Kumpulan Boria Kepala Batas dibawah pimpinan Shamsudin Othman telah membuat persembahan di Majlis jamuan Jasamu Dikenang sebagai mengenang jasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama memegang tampuk presiden Umno sejak tahun 2003.
Majlis itu yang menggantikan majlis jamuan presiden yang lazimnya diadakan pada setaip Perhimpunan Agung Umno, dimulakan dengan persembahan nyanyian kumpulan Swarasa yang diiringi Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah.
Timbalan Perdana Menteri dan presiden Umno yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib serta kira-kira 2,000 perwakilan dan jemputan hadir pada majlis itu.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Jeanne Abdullah dan isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.Semasa hadirin menjamu selera, majlis diserikan dengan tayangan video yang memaparkan gambar-gambar lama Abdullah sejak mula berkhidmat dengan kerajaan dan Umno dengan berlatarbelakangkan lagu "Masihkah Kau Ingat" karya kumpulan Kopratasa.
Penyanyi terkenal Ramli Sarip turut menyampaikan lagu puisi bertajuk "Ku Cari Damai Abadi' yang mengembalikan nostalgia Perdana Menteri yang membacakannya semasa beliau mulamula menjadi presiden parti dan Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Umno.
Rangkap Karangan Boria
Oleh: Omar M. Hashim (OMARA)
PAK LAH DIKENANG SELAMA
1. Perdana Menteri, Malaysia ke lima
Datuk Sri Abdullah, diberinama
Jasanya tetap, dikenang selama
Boria Kepala Batas, tetap bersama
2. Sembilan belas, tiga puluh sembilan
Lahir di Pulau Pinang, penghujung bulan
Anak Ahmad Badawi, dan Datuk Kailan
Keluarga ulamak, terkenal handalan
3. Sertai UMNO, tahun enampuluh empat
Bidang politik, mengambil tempat
Bintang Pak Lah, bersinar cepat
Pelbagai jawatan, semuanya dapat
4. Tahun enampuluh lima, berumah tangga
Direstui oleh, kaum dan keluarga
Umur duapuluh enam, mudalah juga
Makan dan minum, semua terjaga
5. Tahun duaribu tiga, tibalah hari
Dinobat seluruh, pelusuk negeri
Dilantik menjadi, perdana menteri
Memberi sumbangan, Islam Hadari
6. Dunia politik, bukannya mudah
Bagai tanah, tinggi dan rendah
Harus ditempuh, tetap diredah
Namun Pak Lah, tak pernah gundah
7. Bukan senang, tadbir negara
Ibarat kapten, sebuah bahtera
Ada sedih, ada gembira
Sebarang masalah, dipintas segera
8. Begitulah hidup, susah dan senang
Pemergian isterinya, tetap dikenang
Duaribu tujuh, akhirnya tercanang
Datin Sri Jeanne, Pak Lah meminang
9. Nama Pak Lah, tetap dijulang
Jasa dan bakti, tidak terbilang
Majulah Malaysia, terus cemerlang
Di seluruh dunia, megah gemilang
10. Persembahan boria, berakhir kini
Budaya warisan, indahnya seni
Rangkap karangan, hiasan murni
Boria Kepala Batas, sampai di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan