selamat

Rangkap Karangan Oleh:
Omar M. Hashim (OMARA)

(Dilarang mengambil rangkap karangan boria ini melainkan dengan menghubungi saya sendiri Omar M. Hashim di talian: 019-5161788 / 013-4220091 atau e-mail: omarhashim91@gmail.com)

Rabu, Februari 13, 2008

PAKAIAN BORIA


Blog Warisan Boria banyak menerima pertanyaan mengenai pakaian boria. Untuk makluman, pakaian boria terpulanglah kepada pilihan kumpulan masing-masing. Pakaian boria bebas, asalkan dipilih bersesuaian dengan cerita atau tajuk boria. Pakaian tukang karang eloklah berlainan dari pakaian sailor (kelasi). Tukang karang elok berpenampilan lebih tersendiri dan menarik. Tukang karang boleh memakai tarbus kerana tarbus sudah menjadi identiti boria. Boleh juga pakai bengkung dipinggang. Lebih menarik kalau berwarna-warni dan berkilau-kilauan. Jika cerita yang persembahkan mengenai perpaduan, sailor boleh berpakaian tradisional mengikut setiap kaum. Sailor juga boleh berpakaian uniform. Seelok-eloknya anda boleh melihat contoh-contoh pakaian dari gambar-gambar ahli boria dalam blog ini. Jika sukar diperolehi, anda boleh menempah pakaian boria melalui saya: Omara di talian 019-5161788 ataupun email: omara353535@hotmail.com

Khamis, Januari 24, 2008

BORIA '70AN


Persembahan Kumpulan Boria Sungai Pinang di tahun '70an. Daud Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Daud, pemimpin kumpulan ini yang disegani ramai pada masa itu telah berjaya menaikkan nama kumpulan borianya. Kini Boria Sg. Pinang hanyalah tinggal kenangan. Pak Daud, Aman Tok Koya (Pak Man), Pak Pin, Pak Mail dan Berahim (Ibrahim) tukang karang telah meninggal dunia. Piee yang terkenal dengan jenaka loyar buruknya pula hebat di arena perfileman.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...