Boria Zaman Dahulu

Sabtu, Oktober 25, 2008

Persembahan Boria Dalam Teater SOFEA


Boria dipersembahkan sebagai penutup Teater SOFEA yang dipentaskan di Taman Budaya Jalan Lintasan Kayangan, Negeri Perlis Indera Kayangan pada 25 dan 26 Oktober 2008 mulai jam 8.30 malam.

SOFEA dibawa oleh Angkatan Budayasari Pulau Pinang arahan Anissobri Ahmad (Ba'e) yang juga seorang pelakon sketsa boria di Pulau Pinang. Pementasan ini anjuran/kelolaan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang.

Menampilkan - Artis-artis Lakon NGO Negeri Pulau Pinang serta penampilan istimewa Tok Moh (Raja Lawak).

Dimuatkan rangkap karangan boria untuk Teater SOFEA yang dihasilkan oleh Omar M. Hashim (OMARA).


Kisah Sofea gadis jelita
Menjadi pelacur di tengah kota
Hidup melarat gelap gelita
Angkatan Budayasari membawa cerita

Terperangkap Sofea di lembah hina
Bergelomang hidup maksiat dan zina
Bingung Sofea serba tak kena
Akibat kongkongan lelaki durjana

Dunia pelacuran cuba didedah
Suka duka gelisah dan gundah
Mencari rezeki secara mudah
Akhirnya tiba sengsara dan padah

Ibu menangis setiap hari
Ke sana sini Sofea dicari
hilangnya menjadi sebuah misteri
doa ibu tidak terperi

Tamatlah cerita menjadi pengajaran
Kotornya hidup dunia pelacuran
Hilanglah keluarga hilanglah jiran
Angkatan Budayasari memberi gambaran

Isnin, Oktober 20, 2008

Tempah atau sewa kostium boria

Jika ingin tempah atau sewa kostium boria, sila hubungi Warisan Boria di talian: 013-4220091 (Omara). Props boria seperti payung dan tongkat tukang karang juga disediakan. Selamat berboria!

Khamis, Oktober 16, 2008

Boria Meriahkan Sambutan Hari Raya di Perkarangan Kompleks Pustaka Warisan Seni Pulau Pinang

Persembahan boria khas hari raya turut menyerikan acara majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidil Fitri anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara, Negeri Pulau Pinang yang telah berlangsung di Perkarangan Kompleks Pustaka Warisan Seni, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang pada malam 15hb. Oktober 2008 baru-baru ini.

Kumpulan sketsa, tukang karang dan sailor boria yang berpakaian warna warni hari raya telah mempersembahkan boria bertajuk 'Sambutan Hari Raya'.

Sketsa boria dijayakan oleh Abu Bakar Kassim (Mamu Bakar), Yusof M. Hashim (Chop) dan Omar M. Hashim (Omara) yang dikenali dengan Kumpulan Mamu Tanjung.

Tukang karang dan sailor dari kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang.

Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman turut menyerikan persembahan apabila naik ke atas pentas dan sama-sama menarikan gerakan boria. Sebelum itu para tetamu telah dihiburkan dengan acara-acara kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan oleh anak-anak seni yang aktif di Pulau Pinang.

'Bersama Martabatkan Boria Sebagai Seni Warisan Pulau Mutiara'.

Selasa, Oktober 14, 2008

Pertandingan Boria Tahun 1983 - Boria KUDRAT turut serta


Kumpulan Boria KUDRAT (Kumpulan Senibudaya Dan Drama Rakyat Seberang Perai) dibawah pimpinan Omar Hashim turut serta dalam satu pertandingan boria yang diadakan di Dewan Bandaran Butterworth dalam tahun 1983. Kiri - Sketsa boria oleh Lutfi, Yusof Hussin, Suhaimi, Mat Isa Salleh dan Yusof Mat. Kanan - Persembahan boria dengan tukang karangnya Jasni. Foto oleh: Omar M. Hashim (OMARA).

Rabu, Oktober 08, 2008

Boria Pengakap Kumpulan 12 MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang ke Kelantan

Kumpulan Boria Pengakap Kumpulan 12 MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang yang terdiri seramai 20 orang bersedia untuk membawa persembahan boria ke Jambori MRSM Se-Malaysia yang akan diadakan di MRSM Jeli, Kelantan pada 16 hingga 19 Oktober 2008 ini. Kumpulan ini dipimpin oleh Encik Zulkifli Abd. Rahim (duduk tengah). Tukang karang ialah Muhd Ruhaimi Habibullah. Warisan Boria - Omara telah memberikan khidmat nasihat kepada kumpulan boria tersebut. Harap persembahan mereka nanti dapat menghiburkan lebih lima ribu orang pengakap di Jambori tersebut. Selamat berjaya martabatkan kesenian warisan negara kita!

Ahad, Oktober 05, 2008

BORIA BISTARI TAHUN 1979


Semasa singgah makan di sebuah warung di Semawang Negeri Sembilan baru-baru ini, kebetulan tuan punya gerai tersebut ialah bekas sailor atau kelasi kumpulan Boria Bistari Telok Air Tawar Butterworth. (Maaf, saya kehilangan kertas catatan - tak dapat nak namakan pemilik gerai yang dimaksudkan ini. Saya harap sekiranya beliau terbaca laman ini sila hubungi saya melalui talian telefon yang tertera di sebelah kiri blog Warisan Boria ini.). Gambar-gambar ini diambil dalam tahun 1979. Kini beliau menetap di Negeri Sembilan. Hanya gambar-gambar yang diambil tiga puluh tahun lalu ini yang tinggal sebagai kenangan. Kini boria Bistari dihidupkan kembali oleh pelawak yang tidak asing lagi di utara Chick dan dipimpin oleh saya sendiri - Omara. Buat sementara kumpulan ini hanya mengadakan persembahan-persembahan di radio Mutiara FM Pulau Pinang. Paling terbaru dalam rancangan boria yang disiarkan sempena sambutan Aidil Fitri baru-baru ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...