Boria Zaman Dahulu

Khamis, Julai 23, 2009

Tukang Karang Boria









Dalam persembahan boria, gerak tarinya dimulai dengan ‘lagu masuk’. Barisan sailor atau kelasi akan masuk ke pentas atau tapak persembahan mengikut alunan lagu yang dimainkan oleh pemuzik ataupun dari muzik yang telah disediakan. Kemudian masuk pula tukang karang sambil memegang tongkat di tangan dan mengambil tempat di hadapan sambil menyanyi mengikut rangkap karangan atau senikata lagu yang disusun begitu indah mengikut suku kata yang seirama di setiap hujung rangkap.


Berdiri di depan, si tukang karang

Kebolehannya pula, bukan sebarang

Suaranya jelas, dan juga terang

Tongkat di tangan, dihayun garang.


Tukang karang, main peranan

Memegang tongkat, di tangan kanan

Seni kata indah, bersama susunan

Sailor di belakang, mengikut permainan


Nyanyian tukang karang boria haruslah lantang dan jelas satu persatu (tidak mengikut nyanyian biasa).


Antara tukang karang boria yang terkenal dahulu ialah Ibrahim (Boria Sungai Pinang), Pak Kan atau Abu Bakar Jaafar, Hassan Aluih Pakcik Kaya dan ramai lagi. Nama-nama seperti Syukur Hamid, Aini Omar, Syed Akir, Ali Yusoff, Nassier Wahab juga tidak asing lagi kepada peminat-peminat boria ketika itu. Kini pula Jibran Khalil, Nurul Hafizi (Gee), Roslan Hamid, Hasman, Mohd Salman Md Zin, Rosely Abdullah (Chik), Afzan Saffuan bin Ahmad (atau Lan DekNa) dan ramai lagi. Dato' Ahmad Daud, Hail Amir, Najib Haniff, L. Ramlie, Md. Noor Othman atau lebih dikenali dengan pelawak Pak Man Telo juga pernah menjadi tukang karang boria suatu ketika dulu. Walaupun tidak disebutkan satu persatu di sini, Warisan Boria akan cuba dapatkan fakta senarai nama-nama tukang karang dan gambar mereka dahulu hingga kini untuk dicatatkan di sini.


Tukang karang yang baik ialah mereka yang dapat mencipta rangkap karangan sepontan semasa membuat persembahan, dapat menghafal atau dapat menyampaikan rangkap karangan dengan secara bercerita kepada penonton atau pendengar (tidak seperti membaca). Semoga bilangan mereka yang berkebolehan menjadi tukang karang ini semakin meningkat di tanahair kita.


Gambar: Sebahagian dari tukang-tukang karang boria.


Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...