Boria Zaman Dahulu

Rabu, Ogos 19, 2009

Piee Tinggalkan Boria, Kenangan Watak Sketsanya Masih Terasa


Kehilangan Piee dalam boria memang amat dirasakan. Bukan hilang ke mana, tapi dia tidak main boria lagi sekarang ini. Mungkin pendapatan di bidang lawak jenaka dan lakonan sekarang lebih tinggi berkali ganda maka membuatkan Piee tidak kembali kepada boria lagi. Saya (semasa remaja) adalah peminatnya yang setia. Apabila Radio Malaysia Pulau Pinang menyiarkan rancangan 'boria' pada penghujung tahun 60an dan awal 70an, saya tidak pernah melepaskan peluang mengikutinya. Persembahan Piee di pentas-pentas boria juga saya ikuti, ketika itu Boria Sungai Pinang memanglah tidak asing lagi di utara.

Ya, memang benar, kalau nak difikirkan mengenai pendapatan dari permainan boria memanglah sedikit. Hampir 20 orang terlibat dalam satu-satu persembahan boria, bayarannya memanglah tidak setimpal. Jika jadi artis macam sekarang, senang-senang mereka dapat bayaran yang lumayan. Cuba kita kirakan, kalau main boria katakanlah Piee dibayar RM100 untuk satu sketsa, tapi berlawak di pentas dia dapat antara RM3,000 hingga RM5,000. Kecuali mereka yang sayangkan boria saja akan tetap bersama dengan boria walaupun "tolak pi tolak mai... apa pun tarakkkk...." Sekali dapat RM100, makan, minum, pengangkutan dan pergi/balik latihan habis begitu saja.... Kalau tak percaya kiralah sendiri....

Siapa perduli dengan nasib orang boria. Kalau nak jadikan boria sebagai pendapatan... maaflah... tak mungkin. Kita kena kaya dulu, baru main boria... Kita hanya disuruh martabatkan boria, tapi nak makan martabak pun susah....

Piee atau Shafiee Jaafar, 76, amat terkenal dengan jenaka loyar buruk. Piee akan menggunakan suku kata yang sama ketika berlawak atau berlakun sketsa boria. Gara-gara loyar buruk itulah, kumpulan Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang yang dianggotai Pie berjaya menjadi juara Pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM selama tujuh tahun berturut-turut pada awal 1980-an.

Boria adalah karangan, kata Piee. Kekuatan persembahan boria, menurutnya, bukan terletak pada nyanyian tapi lawak ataupun sketsa yang dipersembahkan oleh pelakon sebelum persembahan tukang karang dan sailor. “Lakonan yang ditonjolkan pelakon merupakan intipati kepada persembahan selepas itu.

Selalunya Pak Piee dan Pak Daud, pemimpin Boria Sungai Pinang, akan buat jenaka tentang isu-isu semasa. Bukan jenaka kosong tapi penuh dengan sindiran,’’ katanya ketika ditemui di lokasi filem Nana Tanjung di Shah Alam baru-baru ini. Piee, yang lebih senang membahasakan dirinya Pak Piee, mula menyertai pasukan boria Sungai Pinang pada tahun 1961 setelah berhijrah ke Tanjung, Pulau Pinang. Sebelum menyertai kumpulan boria, Piee lebih dikenali sebagai penyanyi dengan pancaragam Gurindam Hiburan Parti, Sungai Petani, Kedah.

Kumpulan tersebut sering mengadakan persembahan pada majlis kenduri kahwin. Antara lagu yang sering didendangkan ialah Di Manakan Ku Cari Ganti kerana lagu itu mempunyai maksud yang mendalam pada dirinya.

Bagaimanapun, jodoh Piee dengan kumpulan boria Sungai Pinang tidak berpanjangan kerana masuk sahaja tahun kelapan Pertandingan Dendang Rakyat, dia mengambil keputusan untuk berundur diri. Piee berazam tidak akan bermain boria lagi.

“Masa Pak Piee bersama Boria Sungai Pinang, kumpulan lain ada yang tidak mahu masuk bertanding sebab tahu asyik pasukan kami saja menang. Waktu itu terdapat kira-kira 32 buah kumpulan boria di Pulau Pinang.

“Memang Pak Piee suka boria tapi disebabkan ada orang tertentu yang nak tunjuk pandai dalam kumpulan itu, terus Pak Piee give up. Masa malam pertandingan lagi, Pak Piee cakap pada Pak Daud, menang atau kalau aku tetap nak keluar dan tidak akan main boria lagi,’’ luahnya.

Pak Piee yang pernah berlakon filem Anak Mami, Mami Jarum, Anak Mami, dan Nana Tanjung berkata, sewaktu zaman kemasyhuran Boria Sungai Pinang, dia pernah diundang oleh sebuah universiti untuk mengajar teknik berlawak.

Namun pelawaan itu ditolak dengan baik kerana bagi Pie lawak yang dipersembahkan selama ini bukan boleh dipelajari di mana-mana sekolah. Jelasnya, untuk berlawak seseorang perlu ada bakat dan kebolehan semula jadi. Kata Pie, jenaka yang dipersembahkan tidak boleh dirancang kerana semua perkara perlu dilakukan secara spontan dan yang penting setiap jenaka yang dibuat perlu ada landasan. “Mungkin disebabkan sudah lama berpasangan dengan Pak Daud dan Aman Tok Koya, jadi setiap kata-katanya Pak Piee boleh balas secara spontan. Begitu juga bila bergandingan dengan Pak Maidin. Pak Piee mula kenal dengan Pak Maidin pada tahun 1963. Kami sudah tahu apa yang nak dikatakan.

“Memanglah orang suka lawak Pak Piee yang loyar buruk ini tapi dalam kehidupan seharian mana boleh loyar buruk nanti kena ketuk teruk,’’ katanya sambil berseloroh. Datuk kepada 12 cucu dan seorang cicit itu tidak menggalakkan anak-anaknya mengikut jejaknya menjadi pelawak ataupun pelakon.

Setelah menghilangkan diri begitu lama dalam sketsa boria peminat-peminatnya dapat melihat kemunculannya berjenaka dalam sebuah sketsa boria dengan pelawak Imuda dalam salah satu majlis menerusi siaran langsung TV1 RTM tidak lama dulu.

1 ulasan:

Pyanhabib berkata...

salam bang,
selamat meraikan ramadan
(blog abang (omara) susah dimasuki. saya syak ada virus)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...