Boria Zaman Dahulu

Rabu, Oktober 26, 2011

Video Klip Dokumentari Boria terbitan RTM

Sebuah Dokumentari BORIA terbitan RTM. Omar Hashim Omara bersama Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang pimpinan Rohaya Ayub. Tukang karang - Hasman Hassan. Sketsa - Omara, Bakar, Sharifah Juairiah dan Yusof (Chop). Lokasi - Berjaya Hotel, Pulau Pinang. Muzik - Rocky Din.

Ahad, Oktober 23, 2011

Kelab@TV di Pantai Queensbay Pulau Pinang

Zahid AF cuba menjadi tukang karang boria
Penyanyi Zahid  AF dan
Omar Hashim Omara di lokasi

 Kumpulan Boria Gema Permata, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Seberang Perai dibawah pimpinan Muztaffa Ishak




Sekitar Pengambaran Dokumentari Tv KELAB@TV untuk siaran RTM yang dibuat di Pantai Queensbay, Pulau Pinang

Isnin, Oktober 17, 2011

Lagu Boria Khas Untuk Telemovie Dalca Mami George Town



DALCA MAMI GEORGE TOWN

Mami Kalsombe kisah bermula

Mastura bee anaknya pula

Mamu Pitchay, dah pening kepala,

Kerana dalca, tak tentu hala

Mami oh mami, kisahnya mami

Mamu oh mamu, calon suami

Sangka tak sangka, cinta dah bersemi

Boria Mami Dalca, darilah kami

Mai kat Tanjung, macam macam ada

Dalca Mami George Town, hati tergoda

Si Mamu Pitchay, orang kaya berada

Pilih yang tua, tapi dapat yang muda

Mami oh mami, kisahnya mami

Mamu oh mamu, calon suami

Sangka tak sangka, cinta dah bersemi

Boria Mami Dalca, darilah kami

Cinta di hati, bukan di mata

Inilah namanya, cinta tu buta

Kalau dah suka, apa nak kata

Suka sama suka, itulah cinta

Mami oh mami, kisahnya mami

Mamu oh mamu, calon suami

Sangka tak sangka, cinta dah bersemi

Boria Mami Dalca, darilah kami

Lagu: Yassuri

Lirik: Omar Hashim Omara

Jumaat, Oktober 14, 2011

Imuda dan Boria


“Aku mula terlibat dengan Boria masa aku darjah 3 tahun 1969 .Sebelum ni aku dengar dan tengok aje abang aku main Boria . Masa tu aku terlibat dalam satu persembahan utk hari Ibu Bapa . Berpakaian seragam semuanya 20 orang aku jadi tukang karang dan buat lawak , tapi pakai kertas la nak baca rangkap pantun. Lepas tu darjah 6 jugak Boria utk hari IbuBapa .

Di tahun 70 an Boria amat termasyur di Pulau Pinang . Masa aku tinggal kt Kuates Keretapi Perai sekitar tahun tu aku terlibat juga dgn Persatuan Belia . Jikalau ada kenduri kendara waktu malam mesti ada hiburan kalau tak kugiran ada Ghazal Party kalau tak pun Boria . kalau Boria aku pun terlibat la tapi jadi Sailor aje . Sehinggalah aku berkerja di Kuala Lumpur awal tahun 80an aku tetap meminati Boria , Sememangnya Boria memeriahkan apa saja majlis . Semasa aku berlakun sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu , aku selitkan jugak Boria . Begitulah cintanya aku dengan Boria” .

Isnin, Oktober 10, 2011

Mustaffa Mengimbas Kembali Boria Padang Tambun

"Mengibas kembali, Padang Tambun dulunya merupakan satu-satunya tempat berkumpul orang-orang Melayu dari kampung-kampung sekitar Tanjung menghiburkan hati dan merupakan satu bentuk hiburan menyampaikan maklumat kepada orang ramai bersempena sambutan acara tahunan meraikan Hari Kemerdekaan yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Tanjung pada ketika itu.

Masih segar dalam kenangan, Padang Tambun menyaksikan Pertandingan BORIA di Pentas “A” dan Pentas “C”. Selepas main BORIA di Pentas “A”, pindah pula main BORIA di Pentas “C”. Pengadilan Pertandingan BORIA dibuat di Pentas “A”. Pada masa itu terdapat banyak Kumpulan BORIA yang aktif. Diantaranya BORIA Sg. Pinang, Kg. Dodol, Kg. Rawana, Kg. Makam, Kg. Herriot, Kebun Lama, Kebun Nyior, Dhoby Ghaut, Jalan Patani, Sg. Gelugor, Sg. Nibong, Hutton Lane, Jelutong dan lain-lain lagi.

Dalam lipatan sejarah juga, di Pentas “B” Padang Tambun, menyaksikan persembahan Seniman Agong Negara P. Ramlee dan Biduanita Negara Saloma, Ahmad Daud dan Sa’adiah, S.M. Salim, Jefri Din, A. Rahman Hassan, A.R. Tompel, Ibrahim Din, Yahaya Sulong & ramai lagi Penghibur-Penghibur Tanahair, mendendangkan, mengalunkan Lagu Dan Irama Yang Tak Dapat Dipisahkan. Ramai yang terhibur dengan aksi Kugiran Kumpulan Gitar Rancak dizaman Pop Ye Ye dan A-Go-Go."

Petikan Pandangan dari: Mustaffa Ishak, Penggiat Boria Pulau Pinang

Khamis, Oktober 06, 2011

MINUS ONE BORIA Boleh Ditempah atau Beli Yang Sedia Ada

MINUS ONE BORIA BOLEH DITEMPAH ATAU BELI YANG SEDIA ADA
Kepada anda semua yang ingin dapatkan muzik minus one dan contoh melodi lagu boria, sila hubungi saya Omara di talian 013-4220091 atau email - omara353535@hotmail.com

Rabu, Oktober 05, 2011

Seminar Boria 1983 di USM



Pulau Pinang, kaya warisan

Seni budaya, sebagai bingkisan

Mari letakkan, di tempat atasan

Boria Omara, sampaikan pesan


Pada tahun 1983, Jabatan Kebudayaan Belia Dan Sukan Pulau Pinang pada masa itu telah menganjurkan Seminar Boria yang diadakan di USM, Pulau Pinang.

Ramai penggiat-penggiat boria terlibat dan beberapa orang panel telah membentangkan kertas kerja masing-masing. Antaranya ialah Abdullah Darus dan Azizi Hj. Abdullah.

Saya tidak dapat mencari fakta-fakta yang lengkap mengenai seminar ini, jika ada sesiapa yang mempunyai maklumat sila hantarkan melalui email kepada saya di omara353535@hotmail.com atau tulis di bahagian komen di bawah catitan blog ini. Terima kasih.


Gambar bawah: Saya bersama dengan Abdullah Darus ataupun lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah tokoh boria yang tidak asing lagi.

Selasa, Oktober 04, 2011

Razman anak Penggiat Boria Allahyarham Rahman Hamid


Namanya Mohd. Razman. Seorang jurugambar still foto/video yang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Anak kepada Allahyarham Rahman Hamid, seorang penggiat boria di Pulau Pinang juga bekas penerbit rancangan Dendang Rakyat RTM suatu ketika dulu.

Razman yang kini tinggal di Kampung Dodol, Jalan Perak, Pulau Pinang (rumah keluarganya) merupakan seorang peminat setia boria. Seperti saya juga, hatinya mudah terguris apabila melihat boria-boria yang dipersembahkan tidak mengikut peraturan yang betul.

Setiap kali beliau melihat boria-boria seperti ini, Razman akan merakamkan persembahan tersebut dan dimaklumkan kepada saya. Saya banyak menerima komen-komen beliau mengenai kerosakkan boria-boria yang dipersembahkan sekarang. Beliau bercakap dengan fakta dan bahan bukti sekali.

Syabas Razman! Saya harap ramai lagi yang perihatin dengan nasib dan perkembangan boria sejak akhir-akhir ini. Tujuan kita satu, mewujudkan persembahan yang betul tanpa dicemari dengan pengaruh lain-lain budaya pada kesenian warisan tradisi ini.

Ahad, Oktober 02, 2011

UITM Kedah dua kali Naib Juara Boria FEStKUM



Kumpulan Boria UiTM Kedah antara kampus tunggal yang mewakili UiTM Malaysia ke pertandingan Boria Festival Kebudayaan Univesiti-Universiti Malaysia ( FEStKUM ) mempertahankan tempat Naib Juara pada pertandingan yang berlangsung di UniMAP Perlis pada 15 – 19 Disember 2010. Antara hadiah iringan yang dimenangi dalam persembahan ini ialah pingat Emas (Sketsa), Muzik Iringan ( Gangsa ) dan Karangan pantun ( Gangsa )

Sebanyak 20 IPTA yang menyertai pertandingan kali ini. Seramai 15 orang pelajar Kumpulan Boria Kedah yang sedang bercuti dan menjalankan kerja sambilan berkorban masa mengikuti telah memulakan latihan pusat bermula 9 Disember yang lalu di Pusat Kegiatan Pelajar Bangunan HEPA baru UiTM Kedah sebelum berangkat ke UniMAP pada 15 Disember 2010. Turut menyertai koata 20 orang kumpulan ini ialah para pelajar dari jurusan PreLaw seramai 5 orang dan 3 orang MPP iaitu Mahazir Zainal Abidin ( Bendahari MPP ) Tukang Karang, Muhamed Ismadi ( Biro Penerbitan ) Nyanyian. Mohd Arif Sulaiman ( Biro Sukan & Kebudayaan ) selaku Sailor.

Lihat artikel seterusnya di http://kedah.uitm.edu.my/home/archives/1036-boria-uitm-kedah-naib-juara-2-tahun

Rabu, September 28, 2011

Tukang Karang Boria





Selepas persembahan lakonan/sketsa, persembahan boria diteruskan dalam bentuk lagu dan nyanyian. Kumpulan penari sailor masuk menarikan lagu masuk dan diikuti nyanyian lagu boria diketuai oleh seorang tukang karang (Tukang karang akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi ataupun ‘baton’).

Tukang karang akan menyampaikan lagu boria dengan suara yang lantang dan bersemangat. Nyanyian dimulakan secara solo oleh tukang karang, dan kemudiannya diikuti oleh sailor yang mengulangi lagu korus boria. Tukang karang dianggap menjadi nadi penggerak untuk sesebuah persembahan kumpulan boria.

Tukang karang amat penting dalam persembahan boria. Dia akan bertindak sebagai ketua untuk menyampaikan rangkap-rangkap karangan yang menceritakan kembali dari sketsa yang telah dilakonkan sebelum itu.

Jika zaman dahulu, biasanya tukang karang akan menyampaikan nyanyian dan karangannya secara sepontan, tapi kini ramai tukang karang yang buat persediaan terlebih dahulu sebelum persembahan dan ada tukang karang yang menyampaikan karangan yang ditulis oleh orang lain.


Dalam persembahan boria, tukang karang tidak perlu menari. Seelok-eloknya tukang karang bebas bergerak ke kiri dan kanan pentas ketika giliran sailor sedang menyanyi.

Antara Tukang Karang boria zaman dahulu dan kini dalam persembahan boria yang sempat saya catitkan di sini ialah: Datuk Ahmad Daud, Zainol C (Pak Man Telo), Ali Yussof, Syed Akir, Yaakob, Hafizi Jie, Jibran Khalil, Hail Amir, Ibrahim, Najib Haniff, Shukor Hamid, L. Ramlie, Wank Kamarulzaman.





Dan antaranya lagi ialah Maulud, Nassier Wahab, Rosli Abdullah (Chik), Hasman Hassan, Achan, Pak Kan, Roslan, Abee Wahab, Yan, Aini Omar dan ramai lagi.

(Jika ada lagi nama yang belum saya sebutkan atau ada nama yang tidak lengkap di sin
i sila hubungi saya untuk berikan lagi fakta dan maklumat untuk kita kongsikan bersama).

Selasa, September 27, 2011

Boria Penang





Boria is another traditional performing art form which owes itsorigin to Persia, one of its meanings is ‘carpet’ where “grief-stricken mourners would sit wailing and crying, at times in a state of frenzy, during the first ten nights of...Muharram”

The less-known interpretation of boria is from the Hindi word borai which means crazy or frenzy This interpretation has probably arisenafter the frenzy of performances in Penang when boria was at its height. As competitions were held between the Boria groups, the frenzy occurred when competition was strife among the costumed performers who paraded the groups’ flags of different colours and designs. This inevitably ended in fights, Apparently, at its peak, apart from the main evening performances there were also performances in the day called kuli kalin where the groups paraded and sang in the streets with masks of different designs in the first five days of Muharram. This was done to collect funds for the performances.

Boria is believed to have been brought in between 1845 and 1874 by the “Indians of Shiah origin” The reference to the origin of this performance is also made to the incident at Karbala and for the first ten days of Muharram, Boria was performed to reminiscence this incident. Still making reference to its Indian origins Ghulam states that “...boria performances in Shiah communities in India is the inclusion of passion plays based upon the theme of martyrdom of Ali’s family” (ibid). This genre of performance is believed to have been used to promote understanding of Shi’ite

The plays are the main part of Boria whilst the singing supports the performance. Both the frenzy and mayhem it caused and the religious-political significance of these performances led to the disintegration of Boria. As a start to this disintegration, Boria was changed to Ria denoting merriment with no strong religious significance.

From performances of plays it evolved into choric performances where the tukang karang (lead singer) sings the ‘story’, followed by repetitive singing of the ‘sailors’ (chorus) in between each verse. At the height of Boria the tukang karang (lead singer) must be able to improvise his lyrics And have melodious voice to attract not only audiences to earn fame but patrons. A good tukang karang must also use the right lyrics to praise his patron in the hope of getting better financial support.

Suami Isteri dan Anak Anak Aktif di bidang Seni dan Boria


Puan Zaini Man, Puan Rohaya Ayob dan suami mereka Anis Sobri Ahmad, ketiga-tiganya aktif dalam seni Tarian, Boria dan Teater di Pulau Pinang. Anak-anak mereka pula Amir Zairie, Amir Zahier, Amirah Zafirah dan Amirah Zubaidah mengikuti jejak yang sama di bidang seni terutamanya ‘Boria’.

Amir Zahier yang dikenali sebagai Ajek, 15tahun (2011) mula bergiat di bidang boria sejak usia 9 tahun, Amir Zairie pula adiknya, 13 tahun mula bergiat sejak usia 8 tahun dan dikenali dengan panggilan Ayie. Amirah Zafirah,13 tahun, lebih senang dipanggil Puteri bergiat sejak usia 8 tahun dan adik kepada Puteri pula Amirah Zubaidah, 10 tahun lebih menonjol di bidang teater dan pernah terlibat dalam Teater ‘Siti Di Alam Fantasi’ yang dipentaskan di Istana Budaya tahun 2010 lalu.

Menurut ibunya Puan Zaini Man, kerap juga anak-anak mereka ikut bersama bila dia dan suaminya terlibat dalam sesuatu persembahan seni dan budaya. Zaini yang bertugas di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Pulau Pinang bergiat dibidang seni sejak dari zaman remajanya lagi. Ibu kepada Amirah Zafirah dan Amirah Zubaidah Puan Rohaya Ayob pula aktif memimpin kumpulan boria dan tarian mereka yang dikenali sebagai Angkatan Budayasari Pulau Pinang.

Semoga keluarga seni ini terus bergiat dan aktif dalam seni budaya dan warisan disamping terus martabatkan Boria di persada seni tanahair yang juga warisan Pulau Mutiara ini.

Ahad, September 25, 2011

Boria Diundang di Majlis dan Acara Bangsa Lain

".....Sharifah Juairiah Syed Jamal Khoo Kongsi Charity Food Fair...semua makanan kami tak boleh makan sbb tak halal dan semua persembahan dlm bahasa Cina...tapi yg membanggakan kami adalah kami diundang buat persembahan Boria selepas majlis ni dirasmikan....Alhamdulilah kami dpt tepukan yg gemuruh oleh semua yg hadir...."

Demikian kata-kata Sharifah Juairiah Syed Jamal, anak saudara kepada Allahyarham Dato' Zainal Alam penghibur terkenal suatu masa dulu. Sharifah juga aktif sebagai ahli sketsa boria dan pernah berlakon teater dan beberapa buah Telemovie di Tv seperti - Anak Mamak Menantu Mami, Dalca Mami George Town, Mencari Bidadari, Duda Dudi dan banyak lagi.

Menurut Sharifah lagi, sepatutnya penganjur-penganjur Melayu mencontohi mereka kerana sanggup menyelitkan acara Boria dalam persembahan yang tidak ada kena mengena dengan bangsa dan budaya kita ini.

Bukan saja di Pulau Pinang, negeri negeri lain juga harus berikan tempat kepada warisan seni dan budaya kita dalam semua acara yang diadakan tanpa mengira bangsa atau kaum.

Boria Gema Permata di Charity Food Fair 2011





















Kumpulan Boria Gema Permata, KRT, Permata C, Pangsapuri Permata, Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang di bawah pimpinan Mamu Mustaffa telah diundang buat persembahan boria di Majlis Khoo Kongsi Charity Food Fair 2011 di Khoo Kongsi, 18, Cannon Square, Pulau Pinang pada 24 September 2011.

Kumpulan sketsa yang terdiri dari Chop Pak Kojek, Sharifah Juairiah dan Omar Hashim Omara turut bersama-sama buat persembahan dengan kumpulan boria ini di majlis tersebut dengan kisah berjodol Warisan Seni Pulau Pinang.

Kumpulan boria ini turut menyertai Pertandingan Boria dalam ketegori remaja anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Malaysia yang diadakan di Padang Kpg. Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak lama dulu.

Persembahan di majlis makan malam ini telah mendapat sambutan baik dari penonton-penonton yang terdiri dari orang orang Cina sahaja dan boria adalah satu-satunya acara seni warisan Melayu yang turut diundang di majlis tersebut.

Semoga Warisan Boria terus diterima oleh semua kaum di Malaysia dan akan terus dimartabatkan sebagai warisan seni Pulau Pinang.

Persembahan ini diuruskan oleh Omar Hashim Omara.

Sabtu, September 24, 2011

Fakta Mengenai BORIA



Sedikit Fakta ringkas dan mudah mengenai BORIA

Persembahan Sketsa di permulaan (bukan teater atau bangsawan). Ada pencadang, ada pembangkang dan ada penasihat. Jadilah cerita….
  1. Sketsa dalam loghat utara adalah digalakkan.
  2. Seorang Tukang karang (ada tongkat di tangan sebagai penunjuk)
  3. Ada sailor ataupun ‘kelasi’ di belakang tukang karang. Kumpulan sailor akan melakukan gerakkan mengikut irama lagu yang dipersembahkan.
  4. Nyanyian tukang karang dan sailor mengikut rangkap karangan yang mengikut tema atau tajuk persembahan boria tersebut. Rangkap karangan mestilah mempunyai empat baris pada satu rangkap dan setiap hujung sukukatanya bunyi sama. Beza dari pantun dan seloka. Umpamanya jika dihujung baris itu disebut perkataan ‘kota’ baris-baris berikutnya juga mestilah berbunyi ‘TA’. Jadi TA, TA, TA, TA atau BA, BA, BA, BA iaitu empat baris. Rangkap karangan boria tidak ada pembayang macam pantun.
  5. Boria ada lagu masuk dan lagu keluar. Selepas sketsa, sailor masuk dengan diiringi ‘lagu masuk’ dan selepas tamat persembahan, sailor keluar dengan diiringi oleh ‘lagu keluar’.
  6. Props yang bersesuaian boleh digunakan. Seperti payung, bunga manggar, bendera, gendang panjang dan sebagainya.
  7. Boria boleh diiringi oleh kumpulan muzik ataupun terkini ‘minus one’ dibenarkan.
  8. Lagu boria pula bebas. Boleh cipta atau gubah dari lagu-lagu yang sedia ada asalkan sesuai dan padan dengan persembahan boria.

Jumaat, September 23, 2011

Boria KUDRAT 70an dan 80an di Seberang Perai



Kumpulan Senibudaya dan Drama Rakyat (KUDRAT) Seberang Perai yang aktif dari tahun 70an hingga akhir 80an.

Selain dari mempunyai unit Nasyid, Teater, Tarian, Muzik, kumpulan ini juga tetap memperjuangkan seni Warisan Boria dalam salah satu unit utamanya.

Selain dari buat persembahan di Majlis majlis yang diundang, Kumpulan Boria KUDRAT juga menyertai Pertandingan Boria Pesta Pulau Pinang yang diadakan setiap tahun ketika itu.

Saya Omar Hashim yang pernah dilantik menjadi Yang DiPertua kumpulan ini setelah kematian Allahyarham Abdullah Ismail (Wartawan Berita Harian), terus memikul tanggung jawab menerajui perjalanan persatuan ini dengan dibantu oleh Setiausaha Sdra Yusof Hussin yang masih setia hingga kini kerana terus menyimpan bahan-bahan KUDRAT walaupun persatuan ini terpaksa ditutup akibat perpindahan ahli-ahli tidak lama dulu.

Antara rakan kami yang masih saya ingat aktif dalam boria dan senibudaya lain ialah Siti Hawa Ahmad, Mat Isa Salleh, Siti Aishah Ahmad, Wanir Asmara, Athinarayanan, Wan Zaidon Hassan, Yusof M. Hashim, Johari Sahid, Zaliaha Abdul, Asrul, Yusof Hussin, Miskin Darus, Azlina Michael Rayan, Yusof Mat, Sobirin Mat, Maimun Ahmad, Wan Najib Wan Hassan.

Juga Shariff Tan, Wan Badrul Wan Hassan, Ismail @ Badrul Shafiee, Saad, Suhaimi, Che Putih Rejab, Nazir Mansor, Abu Osman Sirun, Wahab Ishak, Che Amah, Omar Hashim (saya) dan ramai lagi yang mungkin tidak disebutkan di sini. Ahli lebih seratus orang ramainya.


Atas: Gambar terkini, pertemuan beberapa orang rakan kami yang sudah lama tidak bertemu, Dari kiri berdiri - Asrul, Yusof Hussin, Omar Hashim (Omara), Yusof Hashim, Miskin Darus dan duduk Azlina Michael Rayan.

Bawah: Petikan akhbar persembahan Boria KUDRAT dengan tajuk Ekonomi Bumiputera.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...