Maafkan saya kerana terpaksa berterus terang menjelaskan di sini mengenai kekeliruan gambar dan catatan mengenai boria yang kerap saya dapati dari bahan-bahan rujukan mengenai boria Pulau Pinang. Ramai juga mereka-mereka yang baru ingin mendalami seni warisan boria bertanyakan saya mengenai gambar yang saya paparkan ini. Sila lihat gambar ini.... ada yang tanya, di akhir persembahan boria kena buat permainan akrobatik ka?
Boria Zaman Dahulu
Khamis, Julai 30, 2009
Fakta Boria Yang Harus Dibetulkan
Maafkan saya kerana terpaksa berterus terang menjelaskan di sini mengenai kekeliruan gambar dan catatan mengenai boria yang kerap saya dapati dari bahan-bahan rujukan mengenai boria Pulau Pinang. Ramai juga mereka-mereka yang baru ingin mendalami seni warisan boria bertanyakan saya mengenai gambar yang saya paparkan ini. Sila lihat gambar ini.... ada yang tanya, di akhir persembahan boria kena buat permainan akrobatik ka?
Ahad, Julai 26, 2009
Sambutan Ulang Tahun Bandar Warisan Dunia Tanpa Boria
Sekali lagi 'BORIA' terima tamparan hebat di negeri asalnya sendiri Pulau Pinang apabila kesenian warisan yang telah dinobatkan sebagai warisan seni kebangsaan diketepikan dalam acara PERAYAAN SAMBUTAN ULANG TAHUN PERTAMA BANDAR GEORGE TOWN SEBAGAI TAPAK WARISAN DUNIA UNESCO PADA 25 JULAI 2009.
Khamis, Julai 23, 2009
Tukang Karang Boria
Dalam persembahan boria, gerak tarinya dimulai dengan ‘lagu masuk’. Barisan sailor atau kelasi akan masuk ke pentas atau tapak persembahan mengikut alunan lagu yang dimainkan oleh pemuzik ataupun dari muzik yang telah disediakan. Kemudian masuk pula tukang karang sambil memegang tongkat di tangan dan mengambil tempat di hadapan sambil menyanyi mengikut rangkap karangan atau senikata lagu yang disusun begitu indah mengikut suku kata yang seirama di setiap hujung rangkap.
Berdiri di depan, si tukang karang
Kebolehannya pula, bukan sebarang
Suaranya jelas, dan juga terang
Tongkat di tangan, dihayun garang.
Tukang karang, main peranan
Memegang tongkat, di tangan kanan
Seni kata indah, bersama susunan
Sailor di belakang, mengikut permainan
Nyanyian tukang karang boria haruslah lantang dan jelas satu persatu (tidak mengikut nyanyian biasa).
Antara tukang karang boria yang terkenal dahulu ialah Ibrahim (Boria Sungai Pinang), Pak Kan atau Abu Bakar Jaafar, Hassan Aluih Pakcik Kaya dan ramai lagi. Nama-nama seperti Syukur Hamid, Aini Omar, Syed Akir, Ali Yusoff, Nassier Wahab juga tidak asing lagi kepada peminat-peminat boria ketika itu. Kini pula Jibran Khalil, Nurul Hafizi (Gee), Roslan Hamid, Hasman, Mohd Salman Md Zin, Rosely Abdullah (Chik), Afzan Saffuan bin Ahmad (atau Lan DekNa) dan ramai lagi. Dato' Ahmad Daud, Hail Amir, Najib Haniff, L. Ramlie, Md. Noor Othman atau lebih dikenali dengan pelawak Pak Man Telo juga pernah menjadi tukang karang boria suatu ketika dulu. Walaupun tidak disebutkan satu persatu di sini, Warisan Boria akan cuba dapatkan fakta senarai nama-nama tukang karang dan gambar mereka dahulu hingga kini untuk dicatatkan di sini.
Tukang karang yang baik ialah mereka yang dapat mencipta rangkap karangan sepontan semasa membuat persembahan, dapat menghafal atau dapat menyampaikan rangkap karangan dengan secara bercerita kepada penonton atau pendengar (tidak seperti membaca). Semoga bilangan mereka yang berkebolehan menjadi tukang karang ini semakin meningkat di tanahair kita.
Gambar: Sebahagian dari tukang-tukang karang boria.
Rabu, Julai 22, 2009
Karnival Seni Jauhi Dadah Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2001
Isnin, Julai 20, 2009
Boria Budayasari Di Malam Titian Kasih
Kumpulan Boria Angkatan Budayasari Pulau Pinang telah menghiburkan penonton-penonton di Majlis Makan Malam anjuran Persatuan Titian Kasih Pulau Pinang yang diadakan bertempat di Gurney Hotel Pulau Pinang (Ahad 19 Julai 2009).
Boria bertajuk 'TITIAN KASIH' - Tukang Karang oleh Hasman, sketsa - Yusof M. Hashim, Sharifah dan Omara, Pimpinan Rohaya Ayub. Rangkap karangan oleh Omar M. Hashim (OMARA).
Rabu, Julai 15, 2009
E-Mail Dari Ako Yaakob
Daripada: Ako Yaakob
Subjek: apa nk jadi ngan boria???
Kepada: 0mara353535@hotmail.com
Tarikh: Selasa, 14 Julai, 2009, 5:49 PM
Salam... Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga pada abang Omara yang melahirkan blog boria, saya amat gembira sangat-sangat dengan blog tu... memang lengkap, padat dan senang nak buat rujukan. Tapi masa la ni ramai yang buat pandai-pandai tak mau rujuk kat pengiat boria yang sedia ada ni memang la terlalu sedih buat saya yang seorang peminat dan ahli boria. Terlalu ramai orang luar yang menciplak boria untuk tontonan orang ramai, banyak yang cacat cela yang begitu ketara yang boleh kita nampak sebagai orang boria. Bagi orang bukan boria mungkin itu dipanggil boria tapi kita nak panggil apa? Tarian entah apa, lirik tungging terbalik dan sketsa pun tak ada.. apa punya boria daa... Saya tengok boria ka mungkin pupus ditelan zaman... Wahai orang-orang boria bangun laaa, jom kita imbas balik era 80 dan 90an banyak pertandingan di antara kampung-kampung, sekolah dan agensi kerajaan, mana pi semua kumpulan ni? Kalau dulu sampai 20-30 kumpulan la nak cari 5 kumpulan pun susah pasai apa boleh jadi macam ni abang Omara? Saya minta tolong abang Omara hidupkan balik suasana macam dulu, tolong cari balik orang-orang lama boria mana pi depa? Carilah penaja untuk buat pertandingan boria besar-besaran, kalau zapin dan dikir barat boleh buat pertandingan besar-besaran dekat TV1 pasai apa boria tak boleh pulak? Banyakkan promosi boria dekat Penang pasai dekat Penang sendiri pun dah jarang jumpa persembahan boria dah macam mana kita nak jumpa kat luar? Kalau jumpa pun boria CACAT! Apa pun saya amat berbangga pasai ada lagi orang (macam abang Omara) yang masih kuat mempertahan warisan Pulau Pinang. TAHNIAH! Saya doakan abang Omara dalam keadaan sihat dan dilindungi ALLAH SWT Insyallah.. disamping pertahan boria jangan lupa satu lagi warisan Pulau Pinang iaitu JOGHEE sama-sama la kita pertahankan sampai bila-bila. TAK KAN BORIA HILANG DI DUNIA....
Isnin, Julai 13, 2009
Muzik Boria Asli Lebih Meriahkan Persembahan
Dalam persembahan boria, peralatan muzik yang digunakan tidaklah begitu khusus. Apa yang penting ialah keupayaan para pemuzik membawakan irama lagu yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang boria. Lantaran itulah, alat muzik yang sering digunakan, hanyalah gendang dan violin.
Walaubagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik dapat digunakan semakin hebat dan baiklah persembahan tersebut.
Antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordian, marakas, harmonika, trumpet dan lain-lain.
Kini, muzik minus one telah menggantikan alat-alat muzik yang biasanya dimainkan secara terus.
Namun begitu saya rasa keaslian boria patutlah dikembalikan. Sesuai dengan boria asli telah dipilih dan diangkat sebagai Warisan Seni Kebangsaan maka seelok-eloknya persembahan muzik secara terus dapat dikembalikan seperti asalnya.
Ahad, Julai 12, 2009
Dulu Tukang Karang Boria, Sekarang Penyanyi
Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nasir bin Abdul Wahab, seorang penyanyi, pelakon dan pencipta lagu dibesarkan di Teluk Air Tawar, Buttterworth, Pulau Pinang. Nassier mula berjinak dalam dunia seni sejak dibangku sekolah rendah lagi.Alam persekitaran di kampungnya yang mempunyai dua kumpulan kugiran iaitu "Les Pengembara" dan "Teruna Ria" banyak mempengaruhi nassier dalam dunia seni muzik.
Apabila meningkat remaja,dalam usianya 20an,minatnya semakin memuncak apabila Nassier menyertai kumpulan kesenian Bistari di kampungnya.Seterusnya Nassier menjadi penyanyi utama dan sebagai Tukang Karang Boria disamping menyertai kumpulan nasyid.
Nassier telah membawa satu era baru dalam persembahan boria dan juga kumpulan kugiran sehingga kumpulannya telah menjadi johan berturut-turut dalam setiap pertandingan yang dianjurkan sekitar tahun 1982-1984.Pada tahun 1983,
Nassier telah berjaya membawa kumpulan Boria Bistari ke peringkat akhir dalam pertandingan "Pesta Dendang Rakyat Ke-8" anjuran RTM.Sebagai tukang karang, Nassier telah mencipta sebuah lagu khusus untuk kumpulannya berjudul "Pak Pandir Moden' yang kemudian dirakamkan dalam album pertamanya.
Bakatnya mula dikesan oleh stesen radio RTM Pulau Pinang, apabila Nassier berjaya menjadi naib juara dalam Pesta Pulau Pinang 1984 dan Top Finalis dalam pertandingan Bintang Bintara pada awal tahun 1985. Nassier kemudiannya ditawarkan menjadi penyanyi undangan dalam rancangan-rancangan terbitan radio RTM Pulau Pinang bermula dari rancangan "Bakat Baru"sehinggalah ke rancangan "Temasya Ria".
Awal tahun 1985 bermulalah karier Nassier sebagai seorang recording artis apabila ditawarkan bernaung di bawah syarikat Seri Record di Pulau Pinang.Album pertamanya yang diterbitkan oleh komposer S.Atan dirakamkan di Singapura berjudul "Cinta Dan Perasaan"
Nassier muncul lagi bersama album "KOLEKSI 20 TAHUN TERUNGGUL NASSIER WAHAB" yang memuatkan sebahagian dari lagu-lagu hits popularnya seperti "Bayangan Wajah Duka","Sebuah Janji Tak Beerti","Sekali Aku Jatuh Cinta","Undangan Rindu" dan lain-lain.
Nassier gembira menyanyi lagu boria semula, setelah beliau dipilih oleh Jabatan Warisan Negara menjadi tukang karang boria di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sempena Majlis Penyerahan Watikah George Town Melaka diistihar sebagai Bandar Warisan Dunia pada 22 November 2008 lalu. Malam itu Nassier menjadi tukang karang kepada lebih seribu orang sailor yang terdiri dari peserta-peserta perarakan dari Pulau Pinang dan Melaka juga penari-penari Istana Budaya.
Sama-sama kita nantikan Nassier Wahab menjadi tukang karang boria semula setelah begitu lama ditinggalkannya.
Rabu, Julai 08, 2009
Boria Kanak-Kanak Gema Permata Muncul Di Bandar Baru Perda
Kumpulan Boria Gema Permata Bandar Baru Perda, Seberang Perai akhirnya berjaya ditubuhkan oleh Mustaffa Ishak, seorang penggiat boria yang sebelum ini telah berkecimpung dalam seni warisan boria di Pulau Pinang.
Baru-baru ini hasil usaha Mustaffa dan Omar Hashim (Omara), akhirnya seorang tukang karang boria di kalangan kanak-kanak telah ditemui iaitu dikenali dengan panggilan Fendy, pelajar tingkatan dua, Sekolah Menengah Bandar Baru Perda, Seberang Perai. Fendy telah berjaya dalam saringan ujisuara untuk dibentuk sebagai seorang tukang karang boria. Beliau kelihatan gembira ketika mula menyesuaikan diri sebagai seorang tukang karang. Pemuzik Zulkifli Omar dari Seberang Jaya turut membantu pemilihan ini.
Hasilnya, Fendy telah diberi peluang oleh Omara merakamkan secara demo tiga buah lagu boria kanak-kanak. Beliau harus rajin berlatih lagi menyanyi mengikut lentok boria dan banyak lagi perkara mengenai boria yang perlu beliau ketahui.
"Bakat-bakat seperti ini perlu digilap kerana seni warisan boria perlu pelapis di masa hadapan supaya ianya tidak mati atau lenyap ditelan arus zaman," jelas Omara.
Gambar Kiri - Mustaffa Ishak Gambar Kanan - Fendy
Jumaat, Julai 03, 2009
Terdapat Jabatan Kerajaan Dan Swasta Yang Meremehkan Seni Boria
Ketika beberapa orang penggiat boria yang masih berusaha mempertahankan keaslian dan peraturan boria yang sebenar, ketika seni warisan ini masih ada usaha memperjuangkannya, dan pada masa yang sama juga terdapat pihak-pihak yang memandang ringan dan merosakkannya. Saya dan beberapa orang rakan sendiri kerap terserempak dengan persembahan yang disebut 'boria' sebaliknya 'bukan boria'.
Terdapat Jabatan-Jabatan kerajaan di Pulau Pinang sendiri yang memandang remeh dengan keaslian boria yang sebenarnya. Usaha mereka menubuhkan kumpulan boria untuk satu-satu persembahan sepatutnya dipuji, tapi pada masa yang sama mereka tidak perihatin dengan seni warisan boria itu sendiri. Kami menegur boria mereka yang tidak disertakan sketsa dipermulaannya dan rangkap karangan pula yang seratus peratus salah, tapi ada yang menjawab;
"Alah.... jangan jadi gila lah.... Buat boria sudahlah.... perkara remehlah.... Janji jadi boria, borialah.... Apa boleh kena tangkapkah kalau buat boria ikut suka kami?..... " dan macam-macam lagi kata-kata mereka sambil memperlekehkan nasihat kami penggiat boria.
Bagi kami, lebih baik jangan buat boria kalau hanya bertujuan ingin merosakkannya. Ataupun jangan disebut persembahan itu sebagai 'sebuah persembahan boria'. Katakan tarian, nyanyian atau apa-apa yang tidak berkaitan dengan boria.
Jika kami penggiat boria yang masih tinggal saki baki lagi ini tidak boleh menasihatkan kesilapan tersebut, habis siapa lagi. Selepas ini kami ambil keputusan akan menyiarkan gambar-gambar, video klip dan nama-nama kumpulan atau jabatan berkaitan di Blog Warisan Boria ini supaya penonton-penonton yang telah menyaksikan persembahan tersebut faham bahawa itu bukanlah sebuah persembahan boria.
Gambar Oleh Omar M. Hashim - Simposium, Forum dan Pertemuan Penggiat Boria yang telah beberapa kali diadakan hanya akan jadi bahan muzium sekiranya tidak mendapat kerjasama dari orang-orang Pulau Pinang sendiri.