Boria Zaman Dahulu

Isnin, Mei 04, 2009

Kumpulan Boria SK Pekan Satu Labuan Akan Ke Kedah



Kumpulan boria SK Pekan Satu Wilayah Persekutuan Labuan akan turut serta mewakili Labuan dalam Karnival Pencegahan Dadah pada 8 Jun di Kedah. Menurut Cikgu Zaliha Salleh yang menguruskan pasukan boria sekolahnya, sekolah mereka telah berjaya 6 kali berturut-turut menjuarai Karnival Pencegahan Dadah peringkat negeri Labuan dan pernah memenangi naib johan di Pahang tidak lama dulu. 

"Kami masih kekurangan ilmu untuk mencipta semua itu. Kami sering menjadikan pasukan boria Pulau Pinang sebagai contoh kami. Tetapi kami mahu sekolah kami juga ada identiti sendiri." kata Cikgu Zaliha.

Gambar-gambar kiriman Cikgu Zaliha Salleh. 

Ahad, Mei 03, 2009

Kunjung Ucapan Terima Kasih




Alhamdullilah, saya telah membuat kunjungan ucapan terima kasih beberapa orang yang terlibat dalam rakaman DVD boria DBP baru-baru ini sambil menyampaikan naskah ikhlas DVD DBP kepada mereka.
Dalam gambar atas kanan - Saya bersama pelakon sketsa boria Tahir, Mustaffa dan Yusof Ahad semasa berkunjung ke rumah Mustaffa Salibu di Pulau Pinang.
Gambar bawah kiri - Kami bergambar dengan keluarga rumah Kampung Sungai Rusa, Balik Pulau, Pulau Pinang.
Kanan bawah - Saya menyerahkan naskah ikhlas DVD DBP kepada tuan rumah Hj. Zainur Rashid yang telah membenarkan rumahnya dijadikan lokasi pengambaran boria lama dan juga turut berlakon dalam babak boria berlarak bersama-sama dengan pelawak Imuda.
Saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu kami semasa pengambaran untuk menjayakan tujuh buah persembahan boria dan sebuah dokumentari boria.

Khamis, April 30, 2009

Malay Performing Arts - Boria Di Perasmian Pejabat Warisan Dunia George Town


Tahniah kepada Puan Rozaini dan Encik Osman dari Pejabat Warisan Negeri Pulau Pinang kerana Pejabat mereka telah bertukar menjadi Pejabat  Warisan Dunia, George Town. Juga terima kasih kerana telah meletakkan satu sudut 'Malay Performing Arts - Boria' di ruang pameran tingkat atas Pejabat Warisan Dunia. Sepanjang pameran, sebuah dokumentari boria terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka telah ditayangkan disamping mempamirkan kostum dan props boria.

Majlis perasmian yang kebetulan dalam suasana hujan lebat sebelah pagi itu telah disempurnakan oleh Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Fungsi utama pejabat itu adalah untuk memantau pelaksanaan dan pengendalian Pelan Pengurusan Tapak merangkumi hal-hal berkaitan pemasaran, promosi, pengangkutan awam, keselamatan, penyelidikan, kajian-kajian impak, penterjemahan tapak, kesedaran awam dan khidmat nasihat. Pejabat itu akan ditingkatkan dan diperbaiki agar ianya setaraf dengan pejabat-pejabat UNESCO Warisan Dunia yang lain di seluruh dunia.

Gambar - Omar M. Hashim (OMARA) di sudut 'Malay Performing Arts - Boria'. Pelakon sketsa Boria Abu Bakar Kassim turut bersama.

Selasa, April 28, 2009

Rumah Kita Bersama

                Ada sebuah rumah yang cantik binaannya. Ia dijaga oleh beberapa orang yang suka dengan rumah ini. Dibuat pagar yang kemas, semak-samun dan lalang ditebas bersih. Cat disapu dan ditukar warnanya tetapi keaslian bentuk rumah tetap dipelihara. Ramai pengunjung yang melawat rumah ini. Ia terletak di Pulau Mutiara, Pulau Pinang. Inilah sebuah rumah warisan.

                Hari ini rumah ini hampir  dibiarkan usang. Lalang dan semak samun di kelilingnya. Pagarnya pun hampir roboh. Debu di sana sini dan dipenuhi dengan sarang labah-labah. Bumbungnya yang pecah membiarkan air hujan menitik ke dalam rumah.  Pengunjung sudah berkurangan melawat rumah ini.

                Tiba-tiba ada sesaorang yang selama ini melihat rumah ini dari jauh timbul rasa simpati dan perihatinnya kepada rumah ini lalu dibersihkannya segala kekotoran dan debu-debu di dalamnya, lalu ditebas lalang dan semak-samun sehingga bersih kembali. Dibuang sawang dan dibaiki atap bumbungnya. Pagarnya  dibaiki menjadi kemas kembali.  Ia diangkat dan dimartabatkan sebagai warisan.

                Marilah semua yang pernah menjaga rumah ini dahulu kembali menjaga  dan memulihara rumah kesayangan ini bersama-sama. Jangan disoalkan siapa dan mengapa orang ini memulihkan rumah ini. Rumah ini adalah rumah kita bersama sebagai anak Pulau Mutiara. Kembalikan dan kekalkan ia supaya kemasyhurannya terkenal ke seluruh dunia. Inilah dia....B. O. R. I. A. Ya...Boria adalah hak kita bersama. Bersatulah wahai semua penggiat boria, bukan masanya untuk kita menyalahkan orang ini dan orang itu. Jika boria ‘pupus’, kita bersamalah yang harus disalahkan.

-          Omar M. Hashim (OMARA), Pulau Mutiara

Ahad, April 26, 2009

Kumpulan Boria SK Pengkalan Pegoh Gembira Terpilih Ke Peringkat Negeri


Tahniah kepada Kumpulan Boria SK Pengkalan Pegoh, Lahat, Perak kerana memenangi Pertandingan Boria Peringkat Daerah Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah 2009 yang telah berlangsung di SK Pengkalan Taman Pinji Mewah, Ipoh baru-baru ini.

Pertandingan 'Boria' kesenian popular Pulau Pinang ini bertujuan merealisasikan 'Sekolah Bebas Dadah'. Di belakang kiri ialah Guru Besar Pn. Hajjah Che Wa binti Saad, Pn. Leli bt. Choh. Terima kasih kepada Cikgu Syahreena binti Yaakob (belakang kanan sekali) yang sudi mengirimkan gambar ini dan bertindak sebagai jurulatih bersama-sama dengan Pn. Maizaton, Pn. Nor Akmar dan Cik Nor Izzura.

Menurut Cikgu Syahreena, kumpulan boria mereka akan mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat negeri yang akan diadakan tidak lama lagi. Selamat berjaya!

KUDRAT Pernah Tubuhkan Kumpulan Boria Asli


Kumpulan Boria KUDRAT Seberang Perai juga pernah mempersembahkan boria asli sekitar penghujung tahun 70an hingga awal 80an. Kumpulan boria yang dipimpin oleh saya sendiri ini aktif sekitar tahun-tahun tersebut di Seberang Perai. 

KUDRAT yang pada masa itu bergerak dengan bantuan Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan sering mengadakan persembahan-persembahan kesenian. Ahli KUDRAT memang ramai iaitu sekitar seratus orang lebih.

Dalam gambar kelihatan antaranya - Muskim Darus, Asrul, Saad dan Zaleha. 

Sabtu, April 25, 2009

Peraturan Boria Terdapat Dalam DVD Dokumentari Terbitan DBP



Dalam DVD Seni Persembahan BORIA terbitan DBP juga mengandungi syarat-syarat dan peraturan boria yang diterangkan oleh Abdullah Darus, Pak Kan dan juga Omar M. Hashim (OMARA). Penerangan disertakan dengan contoh-contoh persembahan yang lengkap. Sesiapa yang berminat dan ingin mendapatkan maklumatnya bolehlah dapatkan DVD yang baru dikeluarkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka ini.

Cik Mariam Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang dalam kata-kata aluannya antara lain menyebut:

"Segala peraturan dan syarat persembahan boria yang diterangkan adalah jelas dan mudah untuk difahami. Oleh itu, ia amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan kerana dokumentari ini diiringi dengan lagu-lagu boria, panduan dan penerangan mengenai sejarah boria di samping pandangan daripada tokoh-tokoh/penggiat kesenian ini."

Rabu, April 22, 2009

Boria Budayasari Pulau Pinang Di Pesta Buku 2009 PWTC





Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang telah memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur pada hari selasa 21 April 2009. Majlis anjuran BAHAGIAN MULTIMEDIA DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA ini yang dimulakan mulai jam 2 petang dan berakhir jam 4 petang telah dijuruacarakan oleh pelawak dan pelakon yang tidak asing lagi, Imuda.

Penonton yang membanjiri kawasan Pentas Legar Putra Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur dipersembahkan dengan dua buah boria iaitu 'Martabat Bahasa' dan 'Lumba Haram', kedua-duanya disampaikan oleh tukang karang Nurul Hafizi. Imuda dan Lan dari Kumpulan LNJ (Rajalawak Astro) turut berlakon sketsa bersama-sama dengan Yusof (Chop), Abu Bakar, Sharifah dan Omara. Rangkap karangan kedua-dua lagu boria dicipta dan disusun oleh Omara juga.

Acara-acara lain ialah nyanyian lagu dalam pantun (Ya Ladan) oleh Haziq AF4, Berbalas Pantun (Pantun Kasih), Kuiz Pantun (Terbuka kepada Pengunjung), Nyanyian Lagu Peribahasa (Bumi Dipijak Langit Dijunjung) oleh Fadli Semi dan juga Persembahan Nyanyian Kumpulan Tadika.

Dr. Amran Joned (Ketua Bahagian Multimedia), Pn. Siti Zaleha M. Hashim (Bahagian Multimedia), Encik Arshad bin Rawian (Ketua Bahagian Penerbitan Bahasa) dan Cik Mariam Sulaiman (Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang) adalah antara tetamu utama yang turut menyaksikan persembahan tersebut.

Isnin, April 20, 2009

Boria Dalam Akhbar Sinar Harian 20 April 2009


Terima kasih Siti Nadiah dari Skuad Cakna Akhbar SINAR HARIAN yang menulis mengenai boria dengan tajuk : Pak Lah tidak mahu boria pupus. Kerjasama dari akhbar dan media amatlah diharapkan semoga seni warisan yang baru diiktiraf sebagai Seni Warisan Kebangsaan ini akan kembali popular dan dapat diterima oleh generasi hari ini dan seterusnya akan datang.

Baru-baru ini terdapat juga usaha daripada sebuah penerbitan majalah dalam bahasa Cina yang menghubungi saya untuk bertanyakan mengenai boria. Begitu juga kami menaruh harapan tinggi kepada RTM yang kini dibawah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya dapat memberi tempat kepada kesenian warisan yang hampir pupus di buminya sendiri ini.

Isnin, April 13, 2009

Dapatkan DVD BORIA Terbitan DBP Pada 21 April Di PWTC

Yang dinanti-nantikan kini dah tiba. Sebuah penerbitan ‘hebat’ dari Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa Dan Pustaka ‘Seni Persembahan Boria’ akan diedarkan minggu depan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 pada 21 April 2009 (Selasa) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Kepada peminat-peminat seni warisan ini dan mereka yang ingin mendalami ‘Boria’ dapat menyaksikan sebuah Dokumentari Boria selama satu jam dan 7 buah persembahan boria dahulu dan sekarang dalam 1 set yang mengandungi 2 keping DVD.

“Alhamdullilah! Terima kasih Encik Jamaluddin Mohd Sulong, Encik Amran Joned, Puan Siti Zaleha M. Hashim, Puan Rohana Abdul Rahman dan semua yang terlibat dari Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur yang telah memberi kepercayaan kepada saya menguruskan penerbitan ini dari awal hingga akhir lebih kurang setahun (termasuk membuat kajian dan skrip).

Saya gembira kerana hasil dokumentari ini nanti akan dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat dan pencinta seni dan warisan tanahair dan generasi akan datang”.

- - Omar M. Hashim (OMARA) P. Pinang 13 April 2009

Ahad, April 12, 2009

Warisan Boria Terima Sungutan Guru Mengenai Peraturan Boria


Warisan Boria terima beberapa panggilan telefon, email dan sms guru-guru dari beberapa negeri yang bertanyakan peraturan sebenar persembahan boria Pulau Pinang. Mereka memberitahu saya, ada antara kumpulan boria sekolah mereka yang menyertai Pertandingan Boria Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah 2009 mendapat teguran yang tidak tepat dengan pengadil atau juri yang dilantik.

Paling terbaru (pagi ini 12 April 2009), seorang guru dari utara memberitahu saya, pengadil memberitahu 'sailor' atau kelasi boria tidak perlu mengulangi rangkap pertama yang dinyanyikan oleh tukang karang.

Sebenarnya mengikut peraturan boria yang sebenar dan telah diputuskan dalam Simposium Boria yang diadakan sebelum ini, memang sailor dikehendaki mengulangi rangkap pertama yang dinyanyikan oleh tukang karang dan sekali mengikut rangkap terakhir yang disampaikan oleh tukang karang.


Sebagai seorang penggiat boria yang memperjuangkan seni warisan ini, saya harap segala peraturan boria haruslah diikuti demi untuk menjaga keasliannya.

Gambar di atas: Simposium Boria Pulau Pinang Tahun 2005

- Omar M. Hashim Penggiat Boria Pulau Pinang

Khamis, April 09, 2009

Masyarakat Madani Tanpa Dadah Dalam Pertandingan Boria


Karnival Pendidikan Pencegahan Dadah 2009 Peringkat Kebangsaan akan berlangsung tidak lama lagi. Pertandingan 'Boria' kesenian popular Pulau Pinang ini bertujuan merealisasikan 'Sekolah Bebas Dadah' Menjelang Tahun 2012. Objektifnya menggalakkan murid melibatkan diri dalam aktiviti Pendidikan Pencegahan Dadah, mengembangkan bakat dan potensi murid dan juga menyampaikan mesej Pendidikan Pencegahan Dadah. Kumpulan sasaran pertandingan ini ialah murid-murid Tahap 2 sekolah rendah kerajaan. Tema kali ini "Masyarakat Madani Tanpa Dadah". 

Warisan Boria mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana tidak melupakan 'Boria' iaitu salah satu kesenian Pulau Pinang yang baru-baru ini telah dipilih sebagai Warisan Kesenian Dan Kebudayaan 2009 di negara kita. Kepada para guru dan pelajar yang terbabit, diharapkan dapat sama-sama menjaga kualiti persembahan yang terbaik dan semoga berjaya mencapai kemenangan yang diharapkan. Warisan Boria sedia memberikan nasihat jika diminta dan bahan-bahan dalam blog ini bolehlah dijadikan panduan.

Gambar: Kumpulan Boria Anak Wawasan SMKPTJ (Model Khas Pulau Pinang) membawa pulang kejayaan di Karnival PPDA , Kota Bahru, Kelantan dengan menggondol Johan Boria tahun 2008 dan juga Anugerah Tukang Karang Terbaik.

Selasa, Mac 31, 2009

Pelakon Sketsa Latiff Korea Bersama Bakar Panjang


Latiff Korea, ada orang gelar Hamid Gurkha Pulau Pinang. Nama sebenarnya Abdul Latiff Abu Bakar kini berusia 72 tahun suatu masa dulu terkenal sebagai pelakon sketsa boria. Latiff yang dilahirkan dalam tahun 1937 berasal dari Kampung Dodol Pulau Pinang. Beliau mula menceburkan diri dalam boria dengan Kumpulan Boria Kampung Dodol dalam tahun enampuluhan. Kemudian Latiff aktif pula dengan Kumpulan Boria Dakotas, Jelutong, Pulau Pinang.

Dengan Kumpulan Dakotas, Latiff berpasangan berlakon sketsa boria dengan Abu Bakar Kassim ataupun Bakar Panjang, Pak Wan Teh, Nordin Marikan dan Hashim Sahar. Sebelum itu Bakar pula bermain dengan Kumpulan Boria jalan Patani, Pulau Pinang. Kumpulan Boria Dakotas pernah memenangi Pertandingan Boria Pesta Dendang Rakyat anjuran RTM di awal tahun 70an dahulu.

Baru-baru ini saya telah menemui mereka berdua di sebuah kedai kopi di Kampong Dodol. Latiff yang cacat pendengaran kini tidak lagi main boria. Hanya Bakar yang masih lagi aktif hingga sekarang setelah berehat kira-kira 20 tahun.

Foto: Bakar (kiri) dan Latiff (kanan).

Foto: Sketsa Boria - Kiri - Latiff, Nordin, Hashim dan Bakar dalam Pesta Dendang Rakyat RTM.

Ahad, Mac 29, 2009

Breathing new life into boria Dalam Akhbar Star





Akhbar Star keluaran 28 Mac 2009 juga telah melapurkan Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria yang berlangsung baru-baru ini. 

Saturday March 28, 2009

Breathing new life into boria
By MANJIT KAUR

A BORIA enthusiast, who is worried that the performance art might become “extinct just like the dinosaurs,” has created a blog to keep it alive.

Omar Hashim, 54, said he had posted all the data and pictures on boria, which he and his friends had collected over the last two years, on http://warisanboria.blogspot.com.

“I can proudly say that the blog has all the details of the art — its history and where to find the troupes for performances.

“Although there are only four boria teams left in Penang, I am confident that with the blog, I will be able to locate old timers to help revive the art,” he told reporters at the recent launch of the blog by Penang Culture and Arts Department director Siri Neng Buah at the P. Ramlee Auditorium in Penang.

Berita seterusnya dapat diikuti melalui - Klik Di Sini

Terima kasih kepada Wartawan Manjit Kaur dan Star Publications (M) Bhd.

Jumaat, Mac 27, 2009

Boria Kepala Batas di Majlis Jamuan Jasamu Dikenang



Kumpulan Boria Kepala Batas dibawah pimpinan Shamsudin Othman telah membuat persembahan di Majlis jamuan Jasamu Dikenang sebagai mengenang jasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama memegang tampuk presiden Umno sejak tahun 2003.

Majlis itu yang menggantikan majlis jamuan presiden yang lazimnya diadakan pada setaip Perhimpunan Agung Umno, dimulakan dengan persembahan nyanyian kumpulan Swarasa yang diiringi Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah.

Timbalan Perdana Menteri dan presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib serta kira-kira 2,000 perwakilan dan jemputan hadir pada majlis itu.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.Semasa hadirin menjamu selera, majlis diserikan dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar lama Abdullah sejak mula berkhidmat dengan kerajaan dan Umno dengan berlatarbelakangkan lagu "Masihkah Kau Ingat" karya kumpulan Kopratasa.

Penyanyi terkenal Ramli Sarip turut menyampaikan lagu puisi bertajuk "Ku Cari Damai Abadi' yang mengembalikan nostalgia Perdana Menteri yang membacakannya semasa beliau mulamula menjadi presiden parti dan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno.

Rangkap Karangan Boria
Oleh: Omar M. Hashim (OMARA)

PAK LAH DIKENANG SELAMA

1. Perdana Menteri, Malaysia ke lima
Datuk Sri Abdullah, diberinama
Jasanya tetap, dikenang selama
Boria Kepala Batas, tetap bersama

2. Sembilan belas, tiga puluh sembilan
Lahir di Pulau Pinang, penghujung bulan
Anak Ahmad Badawi, dan Datuk Kailan
Keluarga ulamak, terkenal handalan

3. Sertai UMNO, tahun enampuluh empat
Bidang politik, mengambil tempat
Bintang Pak Lah, bersinar cepat
Pelbagai jawatan, semuanya dapat

4. Tahun enampuluh lima, berumah tangga
Direstui oleh, kaum dan keluarga
Umur duapuluh enam, mudalah juga
Makan dan minum, semua terjaga

5. Tahun duaribu tiga, tibalah hari
Dinobat seluruh, pelusuk negeri
Dilantik menjadi, perdana menteri
Memberi sumbangan, Islam Hadari

6. Dunia politik, bukannya mudah
Bagai tanah, tinggi dan rendah
Harus ditempuh, tetap diredah
Namun Pak Lah, tak pernah gundah

7. Bukan senang, tadbir negara
Ibarat kapten, sebuah bahtera
Ada sedih, ada gembira
Sebarang masalah, dipintas segera

8. Begitulah hidup, susah dan senang
Pemergian isterinya, tetap dikenang
Duaribu tujuh, akhirnya tercanang
Datin Sri Jeanne, Pak Lah meminang

9. Nama Pak Lah, tetap dijulang
Jasa dan bakti, tidak terbilang
Majulah Malaysia, terus cemerlang
Di seluruh dunia, megah gemilang

10. Persembahan boria, berakhir kini
Budaya warisan, indahnya seni
Rangkap karangan, hiasan murni
Boria Kepala Batas, sampai di sini

Isnin, Mac 23, 2009

Sekitar Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria







Terima kasih Razman Rahman, anak kepada Allahyarham Rahman Hamid, seorang penerbit Pesta Dendang Rakyat RTM Pulau Pinang dan juga seorang penggiat boria di Pulau Pinang. Razman yang sempat merakamkan gambar-gambar sempena pelancaran Blog Warisan Boria yang telah berlangsung di Auditorium P. Ramlee Pulau Pinang pada 18 Mac baru-baru ini telah menghadiahkan banyak gambar-gambar yang diambilnya di majlis tersebut. Saya temui Razman pagi 23 Mac 2009, di rumahnya Kampung Dodol, Pulau Pinang. Razman seorang jurugambar dan jurukamera video yang berpengalaman di Pulau Pinang.

Gambar 1 - Sketsa Boria oleh Pelawak Chik, Omara, Bakar Panjang dan Chop Pak Kojek.

Gambar 2 - Persembahan Boria Asli oleh Kumpulan Boria Autentik Pulau Pinang Pimpinan Omara.

Gambar 3 - Omar M. Hashim (Omara) sedang berucap.

Gambar 4 - Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia sedang mengklik komputer sebagai gimik pelancaran disaksikan oleh Encik Amilizan, Puan Fariza (Pen. Pengarah JKKN Ng. Pulau Pinang), Omara dan Pn. Zaini Man.

Gambar 5 - Encik Siri Neng Buah sedang menyampaikan ucapan perasmian.

Foto-Foto Oleh: Razman Rahman

Ahad, Mac 22, 2009

Realiti Persembahan Boria Asli Di Jelutong


































Realiti sebuah persembahan boria yang diadakan di Jelutong, Pulau Pinang baru-baru ini. Gambar-gambar di belakang pentas dan semasa di pentas persembahan. Ini ialah Kumpulan Boria Asli Pulau Pinang dibawah pimpinan Omara. Antara yang terlibat, Penyanyi RockyDin, Jibran Khalil, Chop (Pak Kojek), Omara, Mustaffa, Wahab BM, Bakar Panjang dan ramai lagi.

Jumaat, Mac 20, 2009

Berita Pelancaran Blog Warisan Boria Dalam SINAR HARIAN 20 Mac 2009




Terima kasih kepada Akhbar SINAR HARIAN (suara cakna komuniti anda) edisi UTARA terbitan Jumaat 20 Mac 2009 kerana telah menyiarkan dua buah berita/tulisan - 1. BORIA PUPUS IBARAT DINOSAUR 2. MARTABAT SEMULA SENI BUDAYA PULAU PINANG - BLOG WARISAN DILANCAR. Kedua-dua lapuran ini olah Skuad Cakna - Siti Nadiah.

Semoha SINAR akan terus membantu kami memartabatkan kesenian warisan Pulau Mutiara ini supaya kembali segar bukan sahaja di Utara, malah ke Seluruh Negara dan Seluruh Dunia.

- Omar Hashim (Penyusun Blog Warisan Boria)

Khamis, Mac 19, 2009

Dengan Rasminya Blog Warisan Boria DiSempurnakan



Alhamdullilah! Bersyukur saya kepada Allah kerana Majlis Pelancaran Blog Warisan Boria telah dilancarkan dengan sempurnanya Oleh Encik Siri Neng Buah, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia pada jam 4.00 petang bertempat di Auditorium P. Ramlee Kompleks Pustaka Warisan Seni, Pulau Pinang.

Terima kasih kepada Angkatan Budaya Sari, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang, Pengarah Seni Budaya dan Warisan, Jabatan Warisan Negara, Wartawan-wartawan media, Rakan-rakan/penggiat seni, krew/pembantu, Kumpulan Boria Asli, Pulau Pinang dan semua yang terlibat menjayakannya.

Tanpa sokongan Anda semua, majlis tersebut tak mungkin dapat dijayakan. Jika ada sebarang kelemahan dalam menyusun dan menguruskannya, saya mohon berbanyak-banyak maaf.

Oleh kerana saya sendiri terlibat sepenuhnya dalam acara ini, maafkan saya kerana tidak dapat disiarkan lagi gambar-gambar semasa upacara tersebut untuk tatapan pelayar blog Warisan Boria sekelian. InsyaAllah saya akan dapatkan dari rakan-rakan jurugambar selepas ini.

Isnin, Mac 16, 2009

Kajiselidik - Boria Tidak Dikenali Kerana Kurang Promosi



Seorang pelajar IPT lefa ridza dalam kajiannya melalui borang kajiselidik mengenai seni warisan boria yang diberikan kepada 80 orang di Pulau Pinang, memberitahu saya jawapan yang diperolehinya adalah seperti berikut -

1. Ramai mengetahui boria dari saudara dan rakan.

2. Ramai yang tidak tahu sejarah boria.

3. Menyaksikan boria 2 hingga 3 kali.

4. Hanya sedikit yang pernah melibatkan diri dalam boria.

5. Nyanyian dan tarian lebih disukai dalam persembahan boria.

6. Ramai yang tertarik dengan rangkap karangan dan mesej.

7. Ramai yang bersetuju, prop payung banyak digunakan dalam boria.

8. Ramai yang mengatakan tukang karang memainkan peranan penting dalam boria.

9. Ramai yang bersetuju boria tradisional perlu dipertahankan.

10. Boria tidak dikenali kerana kurang promosi.

11. Pertandingan boria perlu diadakan setiap tahun.

12. Pertandingan boria perlu diadakan disetiap institusi dan sekolah.

13. Ramai mencadangkan dibina sebuah galeri boria.

"Saya juga mempunyai cadangan pada Pak Omar supaya membina sebuah galeri Boria untuk orang ramai…agar warisan boria ni dapat dipelihara… melalui survey yang saya lakukan…peratus orang ramai menginginkan sebuah galeri boria amat tinggi… Kerjasama dan jasa baik Pak Omar amatlah saya hargai…terima kasih diatas bantuan Pak Omar…"

- Iefa ridza

Ahad, Mac 15, 2009

Sailor Boria Budayasari Terus Menempuh Cabaran


Sailor atau kelasi Kumpulan Boria Angkatan Budayasari Pulau Pinang.
Kumpulan Boria dibawah pimpinan Zaini Man dan Rohaya
Ayub ini memang tidak asing lagi di Pulau Pinang. Kini hanya tinggal beberapa kumpulan boria sahaja lagi di Pulau Mutiara ini yang masih aktif. Kumpulan Budayasari terus bertarung untuk hidup walaupun terdapat beberapa kumpulan boria lain yang telah menyepi. Sailor-sailor muda ini masih lagi yakin untuk meneruskan bakat dan kebolehan di arena seni warisan boria ini.

Baru-baru ini boria telah dipilih sebagai Warisan Kesenian dan Kebudayaan 2009 disamping 16 lagi kesenian-kesenian warisan yang lain. Sekarang ini undangan persembahan boria tidaklah lagi sesegar dahulu. Banyak majlis-majlis yang lebih suka mengundang kumpulan muzik atau karaoke sahaja.

Teruskan! kepada sailor/kelasi semua, jangan putus asa. Blog Warisan Boria akan terus bersama anda.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...