Sejak akhir-akhir ini semakin ramai kanak-kanak dan remaja yang mula mengenali seni warisan sendiri terutamanya 'boria'. Pertama mungkin kerana pihak sekolah rendah mengadakan Pertandingan Boria Anti Dadah setiap tahun. Kedua IPT terutamanya MAKUM dan FESTKUM mengadakan pertandingan Boria setiap tahun di seluruh negara. Ketiga ada juga pihak tertentu yang mula berikan perhatian kepada remaja untuk mendampingi seni dan budaya.
Ini adalah satu perkembangan yang baik. Sekurang-kurangnya kita dapat hindarkan para remaja dari kegiatan-kegiatan yang tidak bermoral seperti merempit, lepak dan beberapa gejala sosial yang semakin buruk akhir-akhir ini. Pendedahan kanak-kanak dan remaja kepada seni budaya dan warisan adalah satu perkembangan yang baik dan seharusnya dibantu.
Saya juga banyak beri peluang kepada kanak-kanak dan remaja supaya terlibat dalam boria di Pulau Pinang. Bersama-sama dengan Dewan Bahasa Dan Pustaka Bahagian Multimedia, saya telah merakamkan 5 buah lagu boria kanak-kanak. Saya juga menguruskan rakaman tarian Dendang Si Manja yang terdiri dari kalangan kanak-kanak di Pulau Pinang juga untuk DBP.
Tidak lama dulu, persembahan boria pelajar seramai 2020 orang juga telah berjaya memecah rekod Malaysia sebagai boria yang teramai dipersembahkan di PISA Pulau Pinang. Paling terbaru saya bekerjasama dengan TV3 dalam pengambaran Boria Remaja TV3 untuk rancangan Remaja TV3. Begitu juga di Radio Malaysia Mutiara FM baru-baru ini sempena menyambut hari kemerdekaan saya telah membantu kanak-kanak dalam rakaman boria.
InsyaAllah jika semuanya berjalan lancar kemungkinan saya akan buatkan boria terbesar seramai 40 orang dalam satu persembahan di Pulau Pinang pada awal tahun 2011 ini yang terdiri dari remaja-remaja empat kumpulan boria yang akan saya satukan. Semoga usaha ini akan berjaya dan mendapat perhatian dari pihak pihak yang berkenaan untuk sama-sama membantu memartabatkan kesenian warisan boria ini di persada seni warisan tanahair.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan