Boria Zaman Dahulu

Ahad, Ogos 30, 2009

31 Ogos 2009 Boria Merdeka Jam 9.30 Pagi Di Radio Klasik Nasional


Esok hari kebangsaan 31 Ogos 2009 jam 9.30 pagi ada persembahan boria di Radio Malaysia Klasik Nasional. Rancangan Dendang Rakyat yang diterbitkan oleh Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar ini akan mengutarakan kisah Kemerdekaan dengan sketsa dan lagu boria.

Tukang karang boria oleh RockyDin, Rangkap Karangan oleh Omar M. Hashim (Omara), Lagu oleh Mat Din, Sketsa oleh Chik, Chop dan Omara.

Rabu, Ogos 19, 2009

Piee Tinggalkan Boria, Kenangan Watak Sketsanya Masih Terasa


Kehilangan Piee dalam boria memang amat dirasakan. Bukan hilang ke mana, tapi dia tidak main boria lagi sekarang ini. Mungkin pendapatan di bidang lawak jenaka dan lakonan sekarang lebih tinggi berkali ganda maka membuatkan Piee tidak kembali kepada boria lagi. Saya (semasa remaja) adalah peminatnya yang setia. Apabila Radio Malaysia Pulau Pinang menyiarkan rancangan 'boria' pada penghujung tahun 60an dan awal 70an, saya tidak pernah melepaskan peluang mengikutinya. Persembahan Piee di pentas-pentas boria juga saya ikuti, ketika itu Boria Sungai Pinang memanglah tidak asing lagi di utara.

Ya, memang benar, kalau nak difikirkan mengenai pendapatan dari permainan boria memanglah sedikit. Hampir 20 orang terlibat dalam satu-satu persembahan boria, bayarannya memanglah tidak setimpal. Jika jadi artis macam sekarang, senang-senang mereka dapat bayaran yang lumayan. Cuba kita kirakan, kalau main boria katakanlah Piee dibayar RM100 untuk satu sketsa, tapi berlawak di pentas dia dapat antara RM3,000 hingga RM5,000. Kecuali mereka yang sayangkan boria saja akan tetap bersama dengan boria walaupun "tolak pi tolak mai... apa pun tarakkkk...." Sekali dapat RM100, makan, minum, pengangkutan dan pergi/balik latihan habis begitu saja.... Kalau tak percaya kiralah sendiri....

Siapa perduli dengan nasib orang boria. Kalau nak jadikan boria sebagai pendapatan... maaflah... tak mungkin. Kita kena kaya dulu, baru main boria... Kita hanya disuruh martabatkan boria, tapi nak makan martabak pun susah....

Piee atau Shafiee Jaafar, 76, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Piee akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an.

Boria adalah karangan, kata Piee. Kekuatan persembahan boria, menurutnya, bukan terletak pada nyanyian tapi lawak ataupun sketsa yang dipersembahkan oleh pelakon sebelum persembahan tukang karang dan sailor. “Lakonan yang ditonjolkan pelakon merupakan intipati kepada persembahan selepas itu.

Selalunya Pak Piee dan Pak Daud, pemimpin Boria Sungai Pinang, akan buat jenaka tentang isu-isu semasa. Bukan jenaka kosong tapi penuh dengan sindiran,’’ katanya ketika ditemui di lokasi filem Nana Tanjung di Shah Alam baru-baru ini. Piee, yang lebih senang membahasakan dirinya Pak Piee, mula menyertai pasukan boria Sungai Pinang pada tahun 1961 setelah berhijrah ke Tanjung, Pulau Pinang. Sebelum menyertai kumpulan boria, Piee lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Bagaimanapun, jodoh Piee dengan kumpulan boria Sungai Pinang tidak berpanjangan kerana masuk sahaja tahun kelapan Pertandingan Dendang Rakyat, dia mengambil keputusan untuk berundur diri. Piee berazam tidak akan bermain boria lagi.

“Masa Pak Piee bersama Boria Sungai Pinang, kumpulan lain ada yang tidak mahu masuk bertanding sebab tahu asyik pasukan kami saja menang. Waktu itu terdapat kira-kira 32 buah kumpulan boria di Pulau Pinang.

“Memang Pak Piee suka boria tapi disebabkan ada orang tertentu yang nak tunjuk pandai dalam kumpulan itu, terus Pak Piee give up. Masa malam pertandingan lagi, Pak Piee cakap pada Pak Daud, menang atau kalau aku tetap nak keluar dan tidak akan main boria lagi,’’ luahnya.

Pak Piee yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Namun pelawaan itu ditolak dengan baik kerana bagi Pie lawak yang dipersembahkan selama ini bukan boleh dipelajari di mana-mana sekolah. Jelasnya, untuk berlawak seseorang perlu ada bakat dan kebolehan semula jadi. Kata Pie, jenaka yang dipersembahkan tidak boleh dirancang kerana semua perkara perlu dilakukan secara spontan dan yang penting setiap jenaka yang dibuat perlu ada landasan. “Mungkin disebabkan sudah lama berpasangan dengan Pak Daud dan Aman Tok Koya, jadi setiap kata-katanya Pak Piee boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Piee mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963. Kami sudah tahu apa yang nak dikatakan.

“Memanglah orang suka lawak Pak Piee yang loyar buruk ini tapi dalam kehidupan seharian mana boleh loyar buruk nanti kena ketuk teruk,’’ katanya sambil berseloroh. Datuk kepada 12 cucu dan seorang cicit itu tidak menggalakkan anak-anaknya mengikut jejaknya menjadi pelawak ataupun pelakon.

Setelah menghilangkan diri begitu lama dalam sketsa boria peminat-peminatnya dapat melihat kemunculannya berjenaka dalam sebuah sketsa boria dengan pelawak Imuda dalam salah satu majlis menerusi siaran langsung TV1 RTM tidak lama dulu.

Ahad, Ogos 16, 2009

Ada Yang Hina Boria Dalam Ucapan Dan Tulisan

Terima kasih kepada orang-orang politik yang sering sebut mengenai 'boria' dalam ucapan-ucapan dan tulisan mereka. Cuma yang tak sedap didengar, apabila mereka hendak bercakap mengenai negeri Pulau Pinang ataupun rakyat Pulau Pinang, ada yang mempersendakan seni warisan boria ini.
Saya tidak berhasrat menamakan siapa dan di mana? Tapi ada antara orang-orang politik ini adalah rakan saya sendiri. Oleh kerana mereka sendiri tidak tahu mengenai boria, ada yang tulis tukang karang boria sebagai 'tukang karut'. Padahal 'tukang karut' sepatutnya ditujukan kepada pemain Dikir Barat dan bukannya boria. Ada yang sebut kononnya pemain boria pakai topeng... Tahun bila yang mereka tengok? Kalau tak tahu tak payah sebutlah....
Maka mereka pun mempermain dan memperlekehkan kesenian boria ini. Habis orang-orang boria dihentam mereka. Kononnya Melayu Pulau Pinang asyik berboria hingga habis tanah tergadai. Melayu Pulau Pinang leka dan lalai dengan boria. Asyik berseronok dengan boria... dan macam-macam lagi dilabelkan kepada 'boria' ini. Sedangkan, boria di Pulau Pinang ni pun dah hampir pupus... (dimana mereka lihat orang boria berkhayal sampai begitu sekali?). Salah besarkah kalau penggiat boria hendak mempertahankan kesenian warisan Pulau Pinang ini. Apa kena mengena main boria setahun sekali hingga tanah kampung mereka tergadai... Kenapa mereka tak sebut tentang hip hop, black metal dan budaya kuning yang lain? Mungkin anak-anak mereka sendiri pun meminati budaya-budaya luar ini....
Kami penggiat boria di Pulau Pinang tidak pernah bermusuh dengan orang politik yang menghina boria ini. Ada antara orang-orang boria juga yang menyokong mereka dan pernah bermain di majlis mereka. Janganlah hina segala seni budaya warisan bangsa. Kalau nak kutuk orang tua-tua yang berdangdut dan berkaraoke hingga lewat malam itu terpulanglah... Kami orang boria tak masuk campur... Kalau nak berucap mengenai politik... cakaplah apa saja mengenai politik, jangan cakap mengenai boria yang mereka sendiri pun tak faham dan tak pernah tengok hanya nak sedapkan syarahan sahaja.... Rangkap karangan boria yang mereka sebut pun tak betul....
Untuk pengetahuan, Boria adalah antara Objek Warisan Tak Ketara (122 butiran warisan) yang telah diistiharkan awal tahun ini oleh Jabatan Warisan Negara.
Gambar: Adik Puteri (walaupun masih kecil) tapi meminati boria. Tongkat tukang karang menjadi kebanggaannya.

Selasa, Ogos 11, 2009

Boria Di Padang Kota, Pulau Pinang 15 Ogos 2009


This Saturday, be mesmerized by the Malay culture of Penang through the local Boria and Malay Traditional Dance at the Penang Esplanade. Witness this show of traditional culture for a delightful 90 minutes and learn the true roots of the Penang Malay culture with its colourful costumes and friendly persona.

The month of August focuses

on the various religion of Penang culture each week. Through these entertaining shows, the world is able to see the uniqueness of each race in Penang living together in peaceful harmony.
Don't miss out on this eye-opening event of the melting pot of

culture and religion in Penang! Bring your friends and family for an entertaining Saturday night of catchy Malay tunes under the bright starry stars!


Selasa, Ogos 04, 2009

DVD Boria Dapat Sambutan



Saya gembira kerana DVD Seni Persembahan BORIA - sebuah dokumentari boria yang informatif diiringi lagu-lagu boria terbitan Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sejak saya mengedar dan menjual DVD ini, ramai guru-guru dan peminat Boria dari seluruh tanahair menghubungi saya membuat pesanan. Harga satu set DVD (2 Disc) ini ialah RM35.00 dan ditambah RM5.00 belanja pos laju. Kepada mereka-mereka yang tinggal di Kawasan Butterworth, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Bandar Perda, Seberang Jaya, Kepala Batas dan George Town, Pulau Pinang saya akan hantarkan sendiri DVD ini.

Dalam DVD ini dapat disaksikan empat buah persembahan boria lama (sebelum merdeka) yang turut dilakonkan oleh pelawak Imuda dan tiga buah persembahan boria zaman ini oleh Kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang. DVD dokumentari pula mengisahkan sejarah awal boria, peraturan dan syarat-syarat persembahan boria yang dibuat pengambarannya di beberapa buah tempat menarik di Pulau Pinang.

Sila hubungi saya: Omar Hashim (OMARA) di talian - 013 4220091 atau email - omara353535@hotmail.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...