


Persembahan pertama oleh Kumpulan Boria Asli Pulau Pinang di bawah pimpinan Omar M. Hashim. Tukang karang Lan (LNJ Raja Lawak) kisah bertajuk ‘Boria Asli’. Kumpulan ke dua terdiri dari Kumpulan Boria Kepala Batas, Seberang Perai pimpinan Shamsuddin Othman. Tukang karang Roslan Hamid dengan tajuk ‘Gejala Sosial’. ‘Martabatkan Bahasa’ pula ialah tajuk persembahan Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang dengan tukang karangnya Wan Kamarulzaman Mohd. Saidi. Kumpulan ini dibawah pimpinan Rohaya Ayub. Akhir sekali ialah persembahan Kumpulan Warisan Jemari dibawah pengurusan Mustaffa Abu Bakar dan jurulatih Wan Kamarulzaman. Kumpulan boria yang terdiri dari 20 orang kanak-kanak ini tukang karangnya ialah Amir Zahir Anis Sobri.
Sepanjang persembahan penonton turut dihiburkan dengan telatah sketsa boria yang merupakan bahagian wajib bagi sesebuah persembahan boria itu. Antara pelakon-pelakon sketsa ialah Abu Bakar Kassim, Yusof M. Hashim, Lan (LNJ Rajalawak), Omara, Chik, Shamsuddin Othman, Lee KA, Lat, Maulud, Puteri dan lain-lain lagi.
Cik Mariam Sulaiman, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang turut menonton bersama-sama dengan Penggiat Boria yang tidak asing lagi Abdullah Darus atau pun lebih dikenali dengan panggilan Pak Lah. Sepanjang persembahan acara berjalan dengan sempurna walaupun terdapat sedikit hujan pada sebelum persembahan.
Persembahan boria seperti ini jarang-jarang sekali diadakan dimana empat kumpulan menunjukkan persembahan masing-masing di dalam satu acara. Diharapkan usaha seperti ini dapat diteruskan untuk menggalakkan lebih banyak kumpulan-kumpulan boria yang dapat menyertainya. Boria boleh hidup kembali di Pulau Pinang sekiranya peluang-peluang seperti ini diteruskan.
Bagi saya, janganlah dianggap persembahan seperti ini sebagai perbandingan buruk baiknya sesuatu persembahan. Ini bukannya pertandingan. Asalkan keaslian boria terpelihara semasa persembahan, sepatutnya ianya dapat diterima oleh penggiat-penggiat dan peminat boria semua.
Kumpulan boria SK Pekan Satu Wilayah Persekutuan Labuan akan turut serta mewakili Labuan dalam Karnival Pencegahan Dadah pada 8 Jun di Kedah. Menurut Cikgu Zaliha Salleh yang menguruskan pasukan boria sekolahnya, sekolah mereka telah berjaya 6 kali berturut-turut menjuarai Karnival Pencegahan Dadah peringkat negeri Labuan dan pernah memenangi naib johan di Pahang tidak lama dulu.
"Kami masih kekurangan ilmu untuk mencipta semua itu. Kami sering menjadikan pasukan boria Pulau Pinang sebagai contoh kami. Tetapi kami mahu sekolah kami juga ada identiti sendiri." kata Cikgu Zaliha.Gambar-gambar kiriman Cikgu Zaliha Salleh.