Boria Zaman Dahulu
Sabtu, Oktober 17, 2009
Dah Lama Tak Main Boria - Kumpulan Boria Di Pulau Pinang
Semakin kami berjuang untuk mengembalikan kegemilangan boria di Negeri Pulau Pinang, persembahan boria semakin kurang pula di sini. Ya, inilah realitinya. Ahli-ahli boria kumpulan saya 'Kumpulan Boria Klasik Pulau Pinang' ramai yang merungut kerana tidak ada persembahan sejak lebih tiga bulan yang lalu. Begitu juga dengan kumpulan Boria Budayasari Pulau Pinang, pemimpinnya juga beritahu saya demikian yang terjadi kepada kumpulan mereka.
Banyak acara-acara yang berlangsung di negeri ini tapi tanpa boria. Tarian telah mengambil tempat boria, ya inilah kenyataan yang berlaku. Kumpulan boria Klasik pimpinan saya ramai yang terdiri dari mereka-mereka yang berpengalaman dalam boria. Mereka menyertainya kerana ingin pertahankan kesenian warisan Pulau Mutiara ini. Tapi sehingga bila mereka boleh tunggu dan bersabar. "Lebih baik tinggalkan saja boria, buat kerja lain lagi bagus", kata salah seorang dari mereka.
Sebenarnya ramai yang turut merisaukan perkara ini. Rakan-rakan saya dari wartawan akhbar-akhbar dan majalah juga ramai yang hubungi saya bertanyakan hal ini. Apa lagi saya nak kata, saya pun bagaikan telur di hujung tanduk. Tak tergamak pula saya nak tutup kumpulan boria saya semata-mata untuk menyertai kumpulan tarian kerana peluang kepada kumpulan tarian lebih terserlah dari boria. Jika anda semua tak percaya, siasatlah sendiri dan tengoklah acara-acara yang berlangsung.... "di manakah boria?"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan