Boria Zaman Dahulu

Rabu, Februari 25, 2009

Berita Baik Untuk Semua. Boria DiMartabatkan Dalam Warisan Kesenian dan Kebudayaan 2009


Pagi tadi (25 Februari 2009) saya mendapat panggilan telefon dari  Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman memberitahu berita baik - Boria telah dipilih sebagai Warisan Kesenian dan Kebudayaan 2009. Selepas itu saya mendapat panggilan telefon pula dari Pengarah Bahagian Jabatan Warisan Negara Malaysia Encik Siri Neng Buah memaklumkan perkara yang sama.

Alhamdullilah! Boria telah dimartabatkan. Semoga para tokoh, penggiat dan rakan-rakan boria sekelian sama-sama turut gembira. Semoga akan hidup kembali kumpulan-kumpulan boria yang telah lama sepi terutamaya di Pulau Mutiara. Kita gerakkan kembali bersama-sama!

Kesenian dan Kebudayaan 2009   

1. Boria
2. Tarian Zapin
3. Gamelan
4. Tarian Bhangra - Kaum Sikh
5. Tarian Bharata Natyam - Kaum India
6. Gendang Dua Puluh Empat Perayaan (Gendang Cina)
7. Dikir Barat
8. Pantun Melayu
9. Syair
10. Karya Pendeta Za'aba
11. Tulisan Jawi
12. Hikayat Munshi Abdullah
13. Wau Malaysia
14. Congkak
15. Gasing
16. Hikayat Malim Deman
17. Hikayat Merong Mahawangsa

Ahad, Februari 22, 2009

Gee Atau Nurul Hafizi Tukang Karang Bersuara Lantang



Nurul Hafizi Ahmad, Tukang Karang Terbaik Tahun 2006. Lebih dikenali dengan panggilan Gee dikalangan anak-anak seni di Pulau Pinang. Suaranya jelas dan lantang ketika menyanyi menyampaikan rangkap karangan boria. Nurul Hafizi Ahmad adalah tukang karang bebas dan beliau mempunyai kumpulan penarinya sendiri. 

Gambar aksi Nurul Hafizi ketika menjadi tukang karang.

Selasa, Februari 10, 2009

Boria Budayasari Meriahkan Chap Goh Mei di Padang Kota

Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah mempersembahkan boria di Padang Kota Lama, Pulau Pinang sempena perayaan Chap Goh Mei Tahun Baru Cina pada 9 Februari 2009. Antara tetamu ternama ialah Tun Dato' Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng. Acara-acara menarik lain dari kesenian berbagai kaum juga turut diadakan. Antaranya, Dondang Sayang Baba dan Nyonya, Tarian India, Tarian Singa, Chingay dan banyak lagi.

Sketsa telah dijayakan oleh - Yusof M. Hashim (Pak Kojek), Sharifah dan Omar M. Hashim (Omara). Tukang karang - Rockydin. Sailor - Angkatan Budaya Sari pimpinan Zaini Man. Lagu - Zulkifli Omar. Rangkap Karangan - Omar M. Hashim (Omara).

Sabtu, Februari 07, 2009

LNJ Main Boria Dalam Raja LaWAK 3 Astro




Warisan Boria ucapkan terima kasih kepada Kumpulan LNJ dari utara yang mempersembahkan boria dalam Raja Lawak 3 Astro. Inilah rangkap karangan boria tersebut:
Cuti cuti Malaysia tajuk cerita
Mai kita pi ronda merata-rata
Pakat bawa marka naik kereta
Boria LNJ pun turut serta



Kepada pengkritik yang kami hormat
Juga penonton yang riuh gamat
Persembahan kami berakhir tamat
Boria LNJ ucapkan selamat


Kebetulan Lan atau nama sebenarnya Afzan Saffuan bin Ahmad juga pernah menjadi tukang karang boria di Pulau Pinang. Adakah mereka berdua akan berjaya hingga ke peringkat akhir nanti? Sama-samalah kita doakan sambil mengundi melalui SMS.

Ahad, Februari 01, 2009

Kumpulan Boria BISTARI Di Tahun 70an


31 Januari 2009 - Saya terima gambar ini dari Musbahani binti Abu Bakar iaitu anak kepada Allahyarham Hj. Abu Bakar Hashim PPN. PJM. ataupun lebih dikenali dengan panggilan Sarjan Bakar. Inilah gambar Kumpulan Boria Bistari, Telok Air Tawar, Butterworth dibawah pimpinan Pak Abu atau Sarjan Bakar ini.


Kumpulan Boria Bistari memang terkenal di era tahun 70an dan awal 80an. Pernah memenangi Johan Pesta Dendang Rakyat Bahagian Boria anjuran RTM yang diadakan di Johor ketika itu. Antara tukang karang Boria Bistari ialah Azhar, Murizan Daud (Yan) dan Nassier Wahab (kini penyanyi terkenal).


Gambar Duduk Dari Kiri - Chick (pelawak), Che Ani, Hj. Abu Bakar. Nassier Wahab berdiri di belakang (tengah). Gambar ini diambil di hadapan rumah Hj. Abu Bakar di Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang (mungkin di penghujung tahun 70an).

Sabtu, Januari 31, 2009

Warisan Boria Kecewa Penganjur dan Warga Pulau Pinang Tak Kenal Boria










Warisan Boria dan Penggiat-Penggiat Boria di Pulau Pinang merasa dukacita dan kecewa kerana masih terdapat penganjur-penganjur dan warga Pulau Pinang sendiri yang tidak mengetahui ‘apakah itu boria’?

Ada yang berpendapat – boria itu macam tarian. Ada lelaki, ada perempuan keluar menari (pakaian nampak seragam) maka jadilah boria.

Warisan Boria tetap mempertahankan keaslian kesenian boria yang menjadi tradisi negeri Pulau Pinang ini. Boria tetap boria. Seminar-seminar dan simposium telah diadakan dan keputusan untuk memartabatkan boria tetap dipertahankan.

Ada kalanya orang Pulau Pinang sendiri yang merosakkan keaslian boria (mungkin kerana mereka tidak tahu apa yang dinamakan boria). Contohnya terdapat persembahan boria yang dibuat tanpa sketsa atau lakonan. Bila pengacara mengumumkan “Kita saksikan sekarang sebuah persembahan boria......” maka keluarlah kumpulan tarian menarikan lagu yang kononnya dinamakan boria.

Untuk memudahkan persembahan, ada yang mengambil lagu nyanyian Hail Amir ‘Lagu Boria Pulau Pinang’ dimana penari-penari akan menari mengikut lagu tersebut yang ternyata rangkap karangannya tidak betul ‘culang-caling’ dan 100% memang bukan boria. Bila ditanya, mereka kata lagu itu jodolnya ‘Lagu Boria Pulau Pinang’, jadi ‘boria’lah kata mereka.

Kepada penganjur yang hendak mengundang kumpulan boria, pastikan boria memenuhi syarat dan kekal dengan keasliannya:-

Mula – Sketsa (lakonan) mengikut tema yang dipilih.
Kedua – Lagu masuk. Sailor (kelasi) akan masuk dengan tarian lagu masuk.
Ketiga – Tukang karang masuk (pegang tongkat atau baton) menyanyikan rangkap karangan yang sama hujung bunyinya (contoh – rang, rang, rang, rang dan sebagainya).
Keempat – Sailor (kelasi) mengulangi rangkap karangan pertama sambil menari rentak lagu boria.
Kelima – Lagu keluar. Sailor (kelasi) akan keluar dengan tarian lagu keluar.

Itu saja, tak susah. Kalau ada yang mengikut peraturan di atas, maka bolehlah kita namakan boria. Jika tidak, lebih baik jangan disebut ‘boria’. Katakan saja “inilah persembahan tarian”.

Rabu, Januari 28, 2009

Boria Pulau Pinang Di Warta Serumpun TV1 DAN TVRI











Ahad 25 Januari 2009 - TV1 (Malaysia) dan TVRI (Indonesia) dalam rancangan Siaran Langsung Warta Serumpun telah menyiarkan kisah mengenai Boria Pulau Pinang. Sebelum ini rakaman persembahan boria telah dibuat di Pantai Bersih, Bagan Ajam, Butterworth oleh Kumpulan Boria Pulau Pinang.
Tukang Karang - Jibran. Pelakon Sketsa - Chick, Shamsuddin dan Chop (Yusof M. Hashim). Rangkap Karangan oleh - Omar M. Hashim (OMARA). Muzik - Zulkifli Omar.
Warisan Boria ucapkan terima kasih kepada RTM dan TVRI kerana menyiarkannya secara langsung ke dua-dua negara. Walaupun hanya dalam beberapa minit, namun sudah pasti kesenian warisan Pulau Pinang ini dapat diketengahkan hingga ke negara jiran.

Selasa, Januari 20, 2009

Kisah Boria Di Astro Awani



Penulis / penyusun Blog Warisan Boria, Omara serta penggiat boria - Syed Akir, tokoh boria - Pak Lah (Abdullah Darus), Kumpulan Boria Anak Tanjung dan Dato' Professor Dr. Ghouse Nasaruddin akan muncul dalam Astro Awani Channel 501 rancangan Atlas Nusantara pada

23-Jan-2009 10:01:00 AM

24-Jan-2009 11:31:00 AM

Omara turut memperkatakan mengenai penulisan rangkap karangan boria dan blog Warisan Boria.

Jumaat, Januari 16, 2009

PERATURAN BORIA







BORIA DAN PERATURANNYA

1. Rangkap karangan hendaklah mengikut sesuatu tema yang ditetapkan. Penghujung setiap ayat di dalam setiap rangkap mestilah beritma A, A, A, A. Dan setip baris ayat dalam sesuatu rangkap seelok-eloknya tidak melebihi enam harakah. Pembentukan karangan memerlukan pengalaman dan penguaaan bahasa dan kesusasteraan serta penulisan puisi. Karangan perlu ada kaitan dengan sketsa. Contohnya jika tema ‘Hari Raya Puasa’ sebahagian contoh rangkap karangannya begini:

1. SELAMAT HARI RAYA, AIDIL FITRI
KEPADA SAUDARA, SERTA SAUDARI
BERAKHIR RAMADHAN, SYAWAL BERSERI
SALAM DARI KAMI, BORIA BISTARI

2. DI BULAN RAMADHAN, DAH TUNAI PUASA
BERAMAL IBADAT, DENGAN SELESA
MENURUT SURUHAN, TUHAN YANG ESA
KINI HARI RAYA, DAH TIBA MASA

3. ZAKAT DAN FITRAH, TUNTUTAN AGAMA
DISAMPING SEDEKAH, JUGA MENDERMA
REZEKI DI BAHAGIKAN, BERSAMA-SAMA
ADA YANG MEMBERI, ADA MENERIMA

Penutupnya pula boleh dikarang begini (Contoh)

15. MAAFKAN KAMI, PENONTON BUDIMAN
RAKAN TAULAN, SAHABAT DAN TEMAN
BANYAKKAN IBADAT, TETAPKAN IMAN
BORIA BISTARI, BERSALAM SALAMAN

Hujung sukukata akhir setiap baris yang bertanda merah hendaklah sama bunyinya setiap rangkap. Contohnya ‘Man’ tidak boleh dicampurkan dengan ‘kan’, ‘lan’, ‘ran’, ‘nan’, ‘pan’ dan sebagainya.

2. Setiap persembahan hendaklah bermula dengan sketsa. Cerita dalam sketsa mestilah sama temanya dengan rangkap karangan. Boleh diwujudkan dalam bentuk komedi atau serius. Kumpulan sketsa boleh juga muncul semula di belakang atau di tepi sailor ketika persembahan lagu boria sambil membawa props yang bersesuaian. Biasanya payung, alat muzik - seperti gendang panjang, maracas, bendera, bunga manggar, tongkat dan lain-lain.

3. Persembahan boria boleh menggunakan alat muzik yang dimainkan secara terus menerus di pentas ataupun ‘minus one’ (dirakamkan terlebih dahulu).

4.Rangkap karangan boria dilagukan oleh seorang tukang karang. Tukang karang menyanyi setiap rangkap sambil memegang tongkat penunjuk. Tukang karang diwajibkan membawa tongkat sebagai identiti boria. Tukang karang juga boleh memakai bengkung sebagai ketua dan identiti boria. Tukang karang bebas melakukan sebarang pergerakkan. Tukang karang digalakkan menyanyi ‘live’ (terus menerus) semasa persembahan. Nyanyian tukang karang hendaklah lantang, jelas dan tidak mengikut lenggok nyanyian lagu-lagu biasa.

5. ‘Sailor’ atau kelasi boria berdiri di belakang tukang karang. Barisan sailor hendaklah dibuat dua baris. Sailor akan mengulangi rangkap pertama yang dilagukan oleh tukang karang berselang seli dengan tukang karang. Setelah tukang karang melagukan rangkap akhir, sailor akan menyanyikan rangkap terakhir menutup persembahan. Pakaian sailor boleh seragam dan boleh juga beraneka ragam. Untuk mendapatkan audio yang baik semasa persembahan, sailor juga boleh merakamkan terlebih dahulu suara dan muzik dan menyanyikan kembali ketika persembahan.

6. Jika boria yang dipersembahkan ialah ‘Boria Asli’, Sailor bebas bergerak mengikut rentak lagu dan pakaian juga bebas seperti pakaian beragam.

7. Boria tidak ada lagu khas. Apa-apa lagu yang sesuai boleh digunakan.

8. Pakaian boria perlu sesuai dengan tema dan lagu persembahan.

9. Tiga bahagian muzik digunakan dalam struktur persembahan boria, iaitu lagu masuk, lagu persembahan dan lagu keluar. Lagu masuk dan lagu keluar boleh menggunakan melodi yang sama atau berlainan.

10. Gerak tari berpandukan kepada sopan santun budaya Melayu dan koreographinya mesti sesuai dengan melodi.

11. Props boleh digunakan dalam tarian. Antara props yang biasa digunakan ialah payung, alat muzik seperti gendang panjang, maracas, bendera, bunga manggar dan lain-lain.

12. Pakaian harus sesuai dengan tema dan mengikut garisan budaya. Dalam sketsa, lelaki boleh berpakaian perempuan tetapi rupa paras dan suara tidak boleh diubah (tetap lelaki).

13. Aturan persembahan: 1. Sketsa. 2. Lagu Masuk – Sailor masuk, buat dua barisan, tukang karang masuk dan terus ke depan memulakan persembahan. Setelah tukang karang selesai menyampaikan rangkap terakhir, tukang karang mengundur diri dan keluar. Sailor akan mengikut lagu keluar setelah selesai menyanyikan rangkap terakhir.


Bahan dan petikan:
1. Pengalaman sendiri sebagai seorang penggiat dan pengadil boria.. disamping perbincangan dengan penggiat-penggiat boria di Pulau Pinang.
2. Dari Simposium Warisan Boria 2005 Pulau Pinang anjuran KeKKWa dan JKKW Negeri Pulau Pinang.

Oleh: Omar Md. Hashim, Penggiat Boria Pulau Pinang
Tel: 019 5161788, 013 4220091 E-mel: omara353535@hotmail.com

Rabu, Januari 14, 2009

Rakaman Boria Untuk Tv Di Pantai Bersih, Butterworth



Boria Pulau Pinang mempersembahkan boria asli di Pantai Bersih, Butterworth dalam satu rakaman tv.
Gambar atas kiri - Penyusun Blog Warisan Boria, Omar M. Hashim sedang ditemuramah mengenai boria Pulau Pinang.
Lain-lain gambar persembahan boria asli semasa rakaman diadakan.
Tukang Karang - Jibran Khalil
Rangkap Karangan - Omar M. Hashim (Omara)
Muzik - Zulkifli Omar
Sketsa - Chick, Shamsuddin dan Chop (Pak Kojek)
Sailor - Kumpulan Boria Asli Pulau Pinang



Selasa, Januari 13, 2009

Boria Anak Wawasan Martabatkan Boria di Indonesia

Kumpulan Boria Anak Wawasan SMKPTJ (Model Khas Pulau Pinang) telah selamat dan berjaya mempersembahakan boria di Revitalisasi Budaya Melayu II di Tanjungpinang, Provinsi Kepulauan Riau, Indonesia pada 15 hingga 22 Disember 2008. Persembahan boria mendapat tumpuan dan sambutan yang hangat dari penduduk di sana.


Festival ini dijalankan setiap 4 tahun sekali dan semua persatuan atau sanggar seni budaya seluruh Republik Indonesia dijemput termasuk negara jiran serantau dan kebetulan Malaysia HANYA
diwakili oleh Kumpulan Boria Anak Wawasan SMKPTJ.


Semua Persembahan kesenian budaya Melayu yang dipertontonkan adalah yang bertaraf profesional namun Alhamdulillah anak-anak kita SMKPTJ tetap boleh berdiri sama tinggi dan sama hebat dengan persembahan mereka dan terbukti apabila Kumpulan Boria ini terpilih untuk untuk mendakan sekali lagi persembahan pada malam penutup yang dihadiri oleh Gabenur Kepulauan Riau (KEPRI).


Kumpulan Boria berjaya muncul sebanyak dua kali persembahan. Ternyata Boria mampu untuk bersaing dengan seni budaya asing dari negara luar.

Penasihat :

Pn Hjh Jamilah Bt Salim
(Pengetua SMKPTJ)
Tn Hj Mohd Zuki B. Ibrahim
( PK Ko-Kurikulum)

Guru Pembimbing :


En Murshidee B. Hj Md Ramli

En Zainal B. Hashim
En Ahmad Firdaus B. Din
Pn Che Jamilah Bt Abdul
Pn Razila Bt Azali

Penubuhan Kumpulan Boria : Tahun 2003

Selasa, Januari 06, 2009

Boria Pulau Pinang Di Warisan Seni Melayu RTM1




Omara (Penyusun blog Warisan Boria) bersama-sama dengan kumpulan Boria Budayasari dan kumpulan sketsa Mamu Tanjung telah muncul di RTM1 pada petang 8hb. April 2008 dalam rancangan Seni Warisan Melayu yang dikendalikan oleh Dj KLFM Dj Pool ataupun Saiful Bahrim. 






Dalam rancangan ini Omara telah menceritakan serba sedikit mengenai boria dan persembahannya. Ketua Kumpulan Boria Budayasari Zaini Man dan penyanyi / pemuzik Rocky Din juga turut serta.


Isnin, Disember 29, 2008

Kenangan Boria 80an Persembahan KUDRAT

Gambar 1 - Di awal tahun 80an, Kumpulan Boria KUDRAT (Kumpulan Senibudaya Dan Drama Rakyat Seberang Perai) dibawah pimpinan Omara sedang membuat persembahan. Tukang Karang - Mohd. Yusof Hussin. Antara sailornya - Yusof Mat, Miskin Darus, Zaleha Abdul, Mat Isa Salleh, Asrul dan dll.

Gambar 2 dan Gambar 3 - Kumpulan Sketsa Boria KUDRAT yang terdiri dari Asrul, Yusof Hashim (Chop), Che Amah dan Mat Isa Salleh.


Gambar 4 - Kelihatan sailor Miskin Darus, Maimun, Zaidi, Wahab Ishak dan lain-lain.



Isnin, Disember 15, 2008

BORIA ASLI DI SUNGAI ARA GAMATKAN FESTIVAL MERAKYATKAN SENI

Kumpulan Boria Pulau Pinang telah
menggamatkan Malam Festival Merakyatkan Seni Budaya yang berlangsung di Perkarangan Taman Desaria Sri Merpati, Sungai Ara, Pulau Pinang. pada malam 14 Disember 2008.

Tajuk - Merakyatkan Seni
Pemimpin - Omara
Karangan - Omara
Tukang Karang - Jibran
Sketsa - Chick, Chop, Shamsuddin dan Bakar.
Lagu - Omara dan Zulkifli Omar


Sabtu, Disember 13, 2008

Rabu, Disember 03, 2008

Rangkap Karangan - Warisan Dunia, George Town Di Hebah

Rangkap Karangan
oleh: Omara

Hormat dan salam, susunan sembah
Rangkap karangan, boria digubah
Warisan dunia, George Town dihebah
Boria Pulau Pinang, salam muhibbah

Setelah teliti, dikaji dikesan
Akhirnya UNESCO, membuat keputusan
George Town menjadi, Bandar warisan
Bersama Melaka, terima bingkisan

Di bawah kategori, warisan budaya
Berbilang kaum, pelbagai gaya
Hidup harmoni, bersatu berjaya
Mutiara Timur, indah bercahaya

Merafak sembah, menyusun jari
Karangan boria, kami akhiri
Pulau Mutiara, terus berseri
Boria Pulau Pinang, mengundur diri

Selasa, Disember 02, 2008

Boria Finale George Town Melaka Gegarkan Dataran Merdeka

Persembahan Finale Kumpulan Boria bersama-sama kumpulan perarakan kebudayaan dari kedua-dua negeri. Tukang karang ialah penyanyi yang tidak asing lagi Nassier Wahab (sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau ialah tukang karang Kumpulan Boria Bistari, Telok Air Tawar, Butterworth).

Lagu boria Finale dicipta oleh Zulkifli Omar dan idea oleh Omara.
Rangkap Karangan ditulis oleh Omar M. Hashim (Omara). Pengajar Geraktari Boria - Yanti (P. Pinang). Gambar-gambar diambil oleh Omara pada malam raptai penuh 21 November 2008.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...