Boria Zaman Dahulu

Sabtu, Jun 27, 2009

Aktiviti Boria Dalam Akhbar SINAR HARIAN 27 Jun 2009


Warisan Boria ucapkan terima kasih kepada Akhbar SINAR HARIAN dan Skuad Cakna Siti Nadiah kerana telah melapurkan Program Bicara Eksekutif Budaya "PERKEMBANGAN BORIA PULAU PINANG; KETOKOHAN ABU BAKAR JAAFAR DAN ABDULLAH DARUS" yang diadakan di Naza Hotel Pulau Pinang pada 24hb. Mei 2009 lepas.

Majlis anjuran Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang ini telah dirasmikan oleh Cik Mariam Sulaiman, Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Pengarah Arkib Negara Cawangan Pulau Pinang Encik Nasir Malim dan Timbalan Pengarah JKKNNPP Encik Tuah.


Ahli-ahli panel yang terdiri dari Omar Abdullah, Kamaruddin Haniffa, Omar M. Hashim (OMARA) dan Syed Akir telah membincangkan mengenai perkembangan boria masakini dan ketokohan Abu Bakar Jaafar (Pak Kan) dan Abdullah Darus (Pak Lah). Sebuah persembahan boria khas dari Kumpulan Boria Warisan Jemari Pulau Pinang yang menggabungkan dewasa dan kanak-kanak telah menarik perhatian para jemputan.

Jumaat, Jun 26, 2009

Di Belakang Tabir Persembahan Boria






Sesekali mungkin anda juga ingin lihat telatah ahli-ahli boria semasa berada di belakang pentas dan mendengar sedikit cerita pahit-maung yang kami lalui sebelum persembahan. Saya ada juga merakamkan beberapa gambar semasa kami berada di belakang pentas.

Ahli-ahli kumpulan boria biasanya sering datang awal ke sesuatu tempat persembahan, maklumlah banyak persiapan yang harus dilakukan termasuk penyediaan pakaian dan solek. Contohnya untuk persembahan yang akan bermula jam 8.30 malam, ada yang dah sampai seawal jam 3.00 petang. Bukan senang nak kumpulkan ahli-ahli yang ramai seperti ini, jika kita tidak jaga masa, mungkin akan menjadi masalah ketika persembahan kelak.

Kami pernah mengalami detik kecemasan semasa ke Kuala Lumpur buat persembahan di PWTC bulan Mac lalu. Kami bertolak dengan keretapi malam dari Butterworth dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur jam 4.30 pagi. Ditakdirkan hujan lebat selepas Taiping menyebabkan pokok tumbang atas landasan. Keretapi terpaksa undur ke belakang hingga sampai ke Stesyen Keretapi Taiping dan menunggu di situ hingga pukul 5.00 pagi. Selepas kerja-kerja pembersihan oleh pihak KTM, keretapi tersebut baru bertolak semula ke Kuala Lumpur dan sampai jam 10.00 pagi. Persembahan jam 2.00 petang. Kami terpaksa bergegas ke tempat persembahan dengan teksi dan lakukan persiapan dengan tergesa-gesa. Tapi Alhamdullilah semuanya berjalan mengikut jadual.

Begitu juga dengan tukang karang. Biasanya kami sediakan seorang tukang karang dan sailor 'standby' untuk sesuatu persembahan. Ada kalanya pernah terjadi tukang karang yang utama ada hal mustahak tak dapat dielakkan dan terpaksa meninggalkan tempat persembahan, ketika ini tukang karang pengganti akan mengambil tempatnya dan persembahan dapat dijalankan tanpa sebarang masalah.

Terdapat pula penganjur yang tidak sediakan bilik persalinan menyebabkan kami terpaksa gunakan tandas sebagai pengantinya. Walau apapun yang terjadi, persembahan yang baik harus kami utamakan.

Rabu, Jun 24, 2009

Ibu Penggiat Boria Murshidee Meninggal Dunia

Dimaklumkan ibu kepada penggiat boria cikgu Murshidee B. Hj Md Ramli, Kumpulan Boria SMKPTJ (Sekolah Model Khas Permatang Tok Jaya) Seberang Perai, Pulau Pinang telah kembali keRahmatullah 12.15 pagi tadi. Jenazah berada di rumahnya di Pekan Tasik Gelugor, Seberang Perai dan Allahyarhamah (Puan Maimunah) akan dikebumikan pada waktu Zohor ini. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarhamah semoga Allah cucuri Rahmat ke atas ruhnya.

Selasa, Jun 23, 2009

Kumpulan Boria Kanak-Kanak Di Bandar Perda Seberang Perai



Dalam usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan seni warisan boria di Pulau Pinang, baru-baru ini saya dan Mustaffa Ishak telah mengumpulkan lebih 25 orang kanak-kanak dari Blok Q, Pangsapuri Permata Bandar Perda, Seberang Perai untuk ditubuhkan dua buah kumpulan boria. Pertama saya ingin tubuhkan Kumpulan Boria Asli Kanak-Kanak (terdiri dari lelaki kesemuanya). Kedua pula Kumpulan Boria Moden Kanak-Kanak (lelaki dan perempuan).

Kami cuba memilih empat orang yang boleh menyanyi dengan baik untuk dijadikan tukang karang boria kumpulan ini nanti. Saya juga telah meminta bantuan pemuzik Zulkifli Omar untuk menguji bakat mereka. Tujuan kami, selain dari mendekatkan kanak-kanak ini dengan seni budaya warisan kita, diharap nanti mereka juga akan membesar dengan semangat cintakan seni, bangsa dan negara dan menjauhi budaya lepak, gejala sosial, samseng jalanan dan sebagainya.

Saya masih lagi mencari beberapa orang kanak-kanak yang boleh berlakon sketsa boria dan menyanyi sebagai tukang karang di daerah Seberang Perai ini. Jika ada yang ingin menyertai sila hubungi saya - Omara di talian : 013-4220091 secepat mungkin. Terima kasih.

Ahad, Jun 21, 2009

Boria Tak Betul Di Tv1 RTM Pagi Ini 21 Jun 2009





Nasib boria dicemar lagi. Jam 8.15 pagi tadi saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari pelawak/pelakon sketsa boria Chik beritahu sebuah persembahan boria sedang ditayangkan di TV1. Menurut Chik, boria tersebut tidak ada sketsa dipermulaannya dan rangkap karangannya pula tidak mengikut rangkap peraturan yang betul. Saya buka Tv1, masuk pula panggilan telefon dari Shamsudin Othman penggiat boria dan pemimpin Kumpulan Boria Kepala Batas Seberang Perai memberitahu saya perkara yang sama. Memang apa yang saya saksikan dan dengar dari nyanyian tukang karang dan sailor tersebut tidak mengikut peraturan boria yang sebenarnya. Rangkap karangan bukan begitu. Sepatutnya di Pulau Pinang ada Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang, pihak-pihak yang berkenaan haruslah dahulu merujuk kepada Jabatan untuk memastikan persembahan boria yang sebenarnya dapat diadakan.

Beginilah nasib kesenian warisan boria yang kini telah dinobatkan sebagai Kesenian Warisan Kebangsaan Malaysia. Kami penggiat-penggiat boria di Pulau Pinang sedang berusaha bertungkus lumus untuk memastikan kesenian ini dapat diangkat ke Kesenian Warisan Dunia oleh UNESCO tapi malangnya hingga ke hari ini boria jadi 'pi mai pi mai tang tu'. Sapa pun tak perduli.

Saya dah maklumkan kepada Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Pulau Pinang Cik Mariam Sulaiman dan juga kepada beberapa orang penggiat boria lain.

Siaran: TV1 (RTM) Hujung Minggu Malaysia
Waktu: 8.00 pagi
Tarikh: 21 Jun 2009
Persembahan Oleh: Kumpulan Boria SK Taman Dato Harun 1, Petaling Jaya.

Gambar: Penggiat Boria - Omara, Shamsuddin dan Chik

Oleh: Omar M. Hashim (OMARA) (Penggiat Boria Pulau Pinang)

Jumaat, Jun 19, 2009

Pelakon Sketsa Boria Di Anak Mamak Menantu Mami




Telemovie Anak Mamak Menantu Mami (AMMM) yang pengambarannya dibuat di Bayan Baru serta beberapa lokasi di Pulau Mutiara, baru-baru ini turut dilakonkan oleh beberapa orang ahli boria Pulau Pinang. Antaranya ialah Sharifah Juairiah, Razali Ridzuan, Tok Mo, Lanun dan Haizal. Sekurang-kurangnya pelakon sketsa boria di Pulau Mutiara ini tidak dilupakan dan telah diketengahkan. Pelakon sketsa boria yang tidak asing lagi seperti Piee, Maidin, Chik, Pak Man Telo dan beberapa orang lagi telah pun berjaya ke layar filem. Diharapkan ramai lagi yang dipilih oleh penerbit-penerbit drama dan filem di masa akan datang.

Terima kasih kepada Wan Raja atau Saiful Ridzuan Abu Bakar (penulis skripnya) dan pengarahnya Zulkiflee Salleh Ghani yang telah berjaya mengenengahkan pelbagai aksi lucu dan menarik dalam telemovie yang akan ditayangkan nanti.

Gambar dipetik dari Harian Metro Khamis 18 Jun 2009 tulisan Rudy Syareme

Ahad, Jun 14, 2009

Boria Di Bintang Klasik Zon Utara 2009 Meriah






Perrsembahan dua buah boria dalam pembukaan dan penutup Pertandingan Bintang Klasik Zon Utara 2009 merupakan satu kelainan kepada pertandingan anjuran RTM yang diadakan selama ini. Oleh kerana pertandingan kali ini diadakan di Kepala Batas Pulau Pinang, selain dari boria turut dimulakan dengan gimmik nasi kandar asal Pulau Pinang.

Saya (Omar M. Hashim (OMARA) gembira kerana pihak RTM Kawasan Utara memberikan kepercayaan kepada saya menguruskan gimmik nasi kandar dan juga boria tersebut. Saya juga telah diminta menulis rangkap karangan boria yang memperkenalkan peserta-peserta pertandingan itu.

Alhamdullilah.... Kumpulan Boria Budayasari dan Kumpulan Boria Pulau Pinang telah berjaya menarik perhatian penonton pada malam itu disamping sketsa-sketsa boria yang turut dilakonkan oleh Chik, Chop dan Bakar. Tukang Karang pula ialah Roslan Hamid dari Boria Kepala Batas. Lagu boria pula digubah oleh Zulkifli Omar.

Saya sendiri terlibat dalam Kumpulan GALAPAGOS yang terdiri dari Dejay Mutiara FM iaitu YY, Pelawak Chik dan Penyanyi Rockydin dimana kami telah diberi peluang mengacarakan keseluruhan pertandingan kali ini dengan cara santai sambil bermain muzik, menyanyi dan jenaka.

Selamat datang, ke Pulau Pinang

Bintang Klasik, hebat tercanang

Kita saksikan, siapa yang menang

Boria Budayasari, irama dikenang


Tersebut pula, Faizal dan Intan

Dari Pulau Pinang, anak tempatan

Sama bergaya, segak kelihatan

Namun keduanya, tiada kaitan


Dari Perlis, Indera Kayangan

Lelaki wanita, peserta gandingan

Qauyum Zawawi, bersama iringan

Siti Nur Balqis, dilupa jangan


Muhaimin Azzahan, peserta Kedah

Dengan Syaifaana, dipilih sudah

Tidak tinggi, tidak pun rendah

Riang ceria, tidaklah gundah


Ahmad Fitry, Farridatul Akma

Peserta Langkawi, tiba bersama

Jamal Abdilah dan lagu Saloma

Pilihan mereka, nyanyian utama


Fitri Hakim, dengan Noor Shadira

Peserta Perak, ke Zon Utara

Sama senyum, tentu gembira

Di Kepala Batas, alunkan suara


Klasik Nasional, nama diberi

Segalanya di sini, menggamit memori

Persembahan boria, kami akhiri

Boria Budayasari, mengundur diri.

Rabu, Jun 10, 2009

BERITA TERKINI

Dimaklumkan, pelakon sketsa boria Kumpulan Boria Hospital Pulau Pinang, Rahman Madar telah kembali keRahmatullah pada 9hb. Jun 2009 dan akan dikebumikan hari ini 10hb. Jun 2009. Saya tidak mendapat maklumat yang lengkap. Warisan Boria ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas ruhnya. Amin.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...