

Ada sebuah rumah yang cantik binaannya. Ia dijaga oleh beberapa orang yang suka dengan rumah ini. Dibuat pagar yang kemas, semak-samun dan lalang ditebas bersih. Cat disapu dan ditukar warnanya tetapi keaslian bentuk rumah tetap dipelihara. Ramai pengunjung yang melawat rumah ini. Ia terletak di Pulau Mutiara, Pulau Pinang. Inilah sebuah rumah warisan.
Hari ini rumah ini hampir dibiarkan usang. Lalang dan semak samun di kelilingnya. Pagarnya pun hampir roboh. Debu di sana sini dan dipenuhi dengan sarang labah-labah. Bumbungnya yang pecah membiarkan air hujan menitik ke dalam rumah. Pengunjung sudah berkurangan melawat rumah ini.
Tiba-tiba ada sesaorang yang selama ini melihat rumah ini dari jauh timbul rasa simpati dan perihatinnya kepada rumah ini lalu dibersihkannya segala kekotoran dan debu-debu di dalamnya, lalu ditebas lalang dan semak-samun sehingga bersih kembali. Dibuang sawang dan dibaiki atap bumbungnya. Pagarnya dibaiki menjadi kemas kembali. Ia diangkat dan dimartabatkan sebagai warisan.
Marilah semua yang pernah menjaga rumah ini dahulu kembali menjaga dan memulihara rumah kesayangan ini bersama-sama. Jangan disoalkan siapa dan mengapa orang ini memulihkan rumah ini. Rumah ini adalah rumah kita bersama sebagai anak Pulau Mutiara. Kembalikan dan kekalkan ia supaya kemasyhurannya terkenal ke seluruh dunia. Inilah dia....B. O. R. I. A. Ya...Boria adalah hak kita bersama. Bersatulah wahai semua penggiat boria, bukan masanya untuk kita menyalahkan orang ini dan orang itu. Jika boria ‘pupus’, kita bersamalah yang harus disalahkan.
- Omar M. Hashim (OMARA), Pulau Mutiara
Yang dinanti-nantikan kini dah tiba. Sebuah penerbitan ‘hebat’ dari Bahagian Multimedia, Dewan Bahasa Dan Pustaka ‘Seni Persembahan Boria’ akan diedarkan minggu depan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 pada 21 April 2009 (Selasa) bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Kepada peminat-peminat seni warisan ini dan mereka yang ingin mendalami ‘Boria’ dapat menyaksikan sebuah Dokumentari Boria selama satu jam dan 7 buah persembahan boria dahulu dan sekarang dalam 1 set yang mengandungi 2 keping DVD.
“Alhamdullilah! Terima kasih Encik Jamaluddin Mohd Sulong, Encik Amran Joned, Puan Siti Zaleha M. Hashim, Puan Rohana Abdul Rahman dan semua yang terlibat dari Bahagian Multimedia Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur yang telah memberi kepercayaan kepada saya menguruskan penerbitan ini dari awal hingga akhir lebih kurang setahun (termasuk membuat kajian dan skrip).
Saya gembira kerana hasil dokumentari ini nanti akan dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat dan pencinta seni dan warisan tanahair dan generasi akan datang”.
- - Omar M. Hashim (OMARA) P. Pinang 13 April 2009
Warisan Boria mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana tidak melupakan 'Boria' iaitu salah satu kesenian Pulau Pinang yang baru-baru ini telah dipilih sebagai Warisan Kesenian Dan Kebudayaan 2009 di negara kita. Kepada para guru dan pelajar yang terbabit, diharapkan dapat sama-sama menjaga kualiti persembahan yang terbaik dan semoga berjaya mencapai kemenangan yang diharapkan. Warisan Boria sedia memberikan nasihat jika diminta dan bahan-bahan dalam blog ini bolehlah dijadikan panduan.
Gambar: Kumpulan Boria Anak Wawasan SMKPTJ (Model Khas Pulau Pinang) membawa pulang kejayaan di Karnival PPDA , Kota Bahru, Kelantan dengan menggondol Johan Boria tahun 2008 dan juga Anugerah Tukang Karang Terbaik.