Boria Zaman Dahulu

Rabu, Disember 16, 2009

Hanya 5 Kumpulan Bertanding di Pesta Pulau Pinang 2009




Setelah dua tahun tidak diadakan Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang, kini Dewan Terbuka Tapak Pesta menyaksikan kembali pertandingan yang menghimpunkan ahli dan penggiat boria. Namun sudah tidak semeriah dulu. Jika dulu pernah diadakan beberapa malam, kini hanya berlangsung dari jam 9.00 malam dan berakhir kira-kira jam 11.00 malam. Hanya lima kumpulan yang bertanding. Mungkin kurang publisiti atau pertandingan ini telah dibuat agak tergesa-gesa. Perubahan tarikh yang telah dicanangkan lebih awal iaitu 7, 8 dan 9 Disember juga mungkin penyebabnya. Tiba-tiba pertandingan itu ditukarkan ke tarikh 10 Disember. Ramai penonton yang bersungut kerana tidak dapat membuat perancangan awal untuk menyaksikannya.

Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Y.B Tuan Haji Abdul Malik Kassim. Para pengadil pula terdiri dari Penggiat Boria Omar Hashim (Omara), Orang lama boria Noordin Marikan, Ketua Orkestra P. Ramlee, Pak Wan dan Kamaruddin Haniffa penerbit boria di RTM.

Di akhir pertandingan, Kumpulan Boria Kombinasi telah memenangi tempat pertama. Kedua - Kumpulan Boria Kepala Batas dan ketiga Kumpulan Boria Perpustakaan Ng. Pulau Pinang. Beberapa kategori terbaik dan potensi juga telah dinobatkan.

Selasa, Disember 15, 2009

Pertandingan Boria FEStKUM di DECTAR UKM Bangi



Pertandingan Boria FEStKUM anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) telah berlangsung dengan jayanya di DECTAR UKM Bangi pada 11 dan 12 Disember baru-baru ini. Selama dua malam, kumpulan yang bertanding ialah dari UM, UMK, UKM, UPSI, UNIMAP, USIM, UTM, UUM, USM, UPM dan UITM.

Buat sementara Warisan Boria tidak sempat hendak menyiarkan keseluruhan berita dan artikel mengenainya. Mungkin dalam beberapa hari akan datang Warisan Boria akan memasukkan lagi gambar-gambar dan artikel mengenainya. Sebagai salah seorang juri pertandingan ini saya (Omara) juga akan memberikan sedikit ulasan pengadilan untuk membantu penghasilan boria yang bermutu di masa hadapan.

Untuk mendapatkan komen dan catatan dari salah seorang juri pertandingan ini Murshidee Ramli sila lihat link blognya di http://boriapulaupinang.blogspot.com


Khamis, Disember 10, 2009

Pelancaran Buku Syair Boria. Biografi Abdullah Darus


"Terima Kad Undangan dari Omar Abdullah ke Seminar Warisan Tokoh Boria Abdullah Darus dan Pelancaran Buku Syair Boria. Biografi Abdullah Darus. Anjuran Persatuan Karyawan Pulau Pinang dan Jabatan Warisan Negara, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan dan Kesenian.

Majlis Bertempat di Dewan Kuliah A, Universiti Sains Malaysia jam 8.30 pagi pada 12 Disember 2009.

Terima kasih juga kepada Abdullah Darus (Pak Lah) yang turut menalifon sendiri kepada saya memberitahu mengenai majlis tersebut. Saya tak dapat bersama kerana berada di DECTAR, UKM Bangi menjadi juri Pertandingan Boria Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2009 (FEStKUM) yang berlangsung pada 11 dan 12 Disember 2009 ini."

- Omar M. Hashim (OMARA) Warisan Boria

Rabu, Disember 09, 2009

Pertandingan Boria Sempena Pesta P. Pinang 10 Disember


Pertandingan Boria sempena Pesta Pulau Pinang akan diadakan di Tapak Pesta Pulau Pinang pada 10 Disember 2009 jam 8.00 malam. Sebanyak 6 kumpulan boria akan berentap. Hadiah-hadiah lumayan telah disediakan oleh pihak Pesta P. Pinang.

Kepada peminat-peminat boria dan pencinta seni semua dijemput menyaksikannya beramai-ramai. Kita letakkan boria dipersada seni tanahair.

Khamis, November 19, 2009

Boria Di Radio Malaysia Klasik Nasional Jumaat 20 Nov 2009


Jumaat 20 November 2009, jangan lupa ikuti rancangan Dendang Rakyat - BORIA di Radio Malaysia Klasik Nasional jam 7.40 malam. Kumpulan Boria Pulau Pinang - Pimpinan - Omar Hashim (OMARA), Tukang Karang - Chik, Pelakon Sketsa - Chik, Yusof Hashim dan Omara. Rangkap Karangan - Omara. Lagu - Mat Din As-Salam. Terbitan Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar (Klasik Nasional).

Apabila Orang Parsi Jumpa Orang Boria....


Boria dari Parsi, kemudian ke India dan terus ke Tanah Melayu (Pulau Pinang). Yang menariknya dalam gambar ini, keluarga orang (Parsi) Iran ini bertemu dengan orang boria Pulau Pinang di KLIA, Selangor. Pada mulanya mereka tidak sangka yang kesenian warisan negeri Pulau Pinang ini asalnya bermula dari negara mereka sendiri.

Suami, isteri dan anak-anak orang Iran ini gembira dapat bergambar dengan sailor-sailor boria Pulau Pinang. Mereka juga telah berpeluang melihat persembahan kami di petang itu. Begitulah seni, budaya dan warisan kita masih diminati dan dihargai oleh orang luar. Diharap lebih-lebih lagilah oleh kita sendiri.

Sabtu, November 07, 2009

Daftar Sebagai Sahabat Warisan Boria


Setelah Warisan Boria mendapat sambutan yang menggalakkan dari Penggiat, Ahli-Ahli dan Peminat Boria seluruh tanahair dan luar negara, kini Anda semua dipelawa mendaftar sebagai Sahabat Warisan Boria. Sila isikan borang pendaftaran di sebelah kanan bahagian atas blog ini. Warisan Boria akan dapatkan seberapa ramai sahabat yang boleh.

Jika ada apa-apa acara Boria di tempat anda, Warisan Boria akan hubungi. Jika ada sebarang pertanyaan dan kemusykilan mengenai seni warisan boria, Warisan Boria akan sedia menjawab. Anda juga boleh menyertakan gambar sendiri ataupun gambar kegiatan boria di tempat anda dan hantarkan melalui email yang tertera di sebelah kanan blog ini.

Mulalah mendaftar dari sekarang dan anda akan diberikan nombor sahabat masing-masing. Terima kasih.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Cadangkan Boria Acara Wajib Pesta Pulau Pinang

Jom Pi Penang!!!! Pesta Pulau Pinang kembali lagi!!! Marilah datang beramai-ramai pada 21 November hingga 31 Disember 2009 jam 6.00- 11.30 malam bertempat di Tapak Pesta, Sungai Nibong....

Warisan Boria ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Pesta Pulau Pinang kerana turut memaparkan gambar seorang tukang karang boria di bannernya kali ini. Sekurang-kurangnya seni warisan boria ini tidak dilupakan.

Saya dan rakan-rakan penggiat boria Pulau Pinang ingin mencadangkan supaya 'BORIA' dijadikan persembahan wajib setiap malam di tapak pesta. Orang-orang luar dan para pelancong yang datang ke Pesta tentu ingin melihat sesuatu yang tersendiri mengenai seni warisan Pulau Mutiara ini. Boria adalah satu-satunya.

Secara tidak langsung, boria bukan sahaja dapat buat persembahan di Pesta Pulau Pinang, malah akan meriah kembali di negeri ini dan terus hidup segar sepanjang zaman!

Selasa, Oktober 27, 2009

Jun 1976 Daud Ibrahim Inginkan Boria Melibatkan Berbagai Kaum



Sebuah Artikel tulisan saya mengenai boria yang telah disiarkan dalam akhbar BALAI MUHIBBAH Terbitan Lembaga Perpaduan Negara, Jabatan Perdana Menteri keluaran Jun 1976. Saya telah menemuramah Encik Daud Ibrahim mengenai 'Penglibatan berbagai kaum di bidang seni penting'.

".... Encik Daud Ibrahim seorang tokoh boria di Utara berpendapat, seni boleh merapatkan lagi hubungan muhibbah antara masyarakat seandainya disertai oleh setiap keturunan kaum dan bangsa di negara ini. Boria adalah seni yang berasal dari Parsi dan dikembangkan di Pulau Pinang. Hari ini boria semakin popular, lebih-lebih lagi setelah RTM menganjurkan satu pertandingan dalam rancangan khasnya iaitu Dendang Rakyat. Encik Daud yang pernah menjadi pengadil pertandingan tahun lalu dan telah berkecimpung dalam boria hampir dua puluh tahun, juga pemimpin kepada kumpulan boria Sungai Pinang. Kumpulannya, pernah menjadi johan boria dalam pertandingan Dendang Rakyat tahun 1973. Mengenai kurangnya penyertaan dari keturunan-keturunan lain di dalam pertandingan bahagian boria tahun ini, beliau berharap supaya di tahun-tahun akan datang penyertaannya tidak kepada satu-satu kaum sahaja......"

Petikan sebahagian dari artikel tersebut.

Sabtu, Oktober 24, 2009

Penggiat Boria menyambut baik Penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni

Warisan Boria menyambut baik Penubuhan Tabung Kebajikan Penggiat Seni oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 di Parlimen di sini, hari ini. Bajet 2010 yang bertemakan "1Malaysia: Kemakmuran Bersama,"

Ianya bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian yang mana sejumlah RM3 juta akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran. Penubuhan tabung tersebut dilihat sebagai satu inisiatif yang positif oleh kerajaan untuk membantu nasib penggiat seni yang memerlukannya.

“Saya harap para penggiat seni warisan juga tidak dilupakan kerana hanya dengan semangat yang kuat sahaja tidak mencukupi untuk menjalankan kegiatan seni dan mempertahankannya di zaman yang serba mencabar ini,” – Omar M. Hashim (OMARA)

Jumaat, Oktober 23, 2009

Sabtu 24 Oktober 2009 Kisah Omara dan Boria di Mutiara KL



Ikuti sedikit kisah saya dan boria hari sabtu 24hb. Oktober 2009 jam 12.00 tengahari hingga 12.45 tengahari dalam rancangan Mutiara KL terbitan bersama Radio Malaysia Mutiara FM dan Radio Malaysia KL FM. Pendengar di Lembah Kelang boleh ikuti melalui KL FM dan di Pulau Pinang melalui Mutiara FM. Di internet sila klik KL FM di http://internet-live-radio.blogspot.com/2008/03/kl-fm.html

Terima kasih kepada penerbit Asri Ishak dan Dejay Yassier Yusoff dari Mutiara FM kerana berikan tempat kepada boria, satu-satunya warisan seni Negeri Pulau Pinang. Terima kasih juga kepada Radio Malaysia KL FM.

Khamis, Oktober 22, 2009

BORIA MEGA DALAM "Malaysia Book Of Records"




Perhimpunan Patriotik Kebangsaan yang berjaya mencatat "Malaysia Book Of Records" sebagai persembahan boria paling ramai ahli (Sailor) iaitu 2020 orang. Persembahan Boria Mega ini berlangsung di PISA Pulau Pinang pada September 2006. Lagu boria oleh: Murshidee (SHIDEE) Skrip Sketsa dan Rangkap Karangan oleh: Omar M. Hashim (OMARA). Tukang Karang dan Pelakon Sketsa oleh: Pelajar-pelajar SMK Model Khas, Ptg. Tok Jaya, Butterworth. Sailor keseluruhan terdiri dari murid-murid sekolah seluruh Pulau Pinang Dan Seberang Perai. Sekali lagi pada 31 Ogos 2006 mereka mengadakan pula persembahan boria terbesar sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Balik Pulau, Pulau Pinang. Tahniah! Tahniah! Tahniah!

At the function, a boria group comprising 2,020 students from 25 school made it into the Malaysia Book of Records as the largest boria ensemble.
Hishammuddin was so impressed with the multiracial ensemble that he junmped down the main stage and leapt over the fencing to shake hands with the students.
All the other VVIPs on the stage including Dr. Koh followed suit, leaping over the fencing to congratulate the students.
The students, dressed in colourful costumes, kept the crowd entertained throughout their 15-minute performance.
Hishammuddin called on the students to hold a larger gathering to break the record next year.
He later handed over the Malaysia Book of Records certificate for the students’ feat to state education director Ahmad Hussain.

Sabtu, Oktober 17, 2009

Dah Lama Tak Main Boria - Kumpulan Boria Di Pulau Pinang



Semakin kami berjuang untuk mengembalikan kegemilangan boria di Negeri Pulau Pinang, persembahan boria semakin kurang pula di sini. Ya, inilah realitinya. Ahli-ahli boria kumpulan saya 'Kumpulan Boria Klasik Pulau Pinang' ramai yang merungut kerana tidak ada persembahan sejak lebih tiga bulan yang lalu. Begitu juga dengan kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang, pemimpinnya juga beritahu saya demikian yang terjadi kepada kumpulan mereka.

Banyak acara-acara yang berlangsung di negeri ini tapi tanpa boria. Tarian telah mengambil tempat boria, ya inilah kenyataan yang berlaku. Kumpulan boria Klasik pimpinan saya ramai yang terdiri dari mereka-mereka yang berpengalaman dalam boria. Mereka menyertainya kerana ingin pertahankan kesenian warisan Pulau Mutiara ini. Tapi sehingga bila mereka boleh tunggu dan bersabar. "Lebih baik tinggalkan saja boria, buat kerja lain lagi bagus", kata salah seorang dari mereka.

Sebenarnya ramai yang turut merisaukan perkara ini. Rakan-rakan saya dari wartawan akhbar-akhbar dan majalah juga ramai yang hubungi saya bertanyakan hal ini. Apa lagi saya nak kata, saya pun bagaikan telur di hujung tanduk. Tak tergamak pula saya nak tutup kumpulan boria saya semata-mata untuk menyertai kumpulan tarian kerana peluang kepada kumpulan tarian lebih terserlah dari boria. Jika anda semua tak percaya, siasatlah sendiri dan tengoklah acara-acara yang berlangsung.... "di manakah boria?"

Isnin, Oktober 12, 2009

Aini Omar Tukang Karang Boria Wanita 1975




Petikan dari akhbar Berita Harian, Khamis 24 Julai 1975 tulisan saya sendiri - Omar M. Hashim

".... Aini Omar, nama yang tidak asing lagi di kalangan peminat-peminat boria telah menceburkan diri dalam lapangan ini sejak berusia empat tahun lagi. Ketika itu Aini cuma mengambil peranan kecil mengikuti setiap persembahan boria di mana bapanya sendiri menjadi pengasuh dan ketua.

Sejak itu minatnya dalam lapangan ini sungguh menggalakkan dan Aini mencuba-cuba pula menyanyi dan menari bersama-sama peserta yang lain dalam kumpulan itu. "Saya tidak sangka segala usaha dan latihan sejak kecil itu telah menelurkan kejayaan pada diri saya sekarang ini," jelas Aini.

Kejayaan gadis ini memanglah boleh dibanggakan kerana Aini adalah merupakan seorang tukang karang kumpulan boria wanita yang pertama sekali di Malaysia. Suatu ketika dulu wajahnya sering muncul dalam rancangan-rancangan boria persembahan Tv Malaysia bersama-sama anggota kumpulannya Boria Kampung Jawa, Pulau Pinang, yang dipimpin oleh bapanya sendiri, Encik Omar Ghaush.

Selain dari Tv, kumpulan boria ini juga sering bermain di rancangan-rancangan hiburan Radio Malaysia Pulau Pinang dan di pentas-pentas pertunjukan kebudayaan. Menurut Aini, kesemua senikata-senikata pantun boria tersebut adalah hasil ciptaannya serta dibantu oleh bapanya sendiri.

"Boria adalah merupakan satu cabang seni yang mudah dan boleh memberikan kesan kepada pendengar-pendengarnya. Kita dapat menyampaikan sesuatu nasihat dan pengajaran yang berguna melalui babak jenaka dan senikata lagu-lagunya," sambung Aini lagi. Gadis hitam manis yang sering tersenyum ini seterusnya menyatakan azamnya untuk terus hidup sebagai seorang tukang karang boria wanita sambil mempertahankan seni boria iaitu salah satu cabang seni rakyat ini supaya terus diminati oleh setiap golongan dan lapisan masyarakat...."

Aini Omar yang ketika itu berusia 17 tahun kini telah mencapai usia 51 tahun. Anaknya Mahathir Mehat 28 tahun kini mengikut jejaknya sebagai seorang penyanyi.

Gambar-gambar saya ambil sendiri dan berita tulisan saya juga di tahun yang sama. Klik di gambar akhbar untuk lihat lebih jelas artikel tersebut.

Khamis, Oktober 08, 2009

Boria Sekolah Jalan Baru Perai Tahun 1977


Keratan Akhbar Berita Harian Rabu, 10 Ogos, 1977 memaparkan berita tulisan saya sendiri - Tajuk: Boria Turut Meriahkan Temasya Sukan.

".... BUKIT MERTAJAM, Selasa - Setelah beberapa tahun Sekolah Kebangsaan Jalan Baru, Perai tidak mengadakan sukan tahunannya, baru-baru ini dengan kerjasama Jawatan Kuasa PIBG dan Gerakan Belia 4B Cawangan Jalan Baru dan Simpang Ampat, satu temasya olahraga telah diadakan dengan jayanya. Encik Jismi bin Mohd Salleh, pengelola sekolah-sekolah Pulau Pinang dan Seberang Perai telah merasmikan olahraga itu dan hadiah-hadiah disampaikan oleh Puan Asmahbee binti Mohd. Noor, isteri Penolong Pegawai Daerah Bukit Mertajam. Lebih 50 acara-acara olahraga diadakan disamping persembahan boria oleh Kumpulan Ria yang terdiri dari murid-murid sekolah tersebut dibawah pimpinan Cikgu Zainol Rashid bin Darus......"

Petikan berita tersebut. Gambar menunjukkan persembahan Boria oleh murid-murid Sekolah Jalan Baru, Perai. - Berita dan gambar oleh saya sendiri - Omar M. Hashim

Selasa, Oktober 06, 2009

Salam Dari Omar Hashim - Membukukan Warisan Boria


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera para pembaca laman Blog Warisan Boria di mana saja! Saya terharu kerana Warisan Boria sentiasa dikunjungi oleh pembaca-pembaca tetap dan juga setiap hari terdapat tetamu-tetamu baru yang sampai ke sini. Alhamdullilah segala usaha saya ini tidak sia-sia dan mendapat manfaat kepada mereka yang ingin mendalami seni warisan tanahair kita.

Saya banyak juga terima email-email, panggilan telefon dan sms yang mengucapkan tahniah atas usaha saya ini. Tidak kurang juga yang mengunjungi saya terutamanya para pelajar dari serata tempat, bukan sahaja dari sini malah juga dari Sabah dan Sarawak. Saya sampaikan apa yang saya tahu dan mereka berpuas hati dengan sumbangan saya itu. Yang penting... ilmu itu disebarkan tidak disimpan begitu sahaja.

Saya sedang dalam proses membukukan Blog Warisan Boria ini. Hasil-hasil tulisan dan catatan saya serta lebih 90% gambar-gambar kepunyaan saya dari Blog ini akan saya paparkan dalam buku mengenai kesenian warisan boria ini nanti. Saya harap segala bahan-bahan dan gambar dalam blog ini tidak diambil begitu saja untuk tujuan penyiaran kerana semuanya adalah hakcipta saya untuk dibukukan.

Sekali lagi terimakasih atas penghargaan dari kawan-kawan, penggiat seni dan boria, tokoh-tokoh, para ilmuan, pelajar, orang ramai, peminat boria dan semuanya. Sama-samalah kita sokong blog Warisan Boria ini supaya ianya lebih padat dan kaya dengan bahan-bahan yang lebih baik dan bertenaga. Hidup Warisan Boria!

Sabtu, Oktober 03, 2009

Boria Asli dan Boria Moden Sama-Sama diPerlukan




Apa perbezaan antara 'Boria Asli' dengan 'Boria Moden' ? Sebenarnya tak banyak perbezaan - Kedua-dua jenis boria ini tetap ada sketsa di permulaan, ada tukang karang, ada sailor, ada muzik dan lagu boria, ada lagu masuk dan lagu keluar, ada rangkap karangan boria dan juga ada props. Kedua-dua jenis boria ini meletakkan sailornya dalam dua baris dan tukang karang di bahagian hadapan.

Yang membezakan kumpulan boria asli dengan boria moden ini ialah susunan sailor dan gerak tarinya sahaja. Biasanya boria asli boleh berpakaian 'beragam' mengikut sesuatu cerita yang dipersembahkan. Tapi boria moden pakaian sailornya sama. Gerak tari boria asli mengikut tempo lagu dan pergerakan sailor bebas. Gerak tari boria moden pula pergerakan dikira mengikut lagu dan kiraan, contohnya serata 8, 8, 4, 4.

Oleh kerana di zaman dahulu kaum wanita tidak dibenarkan bermain boria, maka kaum lelakilah yang mengambil bahagian. Lelaki dibolehkan berpakaian wanita untuk sketsa dan sailor tapi masih tetap menampakkan diri asalnya lelaki. Boria moden pula sudah bebas, kaum wanita juga ada yang terlibat dalam sketsa dan juga sailor.

Walapun terdapat perbezaan kepada dua jenis boria ini, namun adalah tidak salah jika boria moden hendak dipersembahkan dan warisan boria asli pula tetap dipelihara. Jabatan Warisan Negara telah terima boria asli sebagai seni warisan dan sebuah dokumentari sedang diusahakan sebagai rujukan generasi akan datang.

Gambar: Atas - Kanan ialah persembahan boria moden. Kiri ialah persembahan boria asli zaman dahulu. Bawah - Boria Asli zaman ini.

Jumaat, Oktober 02, 2009

Penggiat Boria Seberang Perai Allahyarham Toran Senapi




“.......Siapa tak kenal Cikgu Toran. Nama sebenarnya Toran bin Senapi, berasal dari Penanti, Seberang Perai. Beliau merupakan seorang pelawak, di padang bola dia sebagai pengadil bolasepak menekala di sekolah pula dia ialah seorang guru yang serious. Toran mula berlawak sejak tahun 1947, ketika itu dia bergiat dalam Pergerakan Pengakap di sekolahnya.

Dalam tahun 1952, Toran menubuhkan Kumpulan boria di bawah pimpinannya sendiri di Permatang Sintok, Kepala Batas dan seterusnya menjadi penyanyi tukang karang kumpulan tersebut. Pada mulanya beliau diberi peranan berlakon dalam rancangan-rancangan Sandiwara Radio kelolaan Zulkifli Amin, di Radio Malaysia Pulau Pinang. Bintangnya semakin bersinar, dengan kejayaan-kejayaan yang diperolehinya dalam pertandingan lawak jenaka anjuran Radio Malaysia Pulau pinang.

Toran dan rakan karibnya ketika itu Mohd. Noh B.A. telah menubuhkan kumpulan lawak jenaka sendiri. Pelawak Maidin Ibrahim juga pernah menyertai kumpulannya. Mereka sering mengambil bahagian dalam rakaman-rakaman rancangan hiburan RTM Pulau Pinang di samping pertunjukan-pertunjukan pentas di utara.

Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Methodist, Nibong Tebal, lalu menubuhkan pula kumpulan Boria Badan Kebudayaan Guru Guru Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam dalam tahun 1975 hingga 1976. Dua kali berturut-turut kumpulan boria pimpinannya menduduki tempat ke dua dalam pertandingan Boria Dendang Rakyat anjuran RTM. Tapi Toran tidak berputus asa, tahun 1977 dia muncul pula dengan Kumpulan Boria Seri Penanti yang telah terpilih menyertai pertandingan akhir Dendang Rakyat......”

Petikan berita hiburan tulisan saya yang telah disiarkan di akhbar Berita Harian, Khamis, 15 Disember, 1977. - Omar M. Hashim (OMARA)

Khamis, September 24, 2009

Boria Sek Rendah Methodist Nibong Tebal 1979


Petikan email Ahmad Fathi (KUMBOI NYOK),


"Gambar ini diambil pada tahun 1979...di Sek Ren Keb Methodist Nibong Tebal sewaktu usia 12 tahun...darjah 6.... ...waktu zaman persekolahan saya dulu tu..saya juga berminat dalam bidang boria ni.....tambah tambah lagi guru yang mengajar boria ni bukan calang calang orangnya....


Namanya Cikgu TORAN SENAPI... arwah adalah pemimpin boria SRI PENANTI...pernah menyertai pertandingan Dendang Rakyat anjuran RTM...dulu. Boria sekolah saya memang begitu popular di zaman persekolahan saya dulu terutama di sekitar Seberang Perai Selatan...


Terkenang saya kat arwah walaupun garang waktu mengajar...tapi bila mai bab boria saja orangnya seni,lembut dan lucu......


#Kedudukan dalam gambar.1..
Gambar saya dibarisan bawah...no1 dari kiri....arwah Cikgu Toran Senapi no 4 dari kiri sebelah guru besar......


#Kedudukan dalam gambar 2..
No 2 dari kiri.....sketsa membawa watak anak kepada seorang ibu....yang lain sebagai watak tok penghulu...jiran berbangsa cina dan india..."

Terima kasih Sdr. Ahmad Fathi (KUMBOI NYOK) dari Nibong Tebal, Seberang Perai yang mengirimkan gambar-gambar dan keterangan di atas. Satu lagi khazanah berharga yang tak mungkin dapat ditukar ganti. Sebenarnya arwah Cikgu Toran Senapi ni adalah rakan seni yang saya kenali, tapi berbeza umur. Saya panggil dia Cikgu Toran. Dia seorang pelawak yang tidak asing lagi di RTM dan utara ketika itu bersama-sama dengan Cikgu Mohd. Noh B.A. (telah meninggal) dan juga pelawak Maidin Ibrahim (Mamu Maidin yang masih berlawak dan berlakon sekarang). Allahyarham juga seorang penggiat boria yang aktif di Seberang Perai ketika itu disamping terkenal sebagai seorang pengadil bola sepak.

Arwah memang terlibat dengan Kumpulan Boria Guru-Guru Penanti. Maaf saya akan dapat kepastian dan fakta yang tepat dari rakannya yang masih ada lagi sekarang ini. Saya turut menziarahi jenazahnya bersama-sama dengan pelawak Piee di Guar Perahu ketika beliau meninggal dunia.

Blog Ahmad Fathi - KUMBOI NYOK sila klik di sini.

Khamis, September 17, 2009

Boria Hari Raya di Radio Malaysia Klasik Nasional



Peminat-peminat boria di mana sahaja, jangan lupa ikuti sebuah persembahan boria 'SELAMAT HARI RAYA' terbitan Radio Malaysia Klasik Nasional pada hari raya pertama ini jam 4.15 petang. Siaran ulangan hari Jumaat 25 September 2009 jam 7.45 malam. Kumpulan boria dibawah pimpinan saya sendiri - Omara, Tukang Karang - RockyDin, Sketsa - Chik, Omara dan Chop. Muzik - Md. Din As-Salam, Rangkap Karangan - Omar M. Hashim (Omara). Penerbit - Rosli Derani dan Firdaus Mokhtar.

1.

SELAMAT HARI RAYA, AIDIL FITRI

KEPADA SAUDARA, SERTA SAUDARI

BERAKHIR RAMADHAN, SYAWAL BERSERI

BORIA KLASIK, SALAM DIBERI


8.

MAAFKAN KAMI, PENDENGAR BUDIMAN

RAKAN TAULAN, SAHABAT DAN TEMAN

KLASIK NASIONAL, RADIO IDAMAN

BORIA KLASIK, BERSALAM SALAMAN


Antara rangkap karangan pembukaan dan penutup disiarkan di atas. Selamat mendengar!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...