Setelah dua tahun tidak diadakan Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang, kini Dewan Terbuka Tapak Pesta menyaksikan kembali pertandingan yang menghimpunkan ahli dan penggiat boria. Namun sudah tidak semeriah dulu. Jika dulu pernah diadakan beberapa malam, kini hanya berlangsung dari jam 9.00 malam dan berakhir kira-kira jam 11.00 malam. Hanya lima kumpulan yang bertanding. Mungkin kurang publisiti atau pertandingan ini telah dibuat agak tergesa-gesa. Perubahan tarikh yang telah dicanangkan lebih awal iaitu 7, 8 dan 9 Disember juga mungkin penyebabnya. Tiba-tiba pertandingan itu ditukarkan ke tarikh 10 Disember. Ramai penonton yang bersungut kerana tidak dapat membuat perancangan awal untuk menyaksikannya.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Y.B Tuan Haji Abdul Malik Kassim. Para pengadil pula terdiri dari Penggiat Boria Omar Hashim (Omara), Orang lama boria Noordin Marikan, Ketua Orkestra P. Ramlee, Pak Wan dan Kamaruddin Haniffa penerbit boria di RTM.
Di akhir pertandingan, Kumpulan Boria Kombinasi telah memenangi tempat pertama. Kedua - Kumpulan Boria Kepala Batas dan ketiga Kumpulan Boria Perpustakaan Ng. Pulau Pinang. Beberapa kategori terbaik dan potensi juga telah dinobatkan.